Tahun Ini Penuh Pengajaran, Allah Didik Kita Jadi Hamba Dicintai-Nya

Share

Tahun ini, bermulanya 18 Mac 2020 kita melalui fasa yang tak pernah terjangka dalam fikiran kita.  Kehidupan kita berubah 180 darjah. Saya juga tidak terlepas daripada melalui fasa tersebut.

Tahun Ini Banyak Belajar Hal Baru

Jika sebelum ini saya tidak memberatkan hal-hal online tetapi kini saya sangat sedar bahawa ianya satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Tempoh berkhalwat dalam rumah yang dikurniakan Allah SWT saya gunakan sepenuhnya untuk mempelajari hal-hal baru dalam menempuh kehidupan yang mendatang.

Pada awal tahun ini saya telah diajak oleh seorang teman untuk menyertai satu perniagaan pendidikan.  Katanya tahun 2020 ini adalah tahun pendidikan. Tahun yang mana mereka yang berada dalam industri pendidikan akan mengaut keuntungan yang banyak.

Katanya lagi, sangat rugi orang seperti saya mengabaikan peluang yang datang entah berapa tahun sekali. Saya tidak menyatakan apa-apa persetujuan dan tidak juga memberi sebarang komen tentang perniagaan yang diceritakan itu. Dalam banyak hal saya lebih senang untuk mendiamkan diri dari memberi pandangan tanpa diminta.

Tahun Penuh Dugaan

Dua minggu selepas PKPP diumumkan, beliau kembali menghubungi saya. Namun kali ini nadanya sangat berbeza.  Katanya beliau telah meletakkan modal yang tinggi demi memastikan keuntungan yang lumayan dalam perniagaan yang pernah disarankan kepada saya.

Beliau tidak pernah menjangkakan PKP akan berlaku hingga menyebabkan semuanya rancangannya terencat.  Justeru, sekarang beliau sedang mencari-cari peluang baru yang dapat menebus kembali kerugian yang ditanggungnya sejak beberapa bulan yang lalu.  Sesuatu yang menarik dari semua kata-katanya ialah “untung tuan tak masuk, kalau tidak jadi macam saya.”

Masih Beruntung

Benar, mungkin saya beruntung.Tetapi dia juga masih beruntung kerana masih boleh meneruskan kehidupan. Ramai teman-teman saya yang berniaga bukan sahaja berkeluh kesah tetapi ada yang menangis memikirkan perniagaan yang tidak berupaya untuk bergerak ke hadapan walau seinci.

Sewaktu orang bercerita tentang tahun Pendidikan dan pentingnya untuk berada dalam industi pendidikan pada tahun ini, saya berkongsi pemahaman saya terhadap tafsiran angka dan tahun yang saya pelajari sejak tahun 2004.

Pada saya numerologi tetap mempunyai angka yang sama, 0 hingga 9.  Apa yang membezakan bukanlah formula kiraannya tetapi tafsirannya.Setiap ilmu itu bergantung orang yang menfsirkan dan orang mengamalkan. Jika tafsirannya kurang tepat makan amalannya juga akan kurang efektif.

Baca lagi di sini:

Ujian & Musibah Penghapus Dosa, Moga Digantikan Dengan Sesuatu Lebih Baik!

Allah Ciptakan Virus Covid-19 Sebagai Peringatan, Hanya Taubat Jadi Penawar Virus

https://www.instagram.com/mingguanwanita

Didikan Allah

Tahun 2020 ini adalah tahun pendidikan yang perlu kita lalui. Kita akan diberi didikan oleh Allah SWT. Mahu tidak mahu kita perlu melalui semuanya. Sama seperti saya, biarpun sebelum ini saya tahu pentingnya hal-hal online tetapi saya tidak memberatkannya.

Nah, apabila datang didikan dari Allah SWT, saya tiada alasan lagi. Saya perlu melalui fasa pembelajaran ini. Saya pernah memberitahu seorang sahabat saya sewaktu kami berbual di telefon mengisi waktu terluang semasa PKP.  Saya katakan padanya inilah waktu yang terbaik untuk mengubah diri. Inilah waktu terbaik untuk mendisiplinkan masyarakat.

Tahun Penuh Perubahan

Hasil dari PKP, kita dapat melihat perubahan disiplin pada masyarakat. Biarpun segelintir dari masyarakat masih cuba melanggar peraturan yang ditetapkan tetapi pada saya tiada apa pun dalam dunia yang sempurna 100%.  Jika wujud kesempurnaan itu maka kita tidak memerlukan undang-undang dan penjara.

Biarpun kini kita sudah melepasi fasa PKPP, kita perlu sentiasa mengekalkan disiplin yang ada. Biar kita hidup seperti zaman ayah dan ibu kita. Hidup di zaman mereka tiada banyak tekanan kerana kita tidak terlalu sibuk mengejar hal-hal dunia. Kedai-kedai dahulu semuanya mula tutup jam 10 malam. Rancangan televisyen juga akan berakhir selepas berita tengah malam. Mereka hidup sihat,berfikiran positif dan sentiasa berdisiplin menghadapi hari esoknya.

Didikan Untuk Dekatkan Diri Pada-Nya

Kini kita kembali ke zaman itu. Aktiviti selepas jam 12 malam tidak lagi seperti dahulu.  Masuk sahaja jam 11 malam masing-masing sudah mula sibuk untuk pulang ke sangkar. Kita sentiasa ada masa yang berkualiti untuk bersama keluarga. Ketakutan kita pada musuh yang tidak nampak mengubah hubungan kita dengan Allah SWT.

Akhirnya kita semakin rapat dengan Allah SWT.  Kita semakin ingat dengan Allah SWT dan kita semakin patuh segala suruhan-Nya.  Bukankah ini satu didikan. Manusia adalah makhluk yang degil. Makanya didikan itu tidak boleh sehari dua atau seminggu dua mahupun sebulan dua.

Kita perlu dididik untuk masa yang panjang agar kita sentiasa ingat dan patuh kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh para rasul. Kita memang perlu dididik kerana kita sudah mula lupa jalan untuk pulang biarpun kita selalu bercerita tentangnya. Semoga kita berhasil menjadi hamba yang taat dan dicintai Allah SWT.

Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Surip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)

Published by
webadmin