
Isi Kandungan
TogglePenyanyi antarabangsa Yunalis Mat Zara’ai atau lebih dikenali sebagai Yuna, 32, selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Adam Yuosof Mohamed Sinclair, 34, tepat 7 petang tadi di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.
Pasangan mempelai dinikahkan Jurunikah Majlis Agama Bentong, Ustaz Azmi dengan hanya sekali lafaz dan diwalikan ayahnya, Datuk Mat Zara’ai.
Yuna yang manis dalam persalinan rekaan Hatta Dolmat menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas 11 dulang.Manakala mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.
Sidang Media Khas
Yuna dan Adam akan mengadakan sidang media khas pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya bagi berkongsi lanjut mengenai pernikahan mereka. Pasangan ini juga bakal mengadakan majlis resepsi pada Ahad ini di hotel ternama di Kuala Lumpur.
Lima Bulan Betunang
Terdahulu Yuna dan Adam bertunang pada 5 Ogos lalu. Alhamdulillah, tempoh pertunangan selama hampir 5 bulan mereka dipermudahkan dan diakhiri dengan ikatan suci perkahwinan.
Menerusi gambar yang dikongsi, majlis pernikahan itu bertemakan dalam taman dengan berlatar belakangkan gunung ganang dan hutan semula jadi. Keluarga pihak lelaki dilihat tampil sedondon dengan baju Melayu bertemakan warna coklat manakala pihak perempuan bewarna jingga.
Menurut kenyataan pihak pengurusannya,Yuna Room Records kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan kedua-dua pihak dari Malaysia dan Amerika Syarikat hadir dalam majlis yang diadakan secara tertutup itu. Kedua mempelai juga mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan dari semua pihak.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai,Selamat Pengantin Baru dan Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat!
Sumber: mstar, hmetro & Yuna Room Records
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebelum Temui Ajal, Arwah Dah Siap Basuh, Lipat Dan Gosok Baju Sekolah Anak, Rumah Pun Dikemas Bersih

Isi Kandungan
Toggle22 Januari lalu viral kisah seorang lelaki, Mohd Idrus Ibrahim, 44 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung ketika memandu selepas menghantar anak sulungnya, Muhammad Adam Harith, 8 ke sekolah agama di SRA Jalan 6 Bangi.
Lebih menyayat hati, isteri arwah, Mas Suni Mat Hussin, 35, sedang berpantang hari kelima selepas melahirkan cahaya mata ketiga.
Arwah Mohd Idrus baru sahaja menghantar Mas Suni pulang ke kampung di Kelantan. Isteri arwah seorang Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan dan bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ramai yang sedih saat Muhammad Adam Harith mengalirkan air mata dan sayu dengan berpakaian sekolah agamanya melihat jenazah bapanya yang dikasihi.
Arwah ayahnya meninggal hanya selepas beberapa minit menghantarnya ke sekolah agama. Dalam perjalanan balik ke rumah kurang 1 km dari sekolah arwah menemui ajalnya. Khabarnya anak sulung arwah ini sangat disiplin dan ini diakui oleh guru sekolah.
Sewaktu dihubungi isteri arwah, Mas Suni kedengaran suaranya yang tenang dan akui kini dia dan keluarga redha dengan pemergian arwah.
“Kami redha dengan pemergiaan arwah, namun walaupun arwah sudah tiada kami masih teringat dan terkenang saat-saat dia masih bernyawa. Alhamdulillah Allah berikan saya kesihatan yang baik untuk saya kuat demi anak-anak yang masih kecil.
“Sebelum arwah pergi dia seperti sudah tahu ajalnya akan hadir. Arwah kemas rumah bersih seperti dia tahu orang ramai akan datang ziarahinya.
“Dia juga sudah siap basuh, lipat baju dan menggosok baju sekolah anak-anak. Mungkin sebab dia tak mahu susahkan saya,” ungkap Mas Suni ketika dihubungi.
Arwah Sempat Teman Isteri Melahirkan Anak Ketiga
Ditanya tentang perubahan arwah saat-saat akhir hayatnya, tidak ada banyak yang berubah cuma arwah bawa mereka sekeluarga ke restoran yang biasa dikunjungi dan sempat menjenguk keluarganya.
“Saya ingatkan macam biasa, arwah ajak kami sekeluarga makan di tempat biasa kami pergi. Malah dia pernah ungkap “entah bila kita dapat pergi bersama lagi.”
“Rupa-rupanya apa yang dikatakan memang terjadi dan itulah kali terakhir kami ke sana bersama arwah. Pada ketika itu walaupun letih namun saya gagahkan juga. Malah arwah juga sempat menjenguk keluarganya.
“Apa yang anak nak makan, dia akan tunaikan. Makan dan minum dan minta apa saja, tak ada bertangguh-tangguh pun. Arwah juga sempat menemani saya di bilik bersalin untuk kelahiran ketiga,” terang Mas Suni yang menyatakan arwah suaminya tidak pernah mengadu sakit.
Anak Kedua Patah Tangan..
Orang ramai turut menghubunginya tentang kemalangan yang menimpa suaminya itu. Dan ketika itu dia segera memaklumkan ustazah tempat anaknya belajar dan bertanya sama ada Adam sudah sampai di sekolah atau belum.
“Anak kedua darjah satu. Tapi baru-baru ini dia terjatuh dan tangannya patah. Jadi cuma Adam saja dengan arwah ayahnya.”
Terangnya memaklumkan dia mengenali suaminya ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah pejabat dan mengikat hubungan sebagai suami isteri tidak berapa lama selepas itu.
Kini Mas Suni yang bekerja sebagai Penolong Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu 14, Hulu Langat dia mendapat bantuan dari kedua belah keluarga dirinya dan arwah suami dalam meneruskan kehidupan seharian.
“Famili saya dan famili arwah suami akan bantu saya untuk hantar anak ke sekolah. Selepas habis berpantang, saya perlu cari alternatif lain untuk ke tempat kerja. Saya mesti kuat demi anak-anak,” kata Mas Suni.
Kalau Menangis Pun, Dah Tak Ada Siapa Nak Pujuk
Menyentuh tentang ragam anak-anak selepas ketiadaan arwah, Mas Suni menjelaskan anak-anak sudah faham dan menerima takdir yang sudah tertulis buat mereka sekeluarga.
“Adam ada tanya tentang ayahnya. Dia tahu ayahnya sudah tiada kerana dia dibawa oleh gurunya ke lokasi kejadian di mana ayahnya sudah meninggal dunia.
Kata Adam, “Nanti kita pun mati juga” dan saya mengiyakannya dan menjawab, “Memang kita semua akan mati, semua akan pergi ke sana,” jawabnya.
Demi 3 orang anak lelaki ini, Mas Suni perlu bangkit.
“Saya tak boleh rasa sedih sebab saya perlu kuat dan anak-anak merupakan semangat untuk saya teruskan kehidupan.
“Bila ada sesuatu masalah saya tidak ada lagi suami untuk bergantung, saya perlu cari jalan selesaikan segalanya sendirian.
“Kalau nangis tak ada siapa yang nak pujuk, jadi saya perlu kuat. Namun saya beruntung kerana dikelilingi ahli keluarga yang banyak membantu.
“Sekarang ini saya perlu lakukan aktiviti yang menggembirakan supaya saya dan anak-anak tidak berterusan berasa sedih.
“Nanti bila sudah pulang ke Bangi saya akan bawa anak-anak ke pusara ayah mereka untuk mengubat rasa rindu.”
Foto: Koleksi Peribadi Mas Suni
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Datuk Seri Vida Sampai Sakit Kepala Hampir Kena Scam RM30,000

Isi Kandungan
ToggleDalam video berdurasi 18 minit 38 saat, jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida meluahkan kebimbangannya selepas menerima panggilan telefon daripada penjenayah scammer yang hampir memperdayakan wang miliknya sejumlah RM30,000.
Beliau yang memuat naik video itu di facebook miliknya, Sayang-Sayang DSV membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga selepas menerima ancaman sindiket penipuan scammer ini.
Berkali-kali juga Datuk Seri Vida meminta orang ramai ‘share’ videonya itu agar orang ramai tidak terpedaya seperti dirinya. Tindakan penipu yang sebegitu licik bermain psikologi membuatkan, pengasas Pamoga ini tidak dapat lari dan terus melayan penjenayah dekat 2 jam lamanya di talian.
“Biasanya saya tak angkat call, bila tengok no bank saya angkat. Dia kenalkan diri, pegawai beri no kad ID. Maklumkan yang akaun saya dibekukan kerana ada loan RM30,000.” Ujar Datuk Seri Vida atau nama penuhnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dalam video yang dikongsikan itu.
Selepas memaklumkan yang akaunnya dibekukan, scammer itu mengaitkannya dengan kegiatan mengedar dadah. Walau bagaimanapun, beliau sempat menghubungi peguam sebelum meneruskan perbualan dengan scammer.
“Dia beri ugutan, kata akaun dibekukan sebab penyalah gunaan dadah disebabkan seseorang suspek yang ditangkap mempunyai kad ATM saya.
“Aku jual Pamoga, Qu Puteh bukan jual dadah. Saya bersama penjenayah dan saya mengaku yang saya Dato’ Seri Vida.” Sambungnya memaklumkan sampai sakit kepala disebabkan perbuatan tak bertanggungjawab scammer.

Dekat Final Stage Scammer Nak Dapat Duit, Peguam Datang
Mujurlah beliau sempat menghubungi peguam. Sampailah dekat final stage scammer mahu mendapatkan wang miliknya, peguamnya sempat sampai dan memberitahu yang itu adalah panggilan scammer.
“Saya sampai lembik disoal siasat (merujuk pada scammer). Mereka pandai sampai saya stuck dalam perbualan.”
Dalam pada itu, Datuk Seri Vida juga mengingatkan orang ramai agar tidak terperangkap dan terpedaya dengan panggilan-panggilan yang mencurigakan. Beliau berhadap pihak PDRM akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap penjenayah scammer ini.
Penjenayah scammer menggunakan modus operandi yang sangat licik. Mereka menggunakan nombor talian telefon yang sama dengan pihak bank, balai polis membuatkan mangsa mudah diperdaya.
Sindiket ini juga mempunyai data peribadi mangsa yang tepat sehingga boleh menyebabkan mangsa secara psikologinya menjadi bimbang dan tertekan.
“Rezeki ini halal, jadi tuhan lindungi. Ramai mendoakan keselamatan dan bisnes saya. maka atas doa mereka yang Allah makbulkan inilah saya terselamat dari menjadi mangsa scammer yang tak berhati perut.”
Sebelum mengakhiri sidang videonya itu, beliau berdoa agar dilindungi daripada musibah yang tidak diingini. Mendoakan agar yang baik-baik saja dekat dengannya. Amin
Video Datuk Seri Vida Berhubung Scammer Yang Cuba Menipunya
Sumber/Video : Facebook Page Sayang-Sayang DSV
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Elak Rumah Runtuh Hujan Lebat, Bina Benteng Sementara Guna 20,000 Baju Terpakai!

Isi Kandungan
ToggleElak Rumah Runtuh Hujan Lebat, Bina Benteng Sementara Guna 20,000 Baju Terpakai! Pelbagai cara kreatif dan persiapan awal boleh dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir, musim tengkujuh yang diramalkan bermula pertengahan November ini.
20,000 Baju Terpakai Dijadikan Benteng
Seorang petani menggunakan kira-kira 20,000 helai pakaian terpakai atau bundle untuk dijadikan benteng sementara bagi menahan hakisan tebing di kawasan binaan konkrit di belakang rumahnya di Kampung Kok Keli 2, di sini sejak empat bulan lalu.
Ismail Ibrahim, 38, mengambil inisiatif itu selepas sebuah bangsal yang dibinanya pada tahun lalu untuk penduduk kampung belajar mengaji al-Quran runtuh apabila berlaku kejadian hakisan tanah Jun lalu.
Penahan Hakisan Tanah
Menurutnya, idea untuk menggunakan pakaian itu sebagai penahan hakisan tercetus selepas mendapati, tekstur kain akan mampat ke dalam tanah apabila terkena limpahan air Sungai Selehong sekiranya berlaku hujan lebat.
“Saya memperoleh baju-baju terpakai itu dari dua buah kedai bundle di Kampung Morak dan Wakaf Bharu di sini secara percuma. Saya hanya membayar kos penghantaran untuk membawanya ke rumah.
“Dua buah kedai itu sudah tidak mahu menjual pakaian-pakaian tersebut. Jadi, saya mengambil peluang itu dan menggunakannya sebagai benteng penahan tanah yang terhakis di belakang rumah agar runtuhannya tidak bertambah teruk buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.
Menurut Ismail, dia sebelum itu membuat tebing konkrit untuk menyokong kawasan tanah bagi membina bangsal mengaji al-Quran menggunakan wang simpanan hasil jualan padi dan haiwan ternakan sebanyak RM30,000.
Bagaimanapun, katanya, tebing tersebut runtuh apabila kawasan tanah terhakis semasa hujan lebat beberapa bulan lalu.
Kejadian Hakisan Tanah Kali Kedua
Ujarnya, ia merupakan kejadian hakisan tanah kali kedua yang berlaku di kawasan itu sejak 14 tahun tinggal di situ selepas bah besar pada 2014.
“Saya pernah menggunakan tayar kenderaan terbuang sebagai benteng sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan pakaian bundle sebagai penahan yang mampu memampatkan tanah.
“Benteng penahan ini digunakan buat sementara waktu sebelum musim tengkujuh melanda.
“Saya bersyukur apabila kerajaan melalui JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah meluluskan projek pembinaan benteng sejauh 60 meter di belakang rumah baru-baru ini,” katanya.
Katanya, kerja-kerja pembinaan benteng sudah bermula sejak Ahad lalu dan dijangka siap dalam masa terdekat.
Ujarnya, pembinaan benteng itu dapat mengelakkan rumahnya daripada runtuh jika berlaku limpahan air sungai akibat hujan lebat selepas ini.
Mesti Baca:Warga Emas Bina Rumah Terapung Guna Tong Plastik, Persediaan Banjir Musim Tengkujuh!
Baca Lagi Di Sini:Lumur Minyak Pakai Stokin, PETUA Elak Kulat Air & Kaki Kecut Terendam Banjir!
Artikel Menarik:Seawal Usia 4 Tahun Anak Ini Sudah Terdedah Misi Bantuan Banjir
Mingguan Wanita: Menarik idea bina benteng hakisan sementara ini guna baju terpakai. Apa pun ia sebagai ikhtiar persediaan dalam mengurangkan kerosakan yang mungkin dialami setiap tahun. Semoga dipermudahkan urusan buat mereka yang bakal menghadapi musim banjir nanti.
Sumber: Kosmo
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI