‘Tak Buang Bawang Putih Kecil..’ Harus Hargai Sekecil-kecil Rezeki Dalam Hidup

Share

Setiap orang ada rezeki masing-masing, baik besar atau kecil belajarlah untuk menghargainya. Biarpun cuma bawang putih kecil atau pun duit syiling. Sebagaimana yang dikongsikan Dzuriasikim Dzulkefli akan pesanan neneknya ini.

Agar tidak sesekali memandang rendah pada rezeki yang diperoleh setiap hari. Biarpun sekecil-kecil rezeki yang hadir. Hadamkan kisah ini yang penuh mendalam pengajarannya.

Tak Buang Bawang Putih Kecil-kecil Begini

Sedang mengupas bawang…

Bila lihat bawang bawang putih yang kecil-kecil begini, teringat saya akan kisah sewaktu saya sangat susah dahulu. Bawang putih yang sangat kecil begini kadang sukar sedikit untuk dikopek. Jadi, ada orang yang akan buangkan sahaja. Tetapi saya tidak buang.

Pernah ketika mahu memasak dan saya hanya mampu masak apa yang ada sahaja kepada anak-anak. Di rumah waktu itu hanya ada bawang, beras, sedikit ikan bilis dan telor. Itulah bahan masak utama yang boleh dikatakan tidak pernah putus di rumah. Syukur.

Bawangnya tidaklah banyak. Hanya tinggal yang kecil-kecil… bahkan sangat kecil sehingga saya terpaksa menguis-nguis di sebalik kulit-kulit bawang yang ada. Barulah jumpa.

Tak dapat banyak. Sedikit pun jadilah. Sebagai pelengkap rasa. Boleh lah digunakan untuk masak nasi goreng. Asalkan anak-anak kenyang sahaja.

Baca sini : Rebus dengan bawang putih, cili kisar tahan lama, seminggu tak berkulat

Jika Sedikit Wang Ditangan, Eloklah Duduk Rumah Saja

Bukan tidak mahu ke kedai. Tapi tidak ada kenderaan waktu itu. Dan wang yang ada pun tidak seberapa. Pesan arwah nenek saya, jika wang ada sedikit di tangan, eloklah duduk di rumah sahaja. “Nak habis hari ni, habis esok…” katanya.

Ia bermaksud, jika kita keluar rumah hari ini, akan habislah duit tu hari ini. Jadi, duduklah di rumah sahaja jika tidak ada kepentingan untuk keluar. Kerana bila keluar rumah, pastilah kita akan berbelanja nanti. Duit yang ada di tangan itu, dari dihabiskan hari ini… dapatlah dipegang atau disimpan sehingga ke esoknya. Begitulah.

Demikianlah juga dengan wang syiling atau seringgit yang pada orang lain jika terjatuh atau terjumpa tidaklah dipandang kerana nilainya yang sangat kecil. Tetapi bagi saya yang pernah perlu mengutip syiling dalam rumah dan dikumpulkan sehingga dapat membeli satu tin susu untuk anak kecil saya, wang syiling tetap bernilai dan berharga.

Jangan Pandang Rendah Nilai Duit Syiling

Untuk wang syiling pun ada juga pesanan dari nenek saya. Katanya dalam loghat Kelantan, “Ore tok jeh ko duit….”.

Bermaksud, jangan sesekali memandang rendah kepada duit atau wang (tanpa mengira nilainya kecil atau besar).

Pengajarannya, harus sentiasa hargai sekecil-kecil rezeki dalam hidup. Cerita bawang dan wang syiling ini hanyalah contoh kecil dari pengalaman hidup saya yang boleh kita amalkan.

Dan banyak petua orang dulu-dulu yang boleh kita contohi. Sebab itu kita lihat orang dulu-dulu hidup mereka sangat rukun dan harmoni, tenang dan bahagia biarpun tidak dalam serba ada. Mereka sangat berjimat cermat dan pandai berbelanja. Mereka sangat menghargai apa sahaja yang mereka miliki.

Jika ada… Adalah.

Tak tiada, mereka berlapang dada.

Mingguan Wanita : Sungguh lah.. jika bersyukur dengan apa yang diperoleh setiap hari. Tentunya tidak mengejar-ngejar apa yang tiada di depan mata.

Sumber/Foto : Dzuriasikim Dzulkefli

Published by
Netty Ah Hiyer