Banyak kisah pengajaran ‘sayangi ibu’ yang boleh diambil dari kisah Allahyarham Syem Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan atau panggilan mesranya Abam. Betapa arwah tidak pernah meninggalkan ibunya dalam apa jua keadaan.
Begitulah catatan sayu tentang anak lelaki ini yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad. Menyedarkan kita bahawa mahu syurga Allah.. berbuat baiklah dengan ibu bapa sendiri. Bersabar biar pun rumit menyantuni kerenah mereka. Kerana pahalanya teramatlah besar.
Anak Yang Dikandung 9 Bulan Menghembuskan Nafas Terakhir
Dalam banyak-banyak berita semalam (catatan pada 11 Februari lalu), saya membaca satu demi satu luahan Puan Sabariah Arshad. Termasuk video yang dimuat naik wartawan dan rakan artis. Ianya memang luahan sempurna seorang ibu.
Semalam, anak yang dikandung 9 bulan, dijaga rapi kemudiannya dewasa dan menjaga beliau dengan paling selesa, menghembuskan nafas terakhir di dalam tidur. Dikejutkan isteri namun tidak lagi bergerak dan bernafas. Maka pulanglah dia ke negeri abadi tanpa sedikit pun pesanan atau nasihat kepada yang tinggal.
Si ibu ini, setiap kali membuka mulut, keluarlah ayat,
“dia sabar dengan saya.”
“dia baik sangat dengan saya.”
“dia jaga saya baik-baik.”
“saya ni sakit, susah berjalan, susah nak buat itu nak buat ini, tapi dia sangat sabar dengan saya, tak pernah tinggi suara, semua dia buat ja.”
Ads
Jaga Ibu Sebaiknya Biarpun Rumit Melayan
Maka inilah yang kita selalu dengar, anak lelaki, syurganya di bawah tapak kaki ibu. Bagaimana rumitnya nak menjaga, nak melayan dan menuruti kehendak ibu, tetap perlu disantuni dengan sebaiknya.
Di sebalik gelak ketawa yang kita sering lihat dan terhibur, di luar sana, apabila dia pulang ke rumah, dia menghiburkan ibunya sendiri dengan layanan anak soleh.
Tak ada diberitahu sesiapa, tidak ada selfie sambil membantu ibu, semuanya penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Itulah Abam Bocey yang kita kenal.
Ads
Syurga tempatmu insya-Allah. Banyak saya belajar dari kematian almarhum. Semoga kita yang masih berpeluang melihat, sentuhlah hati sendiri dan belajar lihat dan pandang bagaimana seorang ibu menghulurkan kunci syurga dari tangannya sendiri kepada anaknya.
Itulah kejayaan paling besar buat ibu. Nanti berpelukan di sana, anak dah tunggu.
Ya Rabb. Doa kami, semoga Puan terus kuat dan tabah. Kami juga tidak setabah dan sekuat Puan, kehilangan anak adalah kehilangan paling besar buat seorang ibu, namun, bahu kami tetap ada untuk tahan sekejap tangisan, legakan sebentar keresahan. Semoga hal kecil ini dapat menenangkan puan.
Ads
Kawan-kawan, santuni emak kita sebaik-baiknya. Mereka sahaja ada kunci pintu syurga kita semua.
Begitulah.
MW : Seandainya setiap anak lelaki mahupun perempuan berusaha menjaga kunci pintu syurga sehingga penghujung nafas mereka.. alangkah beruntungnya setiap ibu yang melahirkan. Ketahuilah, semakin rumit menjaga mak ayah, jika bersabar dan ikhlas semakin besar ganjaran pahalanya.
Enam tip ini berkesan bantu wanita selepas diceraikan. Walau bagaimana pun, tak ada wanita yang berkahwin dengan niat nak bercerai. Ya, memang sedih, down, tertekan, malu dan macam-macam lagi perasaan bermain dalam fikiran. Berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan mak-mak akan rasa macam tu.
Tapi perlu ke nak terus berada dalam lembah kedukaan? Tak boleh nak move on ke? Ada cara pantas untuk anda cepat-cepat buang rasa sedih akibat perbuatan bekas suami.
Jom Cepat Pulihkan Semangat Bila Kena cerai! Semak Enam Tip Ini!
1. Pasang badan – Jangan terus nak berduka lara. Cantikkan diri kamu. Biar orang nampak anda boleh terima hakikat perceraian itu. Kalau selekeh, lagi orang mengata. Sebaliknya biar orang kata, “ruginya bekas suami dia tinggal dia dulu…”.
2. Cari kekuatan – Jika ada anak-anak, sentiasa pandang wajah mereka. Ingat, jangan tunjuk anda lemah sebab kesannya pada anak.
Seorang wanita mampu jadi ibu yang hebat, yang mampu jaga anak-anak. Tapi seorang ayah, belum tentu seorang anak pun dia mampu jaga. Ada sesetangah ayah, nafkah anak pun buat tak tahu saja.
3. Tuntut hak anak-anak – Jangan baik hati sangat, biar saja bekas suami bersenang lenang lepas bercerai. Semua tanggungjawab di bahu kamu.
Tuntut nafkah anak-anak. Tak kisah jika kena turun naik mahkamah berpuluh kali. Kasihan pada anak-anak yang haknya dinafikan.
4. Bersosial – Cari rakan-rakan dan sertai persatuan-persatuan supaya anda dapat berjumpa dengan ramai orang baru. Ini juga akan bantu kamu sibukkan diri dan lupakan kesedihan.
5. Jangan terlalu cepat cari pengganti – Memang sunyi bila kehilangan. Tapi jangan terlalu cepat cari pengganti. Beri ruang pada diri sendiri.
Kadangkala ketika sedang sedih, kita boleh buat sesuatu yang mungkin kita akan menyesal kelak. Ingat, wanita bukan sekadar nak cari suami, tapi bapa pada anak-anak.
6. Berpuasalah 40 hari – Tip ini untuk yang beragama Islam. Kenapa 40 hari? Tempoh masa inilah yang diperlukan untuk membentuk sikap seseorang. Jadi dalam tempoh berpuasa sepanjang 40 hari ini, anda sebenarnya membentuk kembali tabiat diri.
Melepaskan kenikmatan yang pernah dirasai semasa hidup bersuami. Inilah petua orang lama-lama yang bagus untuk dipraktikkan.
Ada juga mak-mak yang memang susah sangat nak move on lepas kena cerai. Tak boleh nak kecam mereka. Sebab sakitnya berpisah, diri mereka yang merasai peritnya. Kita yang ada di sekeliling mereka kenalah bagi sokongan.
Segala macam kecaman akan buatkan ibu tunggal lagi bertambah down. Sebab itu, anda kenalah faham apa yang membuatkan mereka ini susah nak teruskan kehidupan. Ini antara sebab-sebabnya.
1. Perpisahan Itu Trauma
Perceraian mengubah kehidupan seseorang. Jadi, bukan mudah untuk segera pulih. Emosi akan terganggu dan tak pelik kalau trauma.
2. Rasa Kehilangan Yang Amat Sangat
Mungkin sudah lama kamu berkahwin dan banyak perkara yang kamu bergantung pada bekas suami. Bila perceraian terjadi, anda akan rasa kehilangan.
Rasa diri seumpama layang-layang terputus tali, terbang tanpa arah tujuan. Semua benda tak reti nak buat. Jadi, belajarlah untuk hidup berdikari. Sentiasa berfikiran positif dalam mengharungi apa saja ujian.
3. Kurang Keyakinan Diri
Ada perempuan yang salahkan diri sendiri bila berlakunya perceraian walaupun kadangkala bukan sebab diorang pun. Tepis perasaan itu, in shaa Allah anda boleh teruskan hidup dengan aman dan tenteram.
Anda juga dihimpit rasa malu jika orang-orang sekeliling tahu anda dah bergelar ‘miss J”. Alahaaiii… buat apa nak malu. Sepatutnya anda kena tanamkan semangat dalam diri untuk membahagiakan diri sendiri pada masa hadapan.
Anggap perpisahan dan perceraian itu sebagai pengalaman berharga yang bukan semua orang ‘berpeluang’ mengalaminya.
4. Dihantui Momen Manis
Anda masih teringat-ingat akan saat-saat manis bersama bekas suami. Stop! Tak perlu ingat lagi semua itu, buang masa dan hanya menyakitkan hati saja.
5. Sakit Hati Sakit Fizikal
Bila dilanda rasa kecewa dan sedih, anda akan rasa seluruh badan turut lemah, tak bermaya. Seolah-olah tubuh anda sedang sakit. Hakikatnya, perasaan itu wujud sebab anda tengah bersedih. ‘Sakit’ itu tiada ubatnya kecuali anda rawat rasa sedih itu.
Dengan solat dan berdoa juga mampu merawat kesedihan itu. Mengadulah pada Allah kerana Dia yang Maha Mengetahui. Pohonlah dikurniakan yang terbaik untuk diri anda.
Suami yang nak minta isteri berhenti kerja tu, fahamkanlah dulu 5 nafkah ini. Barulah isteri anda tak berhenti kerja dengan sia-sia. Nanti tidaklah anda jadi suami yang memusnahkan impian isteri.
Wanita ini, Puan Eleena Arif (El) sanggup melepaskan kerjaya perbankan demi menurut kehendak suami yang tak membenarkannya bekerja. Walau berendam air mata pada permulaan pengorbanan, di hujungnya dia berbahagia. Kerana suaminya, Mizan Dzai memberi kelengkapan yang sepatutnya diperlukan oleh seorang wanita bergelar isteri.
Pengorbanan tidak akan jadi sia-sia, andai suami tahu amanahnya. Kesetiaan akan jadi kegembiraan andai suami tahu menghargai dan percaya keberkatan rezeki ada di sebalik wajah kasih seorang isteri dan anak-anak.
Perkongsian suami ini, Mizan Dzai, Entrepreneur, Troubleshooter, Real Estate Planner & Advisor, Corporate Restructuring & Strategies menjawab bagaimana seorang suami itu bukan pemusnah impian seorang isteri sekiranya dia tahu cara menafkahi isterinya.
Suami Pemusnah Impian Isteri
Anak-anak tak sihat, Farrel kena ulser, nak tumbuh gigi, demam, batuk dan selesema. Aldric pula kena selesema dan batuk.
Alahai, tak tenang langsung hati aku memikirkan El jaga anak-anak tak sihat kat rumah termasuk diri dia sendiri. Aku pun nak bercakap punya susah, batuk, selesema dan pening kepala je lately ni.
Lepas settle anak-anak tadi, aku duduk borak dengan El mengimbau zaman kita orang muda dulu. Zaman bujang yang penuh dengan kenangan, selalu juga aku borak dengan El pasal zaman muda.
Saja nak membarakan cinta yang kekadang terleka dek kesibukan kerja dan rumahtangga, lebih-lebih lagi anak-anak baru nak membesar ni.
Aku tanya El, “Macam mana kalau sekarang you masih bekerja kat Maybank lagi, boleh ke handle kerja, suami, anak-anak dengan rumahtangga?”
El tak jawab tapi dia tanya aku balik, “Patutnya i yang tanya you, boleh ke you handle masalah baran you tu kalau i bekerja?”
Kah kah kah.
Dengan yakinnya aku takkan boleh sebab bila teringat zaman dia kerja bank dan belum kahwin dulu, boleh ke penjara aku bang.
Dengan customer tua gatalnya, customer hantar bunga, coklat, kuih setiap petang, ada yang sanggup tukar nombor giliran dengan orang lain semata-mata nak berurusan dengan El.
Sebelum kahwin mak mertua aku pernah bagitahu yang dia tak setuju sangat El nak kahwin masa umur 23 tahun, masih muda dan baru 6 bulan bekerja, duit pun El tak sempat kumpul lagi.
“Paling penting auntie nak Nina (panggilan El kat rumah) bekerja, penat-penat dia sambung belajar, baru nak start ada karier so auntie tak nak dia duduk rumah sesaja“.
Dengan gagahnya aku balas, “Saya nak anak auntie, saya tanggung semua perbelanjaan dari A-Z dan in shaa Allah saya akan izinkan dia bekerja.
Antara barang hantaran kereta Honda Jazz 2014, duit hantaran RM24,444.44, mas kahwin RM1,402.15 (tarikh nikah 14.02.15), gelang dan cincin RM25,000.00 serta serba satu.
Lepas je kahwin, first day El nak masuk kerja balik aku tanya “You nak pergi mana siap-siap ni?”
El balas “Kan cuti i dah habis, i nak kena masuk kerja ni“.
Aku tanya dia satu soalan je, “Siapa benarkan you bekerja ni?”
“Ala, you dah janji dengan i dan mama yang you nak bagi i kerja, i nak buat apa kat rumah kalau tak kerja?”
“You isteri i, you tanggungjawab i, satu hari nanti susah macam mana sekalipun i takkan benarkan you bekerja sayang“.
Aku suami dan aku tahu cara aku adalah yang terbaik buat isteri.
So dengan rela dalam keterpaksaan, menangis dan sedih dekat seminggu, aku butakan mata pekakkan telinga dan bayar gaji El sebulan kat Maybank sebab dia terpaksa tender 24 hours.
Dah masuk tahun ketiga berkahwin, El tak ada kawan, tak ada zaman muda, tak ada berjalan sana sini dengan kawan hanya dengan keluarga, tak ada tengok movie ke apa ke dah. Semua hanya untuk dan dengan aku, suami serta anak-anak.
Lagi berapa puluh tahun dia akan menghambakan diri pada perkahwinan dan tanggungjawab pada keluarga terutama anak-anak yang comel tapi semakin membuas?
Berbaloi ke hantaran dan belanja yang aku sebagai suami bagi pada dia selama dia hidup dengan aku ni? Berbaloi ke?
Masa muda dia dah tak ada, karier dia pun dah berlalu pergi. Aku kesian, tapi aku suami ada ego dan maruah. Aku berniaga tapi isteri aku bekerja dari jam 8.30 pagi – 6.00 petang, mana mungkin aku akan benarkan.
Adakah aku suami pemusnah impian isteri?
5 Nafkah Utama
Sebab tu suka aku pesan, nafkah adalah tanggungjawab suami, nafkah adalah hak isteri dan anak-anak.
Ingat, ada 5 nafkah utama yang penting dari suami untuk isteri.
1. Tempat tinggal yang disukai/diredhai isteri.
2. Minimum dua persalinan baru setahun.
3. Alatan mandian & kebersihan isteri.
4. Makan dan minum setiap hari.
5. Nafkah batin.
Tips Aku Dalam Menjaga Keharmonian Rumahtangga
Berterus-teranglah tentang ekonomi keluarga samada susah ataupun masa kau senang.
Biar isteri yang berstatus suri rumah ni “bekerja” atau terlibat sama dalam merancang masa depan keluarga.
Apa nak takut?
Takut member cakap yang kau takut bini sebab bini urus kewangan?
Masa aku susah lepas kahwin sebab bisnes banyak yang drop, wanita bergelar isteri inilah yang “bodoh” cakap aku hebat, aku boleh bangkit kembali. Betul, dia memang bodoh.
Bodoh membiarkan kariernya berlalu pergi. Bodoh kerana rela melihat impian hidupnya musnah demi sebuah perkahwinan yang belum tentu kesudahannya.
Setiap orang ada perjalanan dan hala tuju masing-masing, bersyukur dengan apa yang kita ada dan terusanlah berpimpinan tangan. Genggam sekuat-kuatnya, percaya aturan Allah.
Tapi kebodohan dia benar, aku bangkit kembali berkat doa orang tua dan isteri.
Percaya rezeki anak-anak, rezeki dan doa dari seorang isteri kurniaan Ilahi.
Jangan ikut cakap segelintir kawan-kawan tak guna kau tu, nescaya akan meletuslah ego sombong seorang lelaki atau suami dan akan terjadinya pergaduhan antara kau dengan isteri.
Isteri boleh menghambakan diri pada kau dan keluarga, kau cuma kena berjimat cermat, cuma perlu merancang dan menyimpan untuk masa depan isteri dan anak-anak, tak boleh?
Bila orang nak kahwin, kau pun nak kahwin tapi tak selami dan dalami apa itu makna sebuah perkahwinan, masalah.
Nafkah batin bukan hanya berjimak atau nak sedap saja. Puji isteri, gembirakan hati dia. Cakap yang baik-baik, itu barulah antara nafkah batin. Jangan asik berjimak je dalam kepala tu.
Usahalah kita sebagai suami supaya boleh banggakan isteri dan anak-anak, boleh beri yang terbaik untuk dia orang. Jangan asik nak goyang telor harap semua isteri yang buat.
Tak ada istilah cuti bagi isteri terutama suri rumah. 24/7, 356 hari bekerja untuk keluarga tanpa merungut dan ikhlas seikhlas-ikhlas manusia ciptaanNya.
Tak salah langsung utamakan isteri, orang tua sebab yang mendoakan kita bila tak ada nanti hanya dari doa isteri solehah, anak-anak yang soleh.
Kawan-kawan mana nak doakan kita setiap kali habis sembahyang? Berapa lama je dia orang ingat kita?
Siapa je ingat kita?
Siapa?
Dan sampai bila?
Semoga bermanfaat dan sebagai suami juga lelaki, jangan ambil mudah soal perkahwinan. Jangan.
Bukan minta dipuji, bukan tunjuk hebat, setiap suami masih belajar dan setiap hari masih melakukan kesilapan tapi ini hanya semata-mata nukilan buat aku serta kalian.
Suami, bagi isteri kitalah pasangannya, kitalah harapannya dan hanya kitalah kawannya.
Zakat merupakan kewajipan Rukun Islam ketiga. Zakat secara ringkasnya adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu. Tujuan disyariatkan berzakat adalah mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada. Secara tidak langsung dapat membersihkan dan menyuburkan harta pengeluar zakat.
Ramai mak ayah sedar bahawa kewajipan menunaikan zakat. Namun seringkali terlupa, terlepas pandang mahupun mengambil ringan bahawa harta dan duit simpanan anak-anak juga dituntut kewajipan itu jika memenuhi syarat wajib zakat.
Perlu tahu, sebenarnya anak-anak juga perlu menunaikan zakat sekiranya jumlah simpanan harta yang dimiliki telah melebihi jumlah nisab.Simpanan melebihi nilai nisab perlu membayar zakat mengikut kadar sebanyak 2.5 peratus sahaja.
Kewajipan Bergantung Harta Dimiliki
Ini kerana syarat wajib zakat tidak menetapkan syarat baligh atau berkaitan umur. Syarat wajib zakat mestilah Islam, merdeka, memiliki harta dan cukup haul, iaitu tempoh setahun serta sampai kepada nisab atau paras minimum yang menentukan kewajipan zakat itu dikeluarkan.
Berdasarkan syarat-syarat wajib ini, cukup jelas bahawa kewajipan menunaikan zakat bergantung kepada nilai mencukupi HARTA yang dimiliki dan bukannya kepada peringkat usia atau kewarasan pemilik harta (akil baligh atau mukallaf).
Ini bermaksud tidak kira sesiapa termasuk bayi, kanak-kanak, anak yatim piatu, Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan mukallaf, hatta mak ayah dan ahli keluarga yang sudah uzur, nyanyuk, gila dan tidak lagi mampu menguruskan harta mereka sendiri sekalipun ia tetap tertakluk kepada tuntutan mengeluarkan zakat.
Maka ia menjadi tanggungjawab penjaga, wali mahupun ketua setiap keluarga membantu menunaikan kewajipan ini di bawah tanggungan mereka.
Kempen Zakat@Family
Atas kesedaran tersebut, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melaksanakan inisiatif dakwah kempen Zakat@Family yang melibatkan ketua keluarga, penjaga atau wali di bawah tanggungan mereka.
Kempen ini dilaksanakan bagi memupuk kesedaran kepada pihak terlibat memastikan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan taksiran dan pembayaran zakat ke atas setiap individu di bawah tanggungan dan jagaan mereka dilaksanakan dengan sebaiknya.
Di samping itu, langkah tersebut juga bagi memastikan setiap individu dalam sebuah keluarga Muslim di Selangor dapat menunaikan kewajipan berzakat ke atas harta yang mereka miliki selaras dengan kewajipan zakat yang bergantung kepada harta dimiliki dan bukannya kepada status usia atau kewarasan pemilik harta (akil baligh atau mukallaf).
Contohnya, walaupun masih usia kanak-kanak, namun telah mempunyai wang simpanan melebihi nisab, mereka telah layak menunaikan zakat.Namun mungkin penjaga tidak tahu berkaitan hal ini, maka kewajipan berzakat kanak-kanak tersebut masih tidak selesai.
Oleh itu, penjaga perlu memastikan pembayaran zakat diselesaikan untuk diri sendiri, pasangan, tanggungan atau individu di bawah jagaan mereka setelah mengetahui kelayakan dan jumlah pembayaran bagi setiap pihak terlibat.
Melalui pelaksanaan kempen itu, LZS berharap dapat mendidik umat Islam di negeri ini untuk menunaikan ibadah zakat, sekali gus memastikan kewajipan mereka yang di bawah tanggungan mereka selesai.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...