Banyak kisah pengajaran ‘sayangi ibu’ yang boleh diambil dari kisah Allahyarham Syem Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan atau panggilan mesranya Abam. Betapa arwah tidak pernah meninggalkan ibunya dalam apa jua keadaan.
Begitulah catatan sayu tentang anak lelaki ini yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad. Menyedarkan kita bahawa mahu syurga Allah.. berbuat baiklah dengan ibu bapa sendiri. Bersabar biar pun rumit menyantuni kerenah mereka. Kerana pahalanya teramatlah besar.
Dalam banyak-banyak berita semalam (catatan pada 11 Februari lalu), saya membaca satu demi satu luahan Puan Sabariah Arshad. Termasuk video yang dimuat naik wartawan dan rakan artis. Ianya memang luahan sempurna seorang ibu.
Semalam, anak yang dikandung 9 bulan, dijaga rapi kemudiannya dewasa dan menjaga beliau dengan paling selesa, menghembuskan nafas terakhir di dalam tidur. Dikejutkan isteri namun tidak lagi bergerak dan bernafas. Maka pulanglah dia ke negeri abadi tanpa sedikit pun pesanan atau nasihat kepada yang tinggal.
Si ibu ini, setiap kali membuka mulut, keluarlah ayat,
“dia sabar dengan saya.”
“dia baik sangat dengan saya.”
“dia jaga saya baik-baik.”
“saya ni sakit, susah berjalan, susah nak buat itu nak buat ini, tapi dia sangat sabar dengan saya, tak pernah tinggi suara, semua dia buat ja.”
Maka inilah yang kita selalu dengar, anak lelaki, syurganya di bawah tapak kaki ibu. Bagaimana rumitnya nak menjaga, nak melayan dan menuruti kehendak ibu, tetap perlu disantuni dengan sebaiknya.
Di sebalik gelak ketawa yang kita sering lihat dan terhibur, di luar sana, apabila dia pulang ke rumah, dia menghiburkan ibunya sendiri dengan layanan anak soleh.
Tak ada diberitahu sesiapa, tidak ada selfie sambil membantu ibu, semuanya penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Itulah Abam Bocey yang kita kenal.
Syurga tempatmu insya-Allah. Banyak saya belajar dari kematian almarhum. Semoga kita yang masih berpeluang melihat, sentuhlah hati sendiri dan belajar lihat dan pandang bagaimana seorang ibu menghulurkan kunci syurga dari tangannya sendiri kepada anaknya.
Itulah kejayaan paling besar buat ibu. Nanti berpelukan di sana, anak dah tunggu.
Ya Rabb. Doa kami, semoga Puan terus kuat dan tabah. Kami juga tidak setabah dan sekuat Puan, kehilangan anak adalah kehilangan paling besar buat seorang ibu, namun, bahu kami tetap ada untuk tahan sekejap tangisan, legakan sebentar keresahan. Semoga hal kecil ini dapat menenangkan puan.
Kawan-kawan, santuni emak kita sebaik-baiknya. Mereka sahaja ada kunci pintu syurga kita semua.
Begitulah.
MW : Seandainya setiap anak lelaki mahupun perempuan berusaha menjaga kunci pintu syurga sehingga penghujung nafas mereka.. alangkah beruntungnya setiap ibu yang melahirkan. Ketahuilah, semakin rumit menjaga mak ayah, jika bersabar dan ikhlas semakin besar ganjaran pahalanya.
Sumber/Foto : Khairul Hakimin Muhammad, Nak masuk syurga juga.