Tak Bahagia dengan perkahwinan yang diatur keluarga membuatkan dirinya dalam diam jatuh cinta lelaki lain. Dia tahu dia berdosa namun dia tidak dapat membohongi hatinya. Ikuti luahannya.
Assalamualaikum puan. Saya berusia 30 tahun dan sudah berkahwin. Saya dan suami dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia empat tahun. Saya berkahwin dengan suami atas aturan keluarga, pada usia yang agak muda. Ketika itu saya baru saja tamat diploma dan saya akur kerana saya sendiri tidak ada kekasih pada masa itu. Keluarga saya sangat menitikberatkan soal didikan agama dan kami tidak bebas bergaul dengan bukan muhrim.
Terus terang, rasa cinta tidak pernah wujud dalam hati saya untuk suami. Yang ada hanya rasa tanggung jawab dan secebis sayang kerana dia seorang lelaki yang sangat baik, menjaga saya dan anak lelaki kami dengan sempurna. Pendek kata, dia hampir sempurna sebagai seorang suami.
Dia pendiam orangnya dan di rumah jarang kami berbual. Hanya hal-hal penting saja kami bersembang sedangkan saya sebenarnya seorang yang suka bercakap. Suami lebih banyak membaca sama ada al-Quran atau buku-buku agama.
Pada waktu malam, dari maghrib hingga isyak, tempatnya di masjid. Kadangkala dia pulang setelah saya dan anak tidur. Hari cuti dia sering kali tiada di rumah kerana sibuk bekerja atau mengikuti aktiviti NGO.
Suami bekerja sebagai seorang akauntan dan saya pula seorang kaki tangan awam. Pendek kata, masa untuk kami berjumpa sehari-hari agak singkat. Nasib baik ada anak yang jadi teman saya. Soal cinta memang tidak boleh dipaksa. Puas selama lima tahun ini saya cuba untuk mencintainya namun gagal. Saya sendiri tidak faham dengan perasaan saya ini.
Saya mewakili jabatan dan dihantar berkursus di sebuah negeri selama seminggu. Ketika itu saya berkenalan dengan seorang lelaki yang saya namakan K saja. Dia antara pegawai yang ditugaskan untuk menyelenggarakan program tersebut. Sifat kepimpinan dan karisma sebagai seorang pemimpin cukup terserlah. Entah mengapa, hati saya berdengup kencang setiap kali memandang wajahnya. K seorang duda kematian isteri dengan tiga orang anak.
Sering kali juga kami berbual mesra apabila ada waktu terluang tetapi secara beramai-ramai. Sikapnya yang kelakar membuatkan hati saya lebih tertarik padanya. Namun saya hormati dia dan tidak pernah terlintas untuk cuba mencuri perhatiannya. Apabila kursus berakhir, kami saling bertukar nombor telefon. Tiada niat lain kerana dia juga tahu saya isteri orang. Lagipun kami para peserta saling bertukar nombor telefon di antara satu sama lain. Mana tau, mungkin perlu bekerjasama satu masa kelak.
Sejak kursus itu, kami saling berhubung. Kadangkala soal kerja, kadangkala dia meminta nasihat tentang tiga orang anak perempuannya itu. Saya kagum dengan dirinya yang tabah menjaga tiga anak perempuannya, dibantu oleh seorang kakaknya sejak kematian isterinya lapan tahun lalu. Sering kali dia meminta nasihat saya kerana katanya hanya perempuan yang faham tentang perempuan.
Lama-kelamaan kami semakin mesra. Pada waktu malam ketika suami ke masjid saya akan ambil masa untuk berbual dengannya di dalam telefon. Dia berada di negeri lain jadi kami tidak pernah berjumpa. Sekadar bertukar gambar pernah juga. Sering kali dia akan hantar gambar anak-anaknya dan saya juga akan menghantar gambar anak saya.
Daripada perbualan biasa, kami mula berbual soal hati. Saya sering meluahkan perasaan tentang kehidupan saya. Bukan saya tidak bahagia, tapi hidup saya seakan ‘kosong’ kerana tiada cinta antara saya dan suami. Alangkah seronoknya jika saya dapat berbual-bual mesra dengan suami seperti saya berbual dengan K.
Saya sedar saya berdosa namun bila berbual dengan K, saya rasa gembira. Kami boleh berbual tentang apa saja, termasuk soal anak-anak dan kerja. Dia sering menasihati saya dan menghiburkan hati saya bila saya rasa sedih atau tertekan dengan kerja. Suami? Tak pernah sekali pun dia ambil tahu tentang kerja saya.
Saya dalam dilema. Apakah saya perlu mengambil langkah menamatkan ikatan perkahwinan yang tiada rasa cinta ini? K pernah nyatakan hasratnya, andai jodoh saya tidak panjang bersama suami, dia sedia menerima saya dan anak saya. Namun tidak pernah sekali pun dia mendesak saya untuk berpisah dengan suami. Itu membuatkan saya bertambah sayang padanya.
Assalamualaikum puan yang dihormati, Realiti dan fantasi adalah dua keadaan yang berbeza kerana realiti adalah nyata dan sedang dilalui sedangkan fantasi adalah persepsi atau harapan, anggapan serta perkara yang baru dicadangkan atau dibincangkan tetapi belum di hadapi secara nyata.
Biasanya realiti akan dihadapi sebagai rutin harian, kurang diberi perhatian, kurang difokuskan, dianggap biasa serta tidak penting dalam kehidupan.
Fantasi pula perkara yang dibayangkan, diharapkan serta diandaikan akan berlaku mengikut kemahuan diri. Perbezaan ini telah membelenggu puan dalam puan cuba memberi justifikasi kepada diri puan untuk meneruskan fantasi puan dan meninggalkan realiti puan sekarang ini.
Realiti kehidupan puan adalah puan mempunyai suami yang penyayang, beragama, bertanggungjawab, berjawatan tetap, bergiat dengan NGO, ahli masjid dan berbagai kebaikan yang dilihat sebagai suami yang sempurna.
Namun suami puan tidak banyak berkata-kata, jauh sekali untuk mengungkapkan kata-kata cinta atau memuji puan dalam masa lima tahun perkahwinan. Keadaan ini membuatkan puan merasa bosan dan cuba mencari cinta baru yang pada anggapan puan akan mewarnai kehidupan puan dengan lebih sempurna lagi. Sebelum kita berbicara lebih jauh lagi, cuba puan fahami maksud jodoh iaitu puan dipertemukan dengan seorang yang benar-benar ikhlas menerima puan sebagai isteri dan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan sebenarnya.
Dalam isu jodoh ini bukan perkara yang boleh dianggap sebagai “try an error” atau cuba jaya tetapi pemilihan yang abadi untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Perjanjian perkahwinan pula adalah saksi kepada Allah SWT untuk bertanggungjawab sebagai suami dan isteri dalam lafaz akad nikah yang mulia dan Allah SWT mengurniakan kasih sayang sebagai suami dan isteri.
Lagi artikel menarik di sini:
https://www.mingguanwanita.my/tarikan-biasa-biasa-sugu-pavithra-hidup-sederhana-kelihatan-bahagia/
https://www.mingguanwanita.my/mentua-elak-ganggu-rumah-tangga-anak-menantu-yang-sedang-bahagia/
Jangan lupa follow MINGGUAN WANITA di instagram
Isu yang puan ketengahkan lagi dan tidak puas hati kerana suami puan kurang bercakap, tidak pandai bergurau, tidak beri perhatian kepada puan, tidak peduli dan hambar dalam hubungan. Perkara ini puan telah sedari sejak awal perkahwinan lagi. Ini bermaksud suami puan sememangnya mempunyai personaliti yang sebegitu.
Puan pula seorang yang sangat prihatin kepada emosi, suka dibelai, suka diberikan perhatian, suka disapa dan didengari serta suka kepada mereka yang menemani puan dalam semua tindakan. Namun semua itu puan tidak dapat dari suami, puan juga tidak menyatakan perkara ini kepada suami, puan membiarkan perkara ini menjadi rutin kehidupan puan dan suami sehingga kini ia menjadi racun dalam kehidupan rumah tangga puan.
Antara perkara yang puan perlu muhasabah diri setakat ini adalah puan perlu tanya diri puan adakah puan benar-benar mengenali suami puan secara keseluruhannya, adakah puan berusaha untuk menyatakan apa yang puan suka dan apa yang tidak kepadanya, adakah puan cuba ajari atau “educate” suami tentang perkara-perkara yang puan perlu dan mahu suami lakukan kepada puan.
Secara keseluruhannya puan perlu tanya diri puan adilkah diri puan terus menolak suami puan untuk digantikan dengan seorang duda yang baru puan kenal dan anggap lebih baik daripada suami yang puan anggap sungguh membosankan berbanding dengan duda tersebut.
Manusia sering terjerat dengan persepsi dan perasaan sendiri kerana selalu menatang yang fantasi tetapi lupa kepada yang realiti. Selama ini suami puan telah berbakti kepada puan dan bertanggungjawab kepada puan dengan seluruh jiwa dan raganya tetapi beliau hanya tidak pandai berdrama atau tidak romantik serta tidak memahami naluri seorang wanita sepenuhnya, maka suami puan kurang bermesra dan kurang ramah berbanding duda yang baru kenali.
Dalam keadaan ini puan perlu faham bahawa lelaki menunjukkan kasih sayang dengan cara melakukan iaitu perbuatan atau tingkahlaku, lelaki juga perlu diberitahu perkara-perkara yang perempan suka dan lelaki suka kepada aktiviti yang rutin serta akan fokus kepada apap yang biasa dilakukan. Oleh itu puan perlu beritahu dan “latih” atau biasakan suami puan dengan perkara yang puan suka. Dengan cara ini suami puan akan belajar perkara baru dan boleh melayan puan dengan sempurna.
Seterusnya puan perlu ada kawalan dalam diri puan agar setia dan tidak memandang kehebatan lelaki lain sebagai satu cara “pelarian” dari desakan perasaan puan. Keputusan yang dihasilkan dari keadaan ini akan membuatkan puan menyesal sepanjang hayat puan. Puan perlu faham bahawa sebelum kahwin semuanya indah tetapi selepas berkahwin segala kelemahan akan kelihatan maka waktu itu dapatlah puan pastikan bahawa duda yang menjalinkan hubungan dengan puan sememangnya sangat sesuai dengan puan atau tidak.
Puan juga perlu tegas diri dan menjaga maruah diri sebagai wanita yang taat, patuh, tidak derhara, tidak curang serta dapat mempertahankan jodoh puan yang sedang dilanda badai akibat ketidakpuasan hati puan. Puan perlu berusaha untuk menjalinkan hubungan mesra dengan suami puan serta lengkapkan keluarga puan ini dengan kasih sayang.
Berada dalam perkahwinan dan terus mempertahankan perkahwinan adalah satu jihad suci melawan kehendak dan hawa nafsu. Darah muda puan yang sangat dahagakan belaian manja dari seorang suami perlu dipenuhi dengan membantu suami memahami serta melakukan apa yang perlu dalam hubungan berkeluarga.
Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh puan lakukan tanpa perlu curang kepada suami puan. Fokuskan kepada pembinaan kerjaya puan dan ajak suami bersama-sama atau ikuti perkembangan kerjaya suami dan kesukaan beliau agar puan dapat mengikut segala aktivitinya.
Dalam masa yang sama puan perkenalkan perkara yang puan suka dan cuba selaraskan agar puan dan suami dapat kecapi bahagia yang sebenarnya.
Meruntuhkan sebuah perkahwinan adalah perkara yang mudah tetapi kesan emosi dan segalanya akan mengancam kehidupan puan sampai bila-bila. Maka wajar puan perbaiki sedikit kelemahan perkahwinan puan sekarang kerana jika diruntuhkan yang sedia ada belum tentu yang akan datang akan menjadi kukuh. Atau mungkin juga tak setanding dengan yang sekarang. Puan perlu muhasabah diri agar tidak menyesal nanti.
Sumber: Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis di dalam majalah Mingguan Wanita.