Tak Boleh Suka-suka Sendawa Depan Orang, Hukumnya Makruh Nabi Pun Larang

Share

Ada segelintir orang yang tak boleh nak tahan sendawa sebaik selesai makan. Bunyi sekuatnya sampai orang sebelah pun terkejut dibuatnya. Sama ada sengaja atau tidak, perlu difahami jika sendawa depan orang ramai ada adab yang perlu dijaga.

Ini pesanan yang disampaikan Aflah Sabawi yang mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar. Perbuatan ini nampak macam tak ada apa-apa dalam masyarakat kita, hakikatnya, sendawa itu makruh hukumnya malah nabi pun melarang sendawa depan orang orang.

Kenapa Tak Boleh Sendawa Depan Orang Ramai

Hampir 8 tahun saya berada di mesir, belum pernah saya mendengar mana-mana rakan arab yang bersendawa di hadapan saya.

Jauh benar perbezaan adat bersendawa ini bagi rakan-rakan malaysia. Saya pun, apa kurangnya. Bila kenyang, sendawa itu ibarat perkara wajib yang mesti dilakukan.

Adik lelaki saya marah benar jika bersendawa di hadapan meja makan. Pernah saya bersendawa selepas berbuka puasa, terus perangainya berubah. Ditanya soalan, tidak di jawab. Makan pun, hanya menghadap pinggan. Jangan harap dia bersuara selepas itu.

Sendawa ini makruh hukumnya. Nabi sendiri menegah kita bersendawa di khalayak ramai secara sengaja ataupun tidak. Ini mungkin disebabkan bauan kurang enak yang dapat di hidu oleh orang sekeliling.

Ada sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata:
تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏‏ كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Seorang lelaki sendawa di sisi Rasulullah S.A.W, lalu baginda bersabda: Jauhilah sendawa kamu dari kami kerana sesungguhnya mereka yang paling banyak kenyangnya di dunia adalah mereka yang paling lapar pada hari kiamat

.
Riwayat Al-Tirmizi (2478)

Bukan Boleh Main Suka-suka Sendawa Sini Sana

Sendawa ini, bukan perkara yang boleh di buat main-main. Lihat sahaja ayat ‘merekalah yang paling lapar pada hari kiamat nanti.’. Silap hari bulan, merana kita di sana.

Kita dapat lihat, bahawa sendawa itu dilarang dari sudut larangan perbuatannya yang membawa kepada sendawa. Kenyang dengan makanan.

Adapaun sendawa disebabkan faktor kesihatan, ia di berikan sedikit kelonggaran. Namun adab dalam bersendawa juga perlu di titik beratkan. Bukan boleh main suka-suka bersendawa sini sana.

Antara adab dalam bersendawa ialah merendahkan suara, tidak menghembuskan udara sendawa kearah wajah orang lain, tidak di hadapan khalayak ramai dan sebagainya.

Semoga saya dan kalian sama-sama menjaga hukum dan adab ketika bersendawa. Aameeeen.

*Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis, Aflah Sabawi.

Published by
NETTY AH HIYER