Bukan mudah untuk menerima kehilangan suami tersayang. Apatah lagi pemergian secara tiba-tiba. Seringkali berdua kemana-mana menemani suami Datuk Seri Salahuddin Ayub di majlis dan pelbagai program, Datin Seri Fatimah Taha bersyukur apabila berpeluang berada disamping suami disaat sukar ketika suami tersayang jatuh sakit.
Isteri Salahuddin, Datin Seri Fatimah Taha, 60, ketika ditemui berkata, suaminya adalah seorang yang sangat menjaga kesihatan dan pemakanan.
“Tekanan darah dia okay, bacaan gula pun okay, cuma mungkin apa yang sebabkan burst (pendarahan otak) mungkin kerana dia penat sangat agaknya.
“Dia memang ada mengadu dia penat dan pening. Syukurlah saya berada bersama dia ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat), saya tidak boleh bayangkan kalau dia keseorangan waktu itu hendak survive (bertahan) dengan sawan dan sebagainya,” katanya sebak.
Fatimah yang kebiasaannya akan bersama Salahuddin dalan kebanyakan program dihadiri Ahli Parlimen Pulai itu berkata, dia sedih apabila memikirkan selepas ini dia berseorangan.
“Sebelum ini, dia akan sentiasa balik, jika keluar tinggalkan saya untuk kerja, tetapi sekarang, dia ditinggalkan saya dan dia tidak akan balik lagi,” katanya.
Sementara itu, anak sulung kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain, 37, berkata ayahnya mengimpikan meninggal dunia dalam keadaan bekerja untuk rakyat.
“Ini impian dia, dia memang cakap kalau meninggal dunia, biarlah dalam keadaan dia sedang bekerja untuk rakyat,”
Bahkan sejak dari kecil, dia enam beradik sudah dididik supaya faham akan kerja bapanya itu dan meletakkan bapanya sebagai milik rakyat.
“Sebagai anak, kami dah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat. Dia memang untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami dan selalu bersama rakyat.
“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat antaranya dia pernah pesan jangan campur urusan kerjanya dan dia ajar kami untuk berdikari serta tidak bergantung padanya.
“Kami pun reda apabila dia sudah capai impiannya,”
katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini, hari ini.Terdahulu, Iskandar turut mengimamkan jenazah Salahuddin bagi menunaikan permintaan terakhir Allahyarham.
Iskandar yang mewakili keluarga memohon semua pihak mendoakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu pergi dengan nama yang baik dan jasa baiknya.
“Kalau ada yang buruk-buruk, andai dia silap dan terkasar kata, kami minta maaf,” katanya.
Pada masa sama, adik Salahuddin, Ghazaley, 56, menyifatkan abang sulungnya itu seorang yang workaholic dan kerja bermati-matian apabila diamanahkan, namun dia tidak pernah lupakan tanggungjawab terhadap keluarga.
Katanya, Salahuddin juga seorang yang periang dan penyayang sebagai seorang abang sulung terutama sekali apabila beliau berperanan sebagai pengganti bapa mereka yang meninggal dunia pada 2009.
“Saya memang sayang sangat pada dia, kami cuma tiga beradik lelaki. Kalau dengan emak, Aminah Abdullah (83 tahun), sebulan dua kali, beliau tetap akan singgah rumah dan ziarah emak walaupun sekejap untuk cium tangan emak,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram meninggalkan seorang balu bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 cucu.
Mesti Baca:Viral Harga Sardin Naik Melambung RM13.30, Menteri Sahkan Tiada Kenaikan Berlaku
Baca Lagi Di Sini:ADUN Didakwa Perlekeh Menu Rahmah, Tuang Air Oren Supaya Menu “Ada Rasa”
Mingguan Wanita: Salam takziah buat seisi keluarga allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub. Semoga diberi kekuatan dalam menghadapi ujian kehilangan ini rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.