Penyanyi antarabangsa Yunalis Mat Zara’ai atau lebih dikenali sebagai Yuna, 32, selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Adam Yuosof Mohamed Sinclair, 34, tepat 7 petang tadi di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.
Pasangan mempelai dinikahkan Jurunikah Majlis Agama Bentong, Ustaz Azmi dengan hanya sekali lafaz dan diwalikan ayahnya, Datuk Mat Zara’ai.
Yuna yang manis dalam persalinan rekaan Hatta Dolmat menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas 11 dulang.Manakala mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.
Yuna dan Adam akan mengadakan sidang media khas pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya bagi berkongsi lanjut mengenai pernikahan mereka. Pasangan ini juga bakal mengadakan majlis resepsi pada Ahad ini di hotel ternama di Kuala Lumpur.
Terdahulu Yuna dan Adam bertunang pada 5 Ogos lalu. Alhamdulillah, tempoh pertunangan selama hampir 5 bulan mereka dipermudahkan dan diakhiri dengan ikatan suci perkahwinan.
Menerusi gambar yang dikongsi, majlis pernikahan itu bertemakan dalam taman dengan berlatar belakangkan gunung ganang dan hutan semula jadi. Keluarga pihak lelaki dilihat tampil sedondon dengan baju Melayu bertemakan warna coklat manakala pihak perempuan bewarna jingga.
Menurut kenyataan pihak pengurusannya,Yuna Room Records kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan kedua-dua pihak dari Malaysia dan Amerika Syarikat hadir dalam majlis yang diadakan secara tertutup itu. Kedua mempelai juga mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan dari semua pihak.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai,Selamat Pengantin Baru dan Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat!