Tabiat Mata Terlalu Hampir Dengan Skrin, Anak Buat Rawatan Pembedahan Mata ‘Lazy Eye’ RM53 Di HKL. Zaman sekarang ini anak-anak dan gajet memang sukar untuk dipisahkan. Namun sebelum terlambat, mak ayah perlu pantau penggunaannya, supaya anak tidak terlalu fokus pada skrin gajet ini dan boleh menyebabkab ‘lazy eye’.
Bukan apa, kos untuk pembedahan dan rawatan membetulkan semula kornea mata ini pada pada kedudukan yang betul di hospital swasta boleh mencecah RM7,000. Namun, hospital kerajaan juga tidak kurang hebatnya mempunyai kepakaran dan peralatan canggih untuk melakukan pembedahan Lazy Eye pada harga yang jauh lebih murah.
Lazy Eye
Disebabkan ada yang bertanya bagaimana anak saya (Fateh Anaqi) melalui proses pembedahan mata Lazy Eye, saya akan kongsikan kepada umum secara lengkap.
Mata Terlalu Hampir Dengan Skrin
Ketika Anaqi dilahirkan ke dunia ini pada 7 Feb 2017, kedua-dua matanya normal.Anaqi ada tabiat apabila menonton televisyen, bermain komputer atau telefon, matanya terlalu hampir dengan skrin. Tambahan pula kami tidak pernah mengawal untuk dia melakukan perkara tersebut. Itu adalah kesalahan kami.
Sehingga umurnya mencecah 4 tahun, saya dan isteri mula perasan mata kiri Anaqi ada lari sedikit. Ya, sangat sedikit. Kami merasakan perkara tersebut hanya sementara dan akan hilang dengan sendirinya.
Setelah beberapa bulan, mata kanan Anaqi pula lari. Lama kelamaan, matanya semakin teruk.
Kami bawa dia ke Pusat Pakar Mata Oasis di Bangsar. Pusat ini memang agak tinggi sedikit harganya tapi bukan itu sebagai ukuran kami tetapi kepakarannya yang kami mahukan.
Doktor menasihati supaya Anaqi melakukan latihan mata setiap hari dengan menggunakan pensel dan eye patch. 1 tahun berlalu usaha itu tidak membuahkan hasil yang positif.
Saya mula mencari maklumat di dalam laman sesawang.
Buat Pembedahan Sebelum Usia 7 Tahun
Apa yang dapat saya simpulkan, hampir ke semua pesakit menasihati supaya pesakit Lazy Eye melakukan pembedahan segera sebelum usianya mencecah 7 tahun kerana pada usia tersebut anak akan mula masuk ke sekolah rendah dan akan berhadapan dengan kawan yang ramai. Khuatir anak tersebut akan di ejek dan ia boleh mendatangkan rasa rendah diri dan murung untuk dia ke sekolah lagi.
Saya pergi semula ke Pusat Pakar Mata Oasis untuk bertanyakan berapa kos pembedahan tersebut. Doktor memberitahu bahawa kosnya mencecah RM7000 dan boleh dilakukan bila-bila masa.
Ads
Cuma doktor di pusat tersebut tidak berani melakukannya kerana mereka tiada doktor pakar bius memandangkan umur Anaqi baru berusia 5 tahun. Untuk makluman, pembedahan mata bagi kategori Lazy Eye memerlukan bius sepenuh badan.
Jadi, saya meminta untuk doktor tersebut membuat 1 surat rujukan secara lengkap untuk saya bawa kepada Hospital Besar Kuala Lumpur.
Apabila surat itu saya bawakan kepada Doktor Pakar Mata di HKL, beliau sudah tahu apa yang perlu dibuat.
Perlu Keadaan Mata Statik Untuk Buat Pembedahan
Ya, Anaqi perlukan pembedahan. Cuma Anaqi perlu melalui “check up” setiap 4 bulan dan sebanyak 3 kali. Bermakna selama 1 tahun Anaqi wajib di pantau keadaan matanya supaya statik. Dalam tempoh 1 tahun itu, mata Anaqi mestilah tidak boleh bertambah buruk, atau pun bertambah baik. Ianya mesti statik supaya doktor tahu itulah tahap maksima mata Anaqi lari.
Setelah 1 tahun berlalu, usia Anaqi 6 tahun, doktor telah mendapatkan keputusan yang tepat di mana kedudukan otot mata Anaqi akan di bedah.
Tabiat Terlalu Fokus Pada Sesuatu Objek
Anaqi akan di bedah pada otot mata di bahagian tepi kiri dan kanan supaya dapat dilonggarkan. Untuk makluman pembaca, pesakit Lazy Eye mempunyai tabiat terlalu fokus pada sesuatu objek itu sehinggakan otak tak mampu mengawal otot pada matanya. Jadi otot itu mesti dilonggarkan kerana terlalu ketat.
Sehari sebelum pembedahan, Anaqi dimasukkan ke dalam wad untuk pemantaun kesihatan. Dia tidak boleh demam, batuk atau apa sahaja infeksi.
Ads
6 jam sebelum pembedahan, Anaqi kena berpuasa.
Tiba bilik pembedahan, Anaqi diberi pilihan untuk ditidurkan menggunakan gas melalui pernafasan atau melalui suntikan. Sedikit pun Anaqi tidak takut dan memilih untuk ditidurkan melalui gas pernafasan.
5 minit selepas itu Anaqi tertidur. Ketika ini doktor memberi kebenaran untuk ibu atau ayah penjaga memberi kucupan terakhir kepada anak sebelum pembedahan bermula. Yang ni agak sayu beb.
Pembedahan mengambil masa 1 jam sahaja.
Selepas 1 jam pembedahan, Anaqi dibawa keluar dari bilik pembedahan. Ketika ini ibu atau ayah penjaga perlu mengejutkan anak supaya bertindak balas. Alhamdulillah Anaqi bertindak balas walau dalam keadaan separuh sedar.
Doktor minta ibu atau ayah memantau anak sehingga benar-benar sedar dan mampu untuk membuka matanya dengan sendiri.
4 jam kami ambil masa untuk menunggu Anaqi sedar sepenuhnya. Ketika itu, Anaqi membuka matanya walau agak pedih katanya.
Ajaibnya mata Anaqi lurus seperti sediakala. Cuma di bahagian tepi kiri dan kanan bola mata Anaqi ada kesan merah dan darah terkumpul. Kata doktor, itu hanya kesan pembedahan dan ianya akan hilang dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.
Selepas itu, Anaqi boleh terus pulang.
Ubat yang diberi, “eyemo” dan ubat krim untuk alahan.
Anaqi tidak akan berasa selesa buat beberapa hari kerana dalam bola mata Anaqi ada benang yang telah dijahit pada otot mata.
Usah bimbang, benang tersebut akan rapuh dengan sendirinya dalam masa 1 atau 2 minggu.
Ads
Bayaran Rawatan & Pembedahan RM53
Bayaran yang dikenakan oleh pihak HKL adalah sebanyak RM53 sahaja.
Ya, murah dan tak masuk akal. Itulah kebaikan dan keperihatinan kerajaan kita yang tidak ada di mana-mana di dunia ini. Alhamdulillah syukur jadi rakyat Malaysia.
Kata doktor, ramai yang tidak tahu, sekarang negara kita sudah ada doktor pakar dalam bidang ini. Tidak perlu keluar negara lagi. Negara kita juga ada kepakaran dan peralatan canggih untuk melakukan pembedahan Lazy Eye.
Hari ini genap 1 bulan Anaqi mempunyai mata baru. Matanya sudah kembali normal. Lurus dan pandangannya jelas. Merah dan darah kesan dari pembedahan sudah semakin hilang.
Kami bersyukur Anaqi sudah selamat seperti sediakala. Terima kasih doktor di HKL kerana berjaya melakukan pembedahan yang sangat berisiko ini. Terima kasih juga atas doa kalian semua.
Alhamdulillah, terima kasih Tuhan. Amin.
Semoga tulisan ini bermanfaat buat kalian. Terima kasih.
Nampak comel betul bila pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu 35, Ernie Zakri berjalan meninggalkan pentas AJL35. Langkahnya pendek-pendek disebabkan busana unik yang disarungkan ke tubuhnya itu. Kongsinya, baju itu diilhamkan dari kisah arwah neneknya waktu zaman bercinta dengan datuknya di awal tahun 50-an.
“Ya, baju ini saya ‘pay homage’ to Allahyarham Rokayah binti Abdullah, nenek saya. Berasal dari Melaka. Gemar memakai kebaya, bercinta dengan atok awal tahun-50an.
Tentu ada sebab dan kisah di sebalik baju baju yang saya peragakan. Banyak cerita yang saya sampaikan pada @amaze_official dan sekali lagi mereka berjaya menyampaikan “jiwa” lagu ini.” jelas Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri yang tercuit hati dengan komen dengan orang ramai mengenai busana yang digayakan pada malam juara lagu.
Malah, Ernie pernah jelaskan sebelum ini di Hot FM, lagu Gundah hasil ciptaannya bersama Sharon Paul itu sebenarnya dari kisah cinta datuk dan neneknya. “Selepas nenek saya meninggal dunia, dia rasa gundah.”
Dari Lagu Menjadi Baju..
Dan inilah hasil terjemahan busana inspirasi dari budaya Peranakan yang melatari sejarah kehidupan arwah nenek Ernie Zakri.
Menurut amaze_official, mereka juga tidak mahu terlepas dari memberi penghormatan kepada Allahyarham menerusi hasil rekaan busana yang indah.
“Gaya ini diinspirasikan dari budaya Peranakan; menceduk siluet dari seni tembikar kaum Baba Nyonya ini. Kenapa Peranakan? Kerana kami juga mahu ‘pay homage’ pada arwah nenda Ernie, yang berketurunan peranakan.
Juga ada bayangan siluet kebaya ramping dengan ‘wasp waist’ juga pinggul lebar serta potongan skirt tirus yang popular di era 50-an, juga era di mana bibit pertemuan datuk dan nenek bertaut.”
Ernie Zakri Tak Ubah Seperti Tugu Peringatan
“Pada asalnya, kami bermula dengan rona merah cili, cuma pada saat-saat akhir, kami menukarkan kepada hitam rona monokromatik; agar mood berkabung itu lebih bangkit.
Tiada perincian sarat mewah kali ini, hanya mengharapkan kerdipan batuan Swarovski juga fabrik broked metalic. Cukup sekadar mengangkat siluet tembikar bujur semata-mata.
Tidak suka, tidak mengapa. Tidak hidup dek puji, tidak mati dek keji. Yang penting, Ernie tampil ‘statuesque’; tak ubah seperti tugu peringatan lambang cinta abadi. Lagipun, sampai bila nak bergaya potongan duyung tak sudah bukan?”
Dan, boleh hadam kan kenapa malam persembahan itu, begitu sebak Ernie menyampaikan lagu Gundah. Emosi itu terbawa-bawa sampai ke akhirnya.
Dianugerahkan anak istimewa ini adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul sebaiknya. Mungkin seorang masih mampu terima seadanya. Tapi tak boleh bayangkan bagaimana bapa tunggal ini jaga 5 anak istimewa tanpa isteri disisi.
Inilah yang dialami oleh Mohd Rani Mat yang perlu menjaga dan menguruskan 5 anak istimewa yang tidak pandai uruskan diri sendiri dari kecil sehinggalah sekarang.
“Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menjaga, menguruskan dan menyayangi lima anak istimewa ini”.
Itulah kata Abdul Rani Mat, 62, dari Kampung Rumbia, Beserah, Kuantan yang kini bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan lima anak istimewanya setelah isteri, Zawiyah Mahmud, 58, meninggal dunia pada 24 April lalu.
Lima anak istimewa itu adalah, Mohamad Asrul Nizam, 37, Siti Nurul Ashikin, 34, Mohamad Iskandar, 30, Mohamad Ikmal Hakimi, 23, dan Mohamad Amir Azwan, 19.
Menurut Abdul Rani, kelima-lima anak istimewanya itu perlu dipantau dan diuruskan kerana mereka tidak pandai menguruskan diri sendiri.
“Kesemua anak istimewa saya ini juga tidak boleh bercakap sejak dari kecil, bagaimanapun faham dan dengar jika kita bercakap dengan mereka.
“Dahulu, saya dan arwah isteri menguruskan mereka bersama-sama, kini ia tanggungjawab saya sepenuhnya, namun, ia bukan beban buat saya,” katanya di sini semalam.
Abdul Rani berkata, kelima-lima anak istimewa itu dilahirkan normal seperti mana kanak-kanak yang lain.
“Apabila membesar, mereka tidak seperti kanak-kanak lain kerana tidak boleh bercakap dan tidak pandai menguruskan diri sendiri. Kini, mereka sudah boleh ke sekolah pendidikan khas. Ada sesetengah perkara, mereka boleh uruskan sendiri tetapi perlu sentiasa dipantau, selain ada waktunya bertindak agresif dan di luar jangkaan,” katanya.
Bapa kepada tujuh orang anak itu tidak pernah mengeluh dan berjanji akan terus menjaga anak-anak istimewanya tersebut dengan penuh kesabaran dan juga kasih sayang sehingga ke akhir hayatnya.
Ambil Upah Kerja Kampung
Bagi menyara kehidupannya dan keluarga, beliau yang juga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya melakukan kerja-kerja kampung dan mengambil upah membersihkan halaman rumah jiran dengan upah bulanan RM300.
“Dahulu semasa arwah isteri masih ada, saya buat macam-macam kerja setelah berpencen tentera termasuk menjadi pemandu lori. Kini, saya tidak boleh keluar bekerja jauh, hanya buat kerja-kerja kampung kerana tumpuan perlu diberikan sepenuh masa kepada anak-anak istimewa saya di rumah.
Selain itu, beliau juga bergantung bantuan kewangan dari anak perempuan yang bekerja di Selangor dan seorang lagi anak perempuan yang bekerja di sebuah pasaraya berdekatan.
Menurut Abdul Rani lagi, anak anaknya ada juga menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Walau pun ada menerima bantuan, masih banyak keperluan untuk anak anak ini yang tidak mampu beliau penuhi.
Tidak dapat dinafikan terlintas dibenak memikirkan urusan anak-anak ini apabila beliau tiada lagi.
Sekiranya ingin meringankan beban Mohd Rani Mat ini, boleh salurkan ke
Maybank Abd Rani Bin Mat 106098446564
Mingguan Wanita : Berat mta memandang, berat lagi bahu memikul. Moga Mohd Rani Mat sekeluarga dipermudahkan urusan. Aamiin.
Setiap orang tak lari daripada melakukan kesilapan kerana manusia ini tak sempurna. Begitu juga dengan Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut, apa yang dikaitkan dengan masa silamnya adalah kesilapan sebagai manusia biasa.
Perkara yang berlaku itu ketika dia masih muda dan sebelum mendapat hidayah daripada Allah SWT. Malah hubungannya dengan bekas isteri sekarang bertambah baik dan bekas isterinya turut bersimpati atas apa yang berlaku padanya.
Kejadian Berlaku Ketika Masih Muda
Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut tampil menjawab dakwaan netizen yang mengatakan dia mempunyai rekod jenayah kekerasan, memukul isteri dan menyeleweng wang syarikat.
Mohd Asri, 42, berkata kejadian berlaku ketika dia masih muda dan sebelum mendapat hidayah daripada Allah SWT.
“Beginilah. Itu berlaku semasa (saya) zaman jahiliah. Masa zaman muda saya. Sebelum saya diberi hidayah oleh Allah SWT.
“Perkara itu adalah (hal) domestik antara saya dan isteri (sekarang bekas isteri). Masa itu berlaku krisis rumah tangga. Isteri saya masa itu buat laporan (polis) dalam keadaan tertekan dan apa yang berlaku sebenarnya kisah lama.
“Tak pernah naik mahkamah, tak pernah didakwa. Cuma sekadar laporan, tiada pendakwaan. Kes itu tahun 2012. Lama dah, bercerai pun pada penghujung tahun itu. Masa itu zaman jahiliah, zaman nakal saya,” katanya ketika dihubungi.
Masih Muda Belum Dapat Hidayah
Di samping itu, jelas Asri Janggut, malam tadi bekas isterinya hadir bertemunya untuk memberikan sokongan dan menangis simpati melihat dugaan dihadapinya.
Beliau berkata, mereka bercerai secara baik dan tiada masalah termasuk penjagaan seorang cahaya mata hasil perkahwinan yang sudah terputus di tengah jalan itu.
Mengulas mengenai dakwaan menyeleweng wang syarikat, Mohd Asri berkata: “Dahulu syarikat dijalankan berniaga burger juga, cuma saya letak nama isteri. Duit kami suami isteri, tetapi bila bergaduh dan berlaku krisis, diorang tak benarkan saya ambil duit. isteri saya marah. memang nampak seleweng.
“Mungkin laporan ditulis dalam keadaan marah, selepas kami bergaduh. dia buat laporan, tetapi selepas itu kami berdamai dan tiada isu.”
Selain itu, Mohd Asri turut menerima kecaman hebat selepas menyiarkan video meminta maaf, kelmarin susulan terlanjur kata-kata mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat dalam petikan video tular itu.
Menurutnya, sewaktu videonya terlanjur kata itu tular, didapati daripada 100 komen netizen, kira-kira 95 daripadanya adalah komen negatif mengecamnya.
“Sekarang sudah semakin reda dan mula nampak bahagian positif. Berkenaan dengan kenyataan saya berikan sehingga menjadi satu kecaman, perkara ini berlaku nombor satu kerana kejahilan dan kelemahan saya berkomunikasi apabila berhadapan dengan awam.
“Nombor dua, kejutan budaya apabila tiba-tiba diangkat di hadapan, tiba-tiba disanjung. Nombor tiga, hasutan syaitan. Selepas kejadian itu, saya bertambah matang, semakin berhati-hati dan saya kena perbaiki kesilapan serta kelemahan saya.
“Sekarang ini saya tenang. Tiada apa-apa masalah. Saya dah boleh makan dan sudah boleh tidur lena. Semangat saya semakin kuat,” katanya.
Dirinya juga mengakui tidak pernah dicaci maki orang ramai seteruk dihadapinya akibat kesilapannya dalam kaedah penyampaian.
Katanya lagi, kejadian dikecam teruk itu menyebabkan dia memahami perasaan individu lain termasuk pemimpin dan selebriti apabila berhadapan situasi serupa.
“Inilah mengajar saya mengenai kebijaksanaan apabila berhadapan kontroversi dan keadaan apabila berhadapan dengan wartawan, (perlu) kebijaksanaan dalam berbicara.
“Maka saya mengaku dengan seikhlasnya, demi Allah saya tiada niat untuk menyakiti hati, melukakan, membuat provokasi terhadap mana-mana anggota (pasukan keselamatan) kerana mereka adalah permata negara…kerana mereka inilah pejuang negara,” katanya.
Mohon Maaf Atas Keterlanjuran
Asri Janggut berkata, dia ada menghubungi serta dihubungi rakan dalam kalangan tentera dan polis yang memahami serta sudah menerima permohonan maafnya.
Mengenai usaha berdakwah pula, katanya, beliau ada dihubungi persatuan sekolah tahfiz yang mendoakan semoga urusannya dipermudahkan.
Katanya, dia teringin bertemu penceramah bebas Ustaz Wadi Annuar sebab hampir setiap hari menonton ceramah ustaz itu di media sosial.
“Saya teringin nak jumpa ustaz Wadi Anuar kerana saya hari-hari dengar ceramahnya, boleh katakan begitu. Memang ada hasrat nak berguru lagi, mengaji lagi. Itu perlu, itu wajib.
“Berdakwah diri, memperkuatkan iman sendiri. Caj bateri la orang kata,” katanya yang juga pelajar lepasan sebuah sekolah pondok di Selangor.
Berkaitan usahanya dalam membanteras kemungkaran termasuk masalah perjudian pula, katanya, dia akan tetap meneruskan tindakan itu.
“Saya tak boleh keluar lagi, tak boleh patah balik. Saya kena teruskan dan saya dapat sokongan daripada beberapa NGO menyokong untuk saya fokus kepada tujuan membantu kerajaan, polis menyelesaikan masalah judi, maksiat dan pelbagai lagi.
“Tidak akan mengundur diri daripada perjuangan. Sebab semakin hari semakin galak sokongan,” katanya.
MW: Diharap apa yang berlaku ada hikmahnya, semoga isu utama yang cuba dibangkitkan oleh Asri Janggut dapat diselesaikan segera. Dia juga manusia biasa dan dia telah memohon maaf atas kesilapannya.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...