Syukur PENAWAR Hati Tamak!

Share

Syukur! Inilah penawar hati yang tamak. Jika ikutkan nafsu memang semuanya mahu kita miliki. Seisi dunia ini belum tentu dapat memuaskan kehendak manusia. Justeru, Allah kurniakan akal fikiran untuk kita berfikir dan membuat timbang tara.

Ramai antara kita yang tidak syukur. Ada sahaja keluhan mengenai kehidupan yang dilalui. Sebenarnya untuk menjadi manusia yang bersyukur, bagi saya mudah sahaja. Kita jangan melihat dan membuat perbandingan diri kita dengan orang yang kaya dan hebat tetapi kita telusuri kehidupan orang yang kurang bernasib baik. Ada yang bukan sahaja miskin malah cacat.

Menghayati kesusahan dan dugaan orang memberi keinsafan dan membuatkan kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan. Kita jangan bersangka buruk dengan Allah, memang dalam kehidupan ini sering kali terjadi apa yang kita mahukan tidak kita miliki. Walaupun sudah berusaha yang terbaik dan berdoa namun impian kita tidak menjadi kenyataan. Yakinlah apa yang kita mahukan itu bukan terbaik, Allah berikan yang jauh lebih baik.

Tak Syukur & Berkeluh Kesah

Begitu juga ketika diberi dugaan, janganlah asyik berkeluh kesah. Tetapi kita berusaha dan terus berdoa. Allah tidak akan memberi ujian atau dugaan jika kita tidak mampu. Pasti ada hikmahnya, orang yang melihat ujian dengan mata hati akan belajar banyak perkara. Ilmu ini akan membentuk dirinya menjadi lebih baik.

Apabila kita sentiasa syukur, Allah akan tambah nikmat. Kita mesti yakin dengan janji Allah, berlapang dada dengan ketentuan Allah. Sebagai panduan, kita disaran berusaha gigih untuk kehidupan yang kita lalui kini. Usah dikenang kisah silam kerana ia hanyalah sejarah, jangan biar diri kita hanyut dalam kekecewaan lalu.

Usah terlalu risau memikirkan masa depan kerana Allah telah mengaturkan segalanya. Jalani hidup ini dengan sederhana dan jaga hubungan dengan Allah. Allah pasti akan menjaga hubungan kita dengan manusia.

Baca sini

https://www.mingguanwanita.my/tanya-khabar-mak-ayah-warga-emas-antara-kes-kematian-covid-19-paling-tinggi/

https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en

Tak Jaga Hubungan Dengan Allah

Ramai yang gigih bekerja namun ramai juga tinggalkan solat kerana komitmen terhadap urusan dunia. Kita lupa yang memberi rezeki itu Allah, jadi bagaimana kita boleh meninggalkan solat dan tidak menjaga hubungan dengan Allah?

Memang sebagai manusia kita leka tapi kita mesti berusaha perbaiki kelemahan. Laksanakan ibadat dengan sebaik mungkin. Jangan solat di hujung waktu, jangan solat tergopoh gapah. Ambillah masa dan lakukan solat dengan teratur dan tenang, Insya-Allah kita akan merasa nikmatnya.

Ada orang tidak tinggal solat tetapi perlakuan dan percakapannya bercanggah. Solat itu mengajar kita menjadi orang berdisiplin dan berakhlak mulia. Jika bersolat tapi masih mengumpat atau melakukan dosa-dosa lain tanpa rasa bersalah, ada yang tidak kena tentang golongan ini.

Audit diri, lakukan perubahan. Nikmati hidup ini dengan cara yang benar, kita pasti bahagia. Ingatlah, Allah bagi apa yang kita perlukan bukan apa yang kita nak. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Dalam kita bersyukur, kita berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. Dahulukan keluarga kemudian teman-teman terdekat yang tidak bernasib baik. Pertolongan ini akan mengeratkan hubungan silatulrahim dan mengurangkan beban golongan tersebut. Yakinlah Allah akan memudahkan urusan kita sebagaimana kita membantu orang lain. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan muhasabah diri. Amin.

Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.

Published by
intan rohaizat