Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Ads
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Ads
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Ads
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Penting kepada seseorang itu menjaga silaturahim di antara satu sama lain. Antara kelebihannya ia akan mendatangkan kebaikan serta rezeki yang murah.
Ini kerana, setiap silaturahim itu ada rezekinya. Perkongsian Saira Yusuff ini menjelaskan bagaimana adanya rezeki dalam setiap silaturahim.
Setiap Silaturahim Ada Rezekinya
Tahu tak kalian setiap silaturahim ada rezeki.. sebagai mudah nak faham. Hieraki seperti di bawah
Dari Allah
Rasulullah
Suami
Parents & Adik Beradik, Saudara Mara
Sesama ummah/makhluk
5 tangga hieraki yang kita kena jaga hubungan dengan sangat baik. Sebaik-baiknya,
Pertama Hubungan Dengan Allah SWT
Betulkah kita menjaga hubungan dengan sangat baik dengan Allah SWT. Solat kita cukup sempurnakah? Harian kita 24 jam tak ingat kat dia.
Cuba audit sekejap jika hubungan di bawah hieraki ALLAH, contoh parents dan adik beradik ada masalah yang timbul satu je cara : “Lihat Hubungan Kita Dengan Allah SWT, silaturahim kita dengan Maha Pencipta dah cukup baik ke? Jika yang ranking di atas kita tak dapat jaga macam mana dengan ranking yang di bawah.
Begitulah Juga Dengan Seterusnya, Rasulullah s.a.w
Cukupkah kita mengenali Baginda tercinta?
Tahukah asal usul Baginda?
Tahukah perjuangan Baginda?
Benar kenalkah kita dengan Baginda?
Sedangkan Rasululllah s.a.w simpankan syafaat buat umatnya.
Di akhirat nanti akan dipanggil kita “UMATTI , UMMATTI , UMMATTI”
Jom sahabat audit silaturahim kita.
Seterusnya Sebagai Wanita, Suamilah Kita Patut Jaga Hubungan Silaturahim Dengan Baik
Kerana syurga seorang isteri di bawah suami. Benarkah suami kita redha dengan kita, pernah tak tanya suami?
“Abang, apakah perkara yang membuatkan abang redha dengan sayang?”
Cuba korang tanya, dan pastinya korang terkejut dengan jawapan yang mereka beri.
Tuan Faradi jawab, “cukup jaga aurat & diri sendiri tu dah cukup.”
Setiap suami ada lain-lain persepsi. Jom cer tanya mereka.
Jaga suami elok-elok na.
Seterusnya Dengan Parent, Mertua Dan Adik Beradik
Sama jugalah kena layan mereka dan selalu tanya khabar, kalo boleh hari-hari bercakap dengan mereka, mungkin di whatsapp atau call. Kalau dekat selalulah jenguk mereka. Jangan biar mereka ternanti-nanti.
Sebab saya selalu didik kat hati,
“Kalau buat baik kat parents sekarang pastinya anak-anak ku akan buat baik juga bilamana diriku sudah tua nanti”
So buat baik dapat baik.
Lastly Sesama Ummah / Makhluk
Buatlah baik sesama kita, berkasih sayang lah kita tanpa syarat, buang cepat-cepat sifat Mazmumah dalam diri kita
Kerana ianya sifat buruk yang tak boleh ada dalam diri manusia.
Contoh akhlak mazmumah di antaranya iaitu :
Bersikap takabur, kikir, sombong, dan dengki.
Berkata dusta
Berprasangka buruk kepada orang lain (suudzon)
Mengingkari janji yang sudah dibuat.
Derhaka kepada orang tua
Mengambil hak orang lain
Jadi jom perbaiki diri semua ini adalah tips nya untuk kalian.
Selepas berlakunya kematian pasangan, kena uruskan bab harta pusaka ini sebaik mungkin. Perlu patuhi dan utamakan hirarki yang betul dalam menguruskan harta yang ditinggalkan. Bukan apa, bab harta ni menantu mentua boleh bermasam muka, adik beradik ipar duai tak bertegur sapa.
Menurut perkongsian Peguam Syarie Syazmee Sapian dalam urusan harta pusaka perlu selesaikan dahulu harta sepencarian sebelum bab faraid bagi menjamin keadilan.
Berikut perkongsian beliau sebagai rujukan;
Kebelakangan ini menguruskan beberapa kes berkaitan pusaka diantara Menantu Vs Mertua.
Kesemuanya sama, mertua nak terus faraid tetapi menantu mahukan harta sepencarian terlebih dahulu.
Apa yang dapat dilihat ada 2 kategori:
Dia tiada pengetahuan tentang harta sepencarian tapi dia nak tahu dan bertanya pada yang tahu.
Dia tiada pengetahuan. Tapi bila dah diberitahu, dia cuba untuk menafikannya.
Hirarki Pusaka
Untuk urusan pusaka ada hirarki yang kita perlu patuhi supaya kita tidak berlaku zalim dan termakan hak orang lain.
Ini 5 step yang perlu dituruti atau diperhalusi terlebih dahulu apabila menguruskan pusaka simati.Kita tak boleh mudah-mudah lompat step tanpa selesaikan mana-mana step yang boleh dilunaskan.
Harta Sepencarian
Berkaitan harta sepencarian.Saya percaya dikalangan yang muda sudah ramai yang tahu. Tapi agak kurang pada yang berusia.
Harta sepencarian ini adalah apa-apa harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan dan juga apa-apa harta yang diperoleh oleh salah satu pihak sebelum daripada perkahwinan tetapi dimajukan oleh pihak satu lagi dalam tempoh perkahwinan.
Kenapa perlu selesaikan dahulu harta sepencarian ini?
Sebab tak semua harta simati yang sudah berkahwin itu total haknya milik simati. Pasti ada harta-harta tertentu atau boleh jadi semua harta peninggalan simati itu ada hak pasangannya.
Bila sudah berkahwin, pasanganlah yang lebih mengetahui segala butir penting harta-harta dalam perkahwinan.
Ada harta yang nama bersama.
Ada harta satu nama tapi join loan.
Ada harta simati bayar bulan-bulan tapi duit deposit, duit renovasi rumah dan lain-lain adalah duit dari pasangannya.
Ada juga pasangan yang nama rumah nama bersama. Tapi pasangan dia yang bayar semua.
Jadi tidak adil kepada pasangan simati andai kata berlaku sahaja kematian, terus sahaja nak faraid.
Kita wajib untuk keluarkan dahulu bahagian pasangan simati. Berikan dahulu hak mereka.Selepas ditolak harta sepencarian, barulah boleh diteruskan kepada step seterusnya kerana baki harta tersebut bersih daripada bahagian pasangan simati.
Ambillah sekadar hak yang telah ditetapkan hukum dan undang-undang. Hidup akan berkat.
Syazmee Sapian
Ei ei ei
Neh neh neh
Keluarlah mencari rezeki
Keluarlah dengan muka yang maneh
Mingguan Wanita: Jadi sila ambil perhatian, apabila berlakunya kematian utamakan mengikut hirarki pusaka terlebih dahulu. Selesaikan harta sepencarian, hutang, wasiat hibah dan akhir sekali barulah faraid.
Alhamdulillah ternyata hidayah itu milik Allah diberikan kepada hambanya yang terpilih. Lebih separuh abad mengabdikan diri dalam dunia seni, pada usia 79 tahun, pelakon veteran Margaret Gan yang sering menghiasi kaca televisyen (TV) dalam drama menyentuh hati pada era 1980-an, beroleh hidayah untuk melafazkan dua kalimah syahadah.
Pada 15 Februari lalu, dalam suasana penuh emosi, Margaret yang sudah biasa dengan kehidupan orang Melayu dan amalan umat Islam sejak zaman persekolahan, memeluk Islam di hadapan anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 36.
Mohd Taufik terlebih dahulu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika menuntut di universiti, kira-kira 20 tahun lalu.
Lama Terdetik Hati Peluk Islam
Berkongsi cerita, Margaret yang manis berhijab mengaku Mohd Taufik tidak pernah mendesak agar mengikut jejak langkahnya memeluk Islam.
“Sebenarnya, hati sudah lama terdetik memeluk Islam. Anak tidak pernah mendesak. Cuma sekali-sekala dia bertanya bila saya mahu peluk Islam.
“Minggu lalu, tiba-tiba saya terus bersetuju apabila dia bertanya lagi.
“Saya meminta dia menguruskan hal berkaitan pengislaman. Anak memang terkejut mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut saya hingga berkali-kali dia bertanya, apakah betul keputusan yang saya ambil.
“Taufik menangis terharu dengan keputusan ini (peluk Islam). Mungkin dia sudah lama menantikan saat cukup bermakna ini,” katanya di majlis anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) di ibu negara, baru-baru ini.
Anak Ajar Lafaz Syahadah
Margaret berkata, Taufik mengajarnya melafazkan syahadah dan merakamkan video pada detik itu di kediaman mereka.
“Taufik kemudian menghantar rakaman video kepada seorang ustaz yang tidak sempat datang ke rumah kami.
“Insya-Allah, kami akan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) minggu depan untuk urusan selanjutnya,” katanya.
Biasa Amalkan Cara Hidup Islam
Margaret yang dilahirkan di Batu 6, Jalan Klang Lama, Petaling, mengaku sudah biasa dengan amalan hidup orang Islam terutama sejak Taufik menjadi muslim.
Ketika anaknya menyuarakan hasrat memeluk Islam, Margaret tidak menghalang, sebaliknya, meminta dia memikirkan keputusan itu sebaik-baiknya.
Margaret menasihati Taufik agar tidak ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana menyedari ada ramai saudara-mara yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam sebaik-baiknya selepas melafazkan syahadah.
“Saya tidak halang. Saya minta Taufik jangan buat separuh jalan. Ada saudara-mara yang masih mengamalkan cara hidup lama walaupun sudah beragama Islam.
“Walaupun anak sudah memeluk Islam, kami tinggal bersama. Soal makan dan sebagainya tidak menjadi masalah kerana apa yang anak masak, itulah yang saya makan.
“Sehinggalah apabila anak berkahwin dan memiliki dua cahaya mata, kami terus tinggal sebumbung walaupun berbeza agama, sebelum ini.
“Saya juga sudah biasa melihat mereka bersolat dan mengamalkan gaya hidup Islam. Jadi, tidak sukar untuk saya melafazkan syahadah,” katanya.
Margaret pernah menghadiri ceramah Datuk Ustaz Kazim Elias sebelum memeluk Islam.
Galakkan Berlakon Pakai Hijab
Berkongsi mengenai penampilan yang kini bertudung, pelakon filem 29 Februari itu berkata, Taufik menggalakkan agar dirinya berhijab.
“Taufik beritahu jika saya mahu berlakon, saya perlu bertudung. Jika tidak, dia tidak galakkan saya berlakon tanpa memakai hijab.
“Saya tiada masalah untuk bertudung kerana sudah biasa melihat menantu dan cucu berhijab.
“Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang. Lagipun, umur saya menginjak 80 tahun pada 2023. Jadi, tiada apa lagi yang perlu saya tunggu,” katanya yang mengekalkan nama sama.
Nama sebenar, Gane Ee Kek dan memulakan karier lakonan secara tidak sengaja pada usia lewat 20-an apabila sebuah syarikat produksi mencari pelakon berbangsa Cina.
Drama pertama lakonan adalah Kemarau Di Hujung Daun sebagai pelakon tambahan. Ini disusuli Dengan Keringat Aku Ingat dengan peranan lebih besar.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah di atas penghijrahan dan pengislaman ini. Ternyata hidayah itu milik Allah diberikan pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.