Postpartum depression itu wujud dan mereka memerlukan sokongan dari semua pihak. Tidak ada wanita suka-suka mahu meluahkan perasaan melainkan mereka sedang mengalami gangguan emosi.
Dan seperti yang ditulis Doktor Muhammad Ahmad, tiada ibu diatas muka bumi ini suka-suka untuk bunuh anak melainkan emosi mereka sedang menderita.
Jadi, tolonglah jika ada rakan-rakan kita menunjukkan tanda-tanda Postpartum Psychiatric illness terutama selepas bersalin bantulah mereka untuk dirujuk kepada psychiatrist. Jangan biarkan mereka bertindak diluar kawal baru kita rasa nak simpati.
Terutama kepada bakal suami atau para suami. Kita perlu kenali tanda-tanda postpartum yang mungkin akan dihidapi oleh isteri,kakak,adik,rakan pejabat atau ibu kita sendiri.
Postpartum ada 3 peringkat:
Ads
1. Postpartum Blues
Ia berlaku tidak lama, hanya beberapa hari sahaja dan ia boleh dikawal dan tidak serius.
2. Postpartum depression
Ini yang biasa kita dengar. Mudah menangis, tertekan, marah, cepat panik, letih, sukat tidur malam dan boleh jadi meracau. tetapi belum mengganas. Mudah dikesan, perlukan rawatan.
3. Postpartum psychosis
Paling bahaya. Rentetan dari postpartum depression berpanjangan dalam tempoh 6 minggu atau lebih. Ibu mula mengganas, mula berhalusinasi, mencari idea untuk mencederakan diri atau orang yang berdekatan sehingga membunuh diri atau bayi . Macam orang kena rasuk, ketika itu hormon thyroid dan hormon-hormon lain turun terganggu. Patutlah dulu kawan saya pernah cerita isteri beliau pergi dapur makan ayam mentah. Semua orang fikir kena rasuk jin atau sudah gila. Sedangkan ibu ini sedang melalui fasa kronik Postpartum Psychosis. Perlukan rawatan dengan segera.
Ads
Oleh itu sangat mustahak ahli keluarga lain perlu maklumkan tentang sejarah pesakit melibatkan MENTAL terutama ketika mengandung(antental depresssion) . Jika waktu mengandung sudah mula stress, maka perlu dipantau sehingga akhir berpantang terutama emosi mereka, pemakanan yang berkhasiat, sayuran atau makanan yang tinggi zink,kekurangan zink dalam darah boleh menyumbang kepada postpartum Depression. Perlukan rawatan dengan segera dan pemantauan yang rapi.
Sokongan dari semua pihak sangat diperlukan. Ahli keluarga, kawan-kawan terutama suami. Penting sangat suami disisi untuk isteri kongsikan perihal diri mereka dalam tempoh awal berpantang.
Ads
Ada Bisikan Yang Tidak Senang
Paling mustahak ibu itu sendiri boleh kesan Postpartum blues sebelum serius. Ketika ini ibu-ibu sendiri akan perasan. Akan mula rasa sedikit tidak selesa dari segi emosi, ada mula rasa BISIKAN yang tidak senang. Paling mudah mula rasa tidak suka apabila bayi menangis.
Postpartum blues 80% akan dilalui oleh ibu berpantang terutama anak pertama. Jadi ketika ini ambil langkah yang bijak, ambil makanan yang tinggi nutrisi, cepat-cepat dapatkan khidmat nasihat dari suami, ibu. Jangan berseorangan. Berpantang di kampung, dapatkan aura yang sihat dari suasana kampong. Jangan berpantang dengan keluarga yang ada masalah dengan anda, lagi meracau nanti.
Sebagai masyarakat Jangan kecam jika ada ibu-ibu bertindak diluar jangkaan kita. JANGAN SEBARKAN APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN TERMASUKLAH MEMBUNUH. SOKONG SOKONG SOKONG. Ini patut ada dalam setiap jiwa masyarakat kita terutama ahli keluarga berdekatan. Mereka lakukan perkara tersebut diluar kawalan. Mana ada dalam dunia ini ibu tidak sayangkan anak. Mereka perlukan perhatian, sokongan dan rawatan.
Nota:
Meroyan adalah salah satu masalah gangguan emosi disebabkan oleh faktor perubahan hormon selepas bersalin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suraya Abu Hassan, 26 tahun, tidak pernah menyangka bahawa dirinya akan mengalami lumpuh separuh badan.
Segala-galanya bermula dengan sakit kepala yang dialami secara tiba-tiba. Namun, dia tidak menghiraukannya kerana mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun 2009.
Setelah tiga hari menamatkan peperiksaan, sekali lagi dia mengalami masalah yang sama. Kali ini lebih teruk kerana dia hampir pitam. Kejadian itu berlaku ketika dia menemani emaknya, Saayah Zaini ke Pekan Sehari berdekatan rumahnya.
Mereka kemudiannya balik ke rumah. Keadaan Suraya yang semakin membimbangkan menyebabkan emaknya membawa dia ke Klinik Desa Felda Lepar Utara, Pahang. Namun setelah bertemu doktor, Suraya hanya diberikan ubat tahan sakit.
Sebaik kembali semula ke rumah, badannya menjadi lembik. Kali ini bapanya Abu Hassan Zakaria segera membawanya ke hospital Temerloh.
Pembedahan
Doktor di Hospital Temerloh telah mengesyorkan agar Suraya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. Hasil pemeriksaan scan oleh doktor di HKL mendapati ada air yang tersumbat pada otaknya.
Doktor segera melakukan pembedahan membuang air di bahagian kanan otaknya. Kesan pembedahan membuatkan Suraya tidak boleh bercakap lebih kurang 2 bulan lamanya.
“ Saya terbaring seperti mayat hidup. Itu yang saya rasakan ketika itu. Anggota badan terutamanya sebelah kiri tidak boleh bergerak. Perasaan saya pada ketika itu usah cakaplah.
Asyik menangis. Kalau diingatkan saat-saat tersebut memang menyedihkan,” ujar Suraya mengimbau kisah hampir Sembilan tahun lalu.
Walau lumpuh sebelah badan, Suraya masih mampu berjalan. Namun begitu langkahnya agak lemah. Nasib baik dia tidak memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Sambung Pelajaran
Lumpuh sebelah badan menyebabkan cita-cita Suraya tidak kesampaian. Lama juga dia mendiamkan diri di rumah tanpa melakukan sebarang kerja atau bergaul dengan ramai orang.
Dia mengakui keadaanya itu bukan sahaja memberi kesan pada dirinya malah emak dan ayahnya turut menerima tempiasnya.
“ Emak dan ayah risau tengok keadaan saya. Saya sedar saya perlu buat sesuatu untuk hilangkan rasa risau mereka itu. Dahulu saya fikir selepas SPM saya mahu menyambung pengajian. Saya mahu masuk Universiti. Cita-cita saya mahu jadi guru. Itu yang saya sedih bila jadi lumpuh sebelah badan.
Pada suatu hari saya, abang saya telah mengesyorkan saya belajar di PLPP Bangi yang kebetulan tidak jauh dari rumah dia. Saya setuju dan mengambil kursus IT dan Pembantu Tadbir.
Saya duduk di asrama. Itulah pertama kali saya berada berjauhan daripada keluarga. Di situ juga saya sedar masih ramai lagi OKU seperti saya. Malah ada yang lagi teruk daripada saya.
Melihatkan kesungguhan kawan-kawan OKU di sana telah menambah keyakinan saya untuk mengubah nasib. Saya akhirnya berjaya menamatkan kursus di sana.”
Jadi Guru Tadika Pasti
Sejak menamatkan pengajian di PLPP, Suraya telah mendapat kerja sebagai guru di sebuah Tadika Pasti yang terletak di Felda Lepar Utara Satu .
Tadika ini terletak tidak jauh dari rumahnya. Setiap kali pergi kerja, Suraya akan memandu sendiri kereta yang telah diubahsuai. Ternyata kekurangan diri bukan penghalang buat dirinya untuk berdikari.
Jadi guru menyeronokkan Suraya. Setiap hari dia perlu melayan kanak- kanak berusia 4 tahun. Keletah mereka menghiburkan hatinya.
“ Kadang-kadang ada juga mereka bertanya pada saya apabila mereka melihat saya berjalan dalam keadaan tidak teratur. Kak Su, kenapa jalan macam itu? Itu antara soalan yang biasa saya terima dari mereka. Saya hanya mampu senyum sahaja apabila mendengar soalan tersebut.
” Tugas saya di tadika itu mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mewarna. Apabila tengok kanak-kanak ini saya rasa gembira. Kecacatan tidak menghalang kerjaya saya.
Paling penting saya perlu ada kesabaran. Saya perlu sabar menghadapi dugaan dan berusaha untuk membangunkan diri. Itu paling penting.”
Penyelidik UM Ajar Suraya Melakukan Regangan
Prihatin terhadap nasib insan yang kurang bernasib baik telah membuatkan sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) telah melawat Suraya.
Program lawatan ini merupakan sebahagian dari siri program yang dinamakan ‘Be Able’ yang mendekati pelbagai segmen masyarakat OKU dan cuba mendekatkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan arus perdana.
‘Be Able’ telah dimulakan sejak 2016 dan menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UM Cares). Geran dalaman ini diberikan kepada penyelidik UM yang mampu memindahkan kemahiran dan kepakaran penyelidikan mereka untuk manfaat masyarakat setempat.
Pensyarah Kanan dan Pakar Prostetik dan Ortotik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr Nasrul Anuar Abdul Razak yang mengetuai delegasi penyelidik ini berkata, walaupun perjalanan mereka ke Felda Lepar Utara Satu, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang ini mengambil selama 4 jam dari Kuala Lumpur, namun tidak mematahkan semangat ahli kumpulan penyelidik ini.
“ Objektif lawatan ini adalah bagi mendekati segmen komuniti orang kelainan upaya (OKU) yang mungkin terpinggir dan menerima khidmat sokongan pakar rawatan dan pemulihan.
Melihatkan keadaan Suraya ini saya percaya dengan latihan regangan yang betul dan dilakukan dengan konsisten, keadaan Suraya masih boleh dipulihkan lagi.”
Dengan bantuan pelajar sarjana Nur Afiqah Hashim dan Saibah Ghani, beberapa latihan regangan pemulihan telah dikongsi bersama Suraya untuk diamalkan secara konsisten.
Keadaan lumpuh sebelah badan, atau dikenali sebagai ‘hemiplegia’, boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sistem saraf, sama ada strok atau lain-lain kecederaan fizikal.
Bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh otak dan sistem saraf yang terlibat, tahap kelumpuhan yang terhasil juga berbeza, dan memerlukan strategi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.
Untuk jangka masa panjang, latihan regangan pemulihan sentiasa dicadangkan oleh mana-mana perawat pemulihan untuk mengembalikan fungsi fizikal tubuh pesakit yang lumpuh kepada tahap yang lebih baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kemalangan yang meragut nyawa itu sememangnya menyakitkan. Lagi-lagi melibatkan seluruh ahli keluarga dan ada kematian dicatatkan. Sedikit sebanyak ia mengganggu emosi ahli keluarga yang terlibat. Pengalaman Dr. Dila Sulaiman, Doktor Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental, Hospital Bintulu, Sarawak ini menyedarkan kita betapa ubat bukanlah satu-satunya penawar untuk sakit yang melibatkan emosi.
Kami menerima satu rujukan seorang pesakit berumur 5 tahun yang terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.
Kemalangan yang melibatkan 6 orang itu turut meragut nyawa salah seorang ahli keluarga mereka.
Bila sedar dari bius, anak ini nampak cepat meragam, sering menangis dan asik bertanyakan di mana ayahnya.
Doktor di Jabatan Kanak-Kanak risau sekiranya dia mengalami PTSD (Kecelaruan Stress Pasca Trauma), lalu merujuk kes ke Jabatan Psikiatri.
Pihak keluarga anak ini pula masih tidak yakin untuk membawanya berjumpa dengan ayah yang juga berada di wad kerana kemalangan yang sama; ‘takut lemah semangat’ atau ‘terkejut’ katanya.
Namun kami percaya, dia cuma mahukan kepastian ayahnya masih ada, mahu rasa selamat.
Tidak mahu kehilangan.
Jadi kami sendiri pergi mengiringi adik ini berjumpa dengan ayahnya di dalam wad. Dan air mata ahli keluarga yang sama-sama berada di wad pun menitis menyaksikan seorang anak kecil menangisi ayahnya yang sakit, tetapi pada masa yang sama saya tau dia pastinya lega dapat melihat wajah ayah tercinta.
Hati saya tersentuh juga seketika kerana anak ini sebaya anak saya yang kedua. Dan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada kami (nauzubillàhiminzalik), saya pasti anak saya juga akan mahukan perkara yang sama.
Tidak semua kes memerlukan rawatan dari segi ubat-ubatan.
Tidak semua kes yang dirujuk ke Jabatan Psikiatri maknanya kes orang ‘gila’ (dalam buku perubatan tiada istilah gila ya).
Kadang-kadang, peranan doktor cukup mudah. Cuma fahami apa yang pesakit perlukan, dan beri apa yang diperlukan.
Dalam kes ini, dia cuma mahu berjumpa dengan ayah.
Dia juga faham ayah masih sakit, dah berharap ayah akan sihat nanti. Tangisannya juga terus reda setelah puas menatap wajah ayah. Semoga mereka berdua akan cepat sembuh dan dapat kembali bersama.
Post Traumatic Stress Disorder/Kecelaruan Stress Pasca Trauma
Kecelaruan emosi yang berlaku selepas seseorang individu mengalami/menyaksikan sesuatu tragedi/trauma yang sangat menakutkan, mengancam nyawa atau boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepada individu itu sendiri atau keluarga/sahabat terdekat.
Antara simptom PTSD:
1) ‘Intrusion’ – mengalami ulangan memori mengenai kejadian eg: mimpi ngeri, ‘flashback’
2) ‘Avoidance’ – mengelak apa-apa perkara yang boleh mengingatkan kepada tragedi tersebut
3) Altered mood/cognition – perubahan mood dan pemikiran
4) ‘Arousal’- cepat marah, mudah tersentak/terkejut, sukar tidur, kurang konsentrasi
Dapatkan pemeriksaan dan rawatan dari hospital/klinik terdekat dengan anda sekiranya anda mengalami simptom-simptom ini.
Isteri mana yang tak risau kalau suami berperangai ‘pelik’, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan jejaknya. Pantang bergaduh, berhari-hari malah berbulan-bulan dia ‘hilang’ dan akhirnya akan muncul secara tiba-tiba.
Terasa diri tak dihargai selayaknya sebagai seorang isteri, ditinggalkan umpama tiada perasaan. Malah lebih malang, nafkah pun tak diberikan.
Ikuti luahan rasa seorang isteri yang dijawab oleh kaunselor & penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, yang juga merupakan kolumnis ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang isteri yang telah menjalani hidup berumah tangga selama 13 tahun lamanya. Suami itu adalah pilihan hati saya sendiri.
Sempat Bermadu
Sebenarnya pada awal perkahwinan, saya merupakan isteri kedua dan selama setahun saya sempat hidup bermadu. Ketika itu suami adil bergilir-gilir di antara rumah saya dan isteri pertama. Namun jodoh suami dan isteri pertamanya tidak panjang dan mereka bercerai. Akhirnya saya satu-satunya isteri suami.
Puan, terus terang, lebih banyak air mata yang tumpah sepanjang perkahwinan kami, berbanding gelak ketawa. Namun, demi sayang, saya tetap cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini. Suami bekerja sendiri tapi saya tak pernah merungut dan sedia hidup bersederhana.
Perangai Pelik
Puan, suami saya ada satu perangai pelik, suka menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sepanjang itu dia takkan akan jawab telefon atau SMS/whatsapp saya. Kami tak pernah bertengkar teruk. Bila saya menasihatinya tentang sesuatu perkara, andai dia terasa, dia secara tiba-tiba saja akan menghilangkan diri selama berhari-hari.
Keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun lalu. Puas saya fikirkan kenapa tapi saya tak dapat cari jawapannya. Paling lama, tahun lalu, selama tiga bulan dia menghilang tanpa berita. Sepanjang tempoh itu, segala perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri.
Suami juga tidak pernah ambil endah tentang hal lain sehingga abang saya meninggal dunia pun dia tidak muncul. Bila saya whatsapp, tak dibalas walau pun saya tahu dia sudah membacanya. Selang beberapa hari, hanya dibalas dengan ‘ok’. Agaknya kalau saya meninggal pun dia takkan ambil kisah.
Pejabat Agama
Akibat ditinggalkan selama tiga bulan, saya merujuk kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mereka minta saya membawa suami bersama untuk sesi kaunseling tapi sudah pasti tidak dihiraukan oleh suami. Saya juga pernah ke mahkamah syariah tapi melihatkan proses yang rumit, membuatkan saya putus harapan untuk menegakkan hak saya.
Kini, ketika saya menulis kepada puan, suami sudah sebulan menghilang. Puas saya cuba hubungi tapi tidak diendahkannya.
Saya amat tertekan dengan keadaan ini dan saya inginkan nasihat untuk saya keluar daripada masalah ini. Sabar saya sudah hilang kerana selama ini saya sudah terlalu banyak memendam rasa. Air mata menjadi teman setia. Tapi sampai bila harus saya bersabar andai dia tidak juga berubah?
Sebenarnya sikapnya yang suka menghilang itu pernah dilakukan ketika bersama isteri pertama sehingga bekas isterinya menuntut cerai secara fasakh kerana dia tidak pernah hadir ke mahkamah. Apakah itu juga yang patut saya lakukan?
Keluarga saya tidak tahu akan masalah saya ini kerana saya tidak suka berkongsi kisah rumah tangga hingga boleh memburukkan suami pula. Dengan ibu mentua pula, pernah saya mengadu tapi saya pula dipersalahkan kerana dia terlalu percayakan anaknya itu.
Puan, selama ini saya banyak bersabar dan tak putus-putus berdoa agar saya diberikan pertunjuk terhadap kemelut yang saya sedang alami ini. Namun saya semakin tertekan. Apakah tindakan sewajarnya yang boleh saya ambil? Bantulah berikan saya nasihat.
Isteri Tertekan, Kuala Langat Selangor.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assaalamualaikum puan yang dirahmati Allah….
Perjalanan hidup dalam alam berumah tangga pasti ada pelbagai ujian dan rintangan. Ada orang dikurniakan pasangan yang punya tanggungjawab, penyayang dan mengambil berat hal isteri dan anak-anak. Makan, pakai , tempat tinggal dan kenderaan disediakan mengikut kemampuan yang ada. Kebanyakan isteri bukan sangat mengharapkan suami menyediakan pakaian, makan, tempat tinggal dan wang yang mewah untuknya. Memadai punya tanggungjawab, ambil berat, dan menyayangi anak isteri pada setiap waktu. Ikatan kasih yang ditunjukkan akan menjadikan isteri semakin setia dan kasih.
Setia
Mengikut teori, majoriti isteri lebih setia terhadap suami berbanding suami terhadap isteri (namun ini bukan satu yang tepat seratus peratus). Hatta hingga suami sakit, isteri akan setia menjaganya hingga ke akhir hayat. Setia walaupun suami mengabaikannya dan anak-anak atau mengambil kesempatan terhadap kesenangan isteri. Asalkan dia tidak ditinggalkan, demi anak-anak khususnya.
Bukan mudah untuk menangani suami yang ada sejarah hidupnya sendiri. Sekadar nasihat dan bimbing dia belum pasti berjaya..kerana situasi itu telah sebati dalam hidupnya, malah sifat keegoan mereka yang kuat. Kehilangan suami untuk beberapa tempoh masa mesti ada sebabnya kenapa dia menghilang. Sudahkah puan mengetahui punca dia menghilang? Sebagai seorang isteri, saya rasa puan pasti tahu ke mana dan apa yang dia buat. Jika tidak diketahui, cuba cari maklumat dari rakan-rakannya, saudaranya, malah boleh juga bertanya daripada bekas isterinya. Biasanya orang yang sebegini ada aktiviti yang dia lakukan. Mungkin juga berkaitan dengan dadah (maaf), aktiviti santai bersama rakan-rakan (mungkin judi, lepak-lepak, clubbing), atau aktiviti yang tidak langsung memberi faedah kepada diri, malah yang memberi kemudharatan pada dirinya. Mungkin juga ada wanita lain.
Puan tidak perlu membuat penafian pada diri sendiri terhadap apa aktivitinya yang dibuatnya. Mungkin ia memudaratkan diri dan keluarga. Lihat pada kewangannya, adakah digunakan secara yang betul dan diberi kepada keluarga atau lebih banyak dihamburkan kepada aktiviti yang tidak berfaedah? Perceraiannya dengan isteri pertama dahulu, adakah disebabkan dia tidak mahu dimadukan atau kerana keterlibatan suami dia dengan aktiviti yang memudaratkan?
Ubat Jiwa
Dalam kemelut menghadapi ujian dalam hidup, dalam Quran surah al-Baqarah ada menyebut…hadapilah ujian hidup yang kamu hadapi dengan SABAR DAN SOLAT. Mungkin saya atau orang lain senang berkata. Tapi itulah ubat untuk merawat jiwa. Banyakkan zikir mohon pertolongan Allah. Bangun setiap malam mohon bantuan Allah. Banyakkan solat..membaca al-Quran…kerana dari sini puan akan ketemu ketenangan. Ianya memerlukan usaha yang istiqamah (berterusan) dan membina kekuatan dalam. Kata alim ulama, kekuatan dalaman diperolehi dengan membanyakkan solat malam. Ini adalah makanan rohani, inilah ubat “kuat” kepada ujian hidup….. vitamin kepada kekuatan dalaman untuk menghadapi kemelut dalam ujian hidup. Jika kuat di dalam, maka apa jua ujian dalam hidup dapat dihadapi dengan tabah.
Cuba dapatkan jawapan kepada ‘misteri’ kehilangan suami daripada sumber yang saya sebutkan. Apabila puan telah mendapat jawapan kepada persolan ini, puan boleh beri kata dua kepadanya adakah dia mahu hidup dengan puan atau meneruskan aktivitinya? Beri dia pilihan. Pilihan ini diberikan setelah puan menasihatinya dan membimbingnya, malah telah sekian lama mendoakan perangainya untuk berubah. Jangan takut kepada “kehilangan”.
Mungkin pilihan yang minta dibuat ini menjadikan dia sedikit gentar. ( Namun mungkin tidak). Lihat kepada “jaraknya”. Sejauh mana tindakan puan memberi kata dua itu memberi kesan kepadanya, hanya puan yang tahu. Lagi puan tunjukkan sifat takut terhadap kehilangannya, maka selagi itu dia berani dengan aktivitinya yang suka menghilangkan diri. Jika puan sudah tidak mampu menanggung kerenahnya, maka puan boleh cuba – katakan kepadanya jika awak (abang) pergi kali ini, maka awak tidak perlu balik lagi selepas ini. Ini mungkin gertakan yang mungkin dia tidak kisah atau boleh jadi juga dia rasa terancam.
Kuat
Apa jua reaksinya puan mesti kuat. Kuat menghadapi ujian hidup. Seperti yang saya katakan, jangan takut kepada kehilangan jika itu yang ditakdirkan (itu pun setelah puan menasihati, membimbing dan bersabar dengan karenahnya). Saya pernah mempunyai klien yang mempunyai suami yang baran dan ego yang tinggi. . Alhamdulillah dengan kebijaksanaannya “mengurus keadaan”, membina kekuatan dalamannya selama beberapa tahun, bersabar dan melakukan aktivitinya sendiri dengan tidak menumpukan perasaan dan emosinya terhadap suami, kini dia sudah mampu menjalani kehidupannya dengan agak baik, walaupun dia masih tidak mendapat apa yang dia harapkan daripada suami.
Puan juga boleh menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika tidak sangat menumpu kepada suami, kurangkan pergantungan emosi dan perasaan terhadap suami, pelbagaikan aktiviti yang bermakna dalam kehidupan, sibukkan diri dengan aktiviti yang diminati atau yang menambah pendapatan, seperti berniaga secara kecil-kecilan, mencari peluang berniaga atau aktiviti riadah, kemasyarakatan yang akan menjadikan puan lebih sibuk sehingga puan tidak sangat memikirkan tentang dirinya. Cuba cipta keadaan “bukan puan yang mencarinya…tetapi dia sendiri yang akan kembali ke pangkuan puan”, semuanya bergantung kepada bagaimana puan menangani kerenahnya, mengurus emosi puan, dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baik aktiviti. Bergantung harap kepada Allah..bukan kepada manusia.. Insya Allah puan akan mendapat ketenangan. Wallahualam…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Duit tak pernah cukup pun! Nak belanja pun tersekat-sekat. Nak makan pun berkira sebab gaji kecil. Di sebalik merungut, kita masih mampu beli air viral...