Syukur pada Allah apabila dikurniakan suami yang dulukan mak, ayahnya. Namun jangan sampai abaikan keperluan isteri dan anak-anak. Jika berkemampuan tidak menjadi masalah.
Namun bagi ayah di luar sana yang cukup untuk keperluan suami, isteri serta anak-anak adalah lebih baik utamakan nafkah mengikut urutan yang telah dituntut agama. Nampak macam mudah, tapi besar tanggungjawab seorang suami ini.
Ikuti perkongsian Razzaaq Ajaq ini dan hadam baik-baik iya :
Dilema seorang isteri apabila suami utamakan nafkah ibu, bapa berbanding isteri dan anak.
Mungkin kisah ini boleh dijadikan panduan untuk kita. Luahan seorang isteri tentang nafkah.
Kisah ini bukanlah disebabkan suami tak beri nafkah tapi keutamaan nafkah tersebut yang tidak mengikut urutan.
Di sini kita nampak menjadi seorang suami bukanlah tanggungjawab yang ringan.
Tidak dinafikan anak wajib mentaati ibu bapa. Namun, suami perlu ada pendirian untuk elakkan salah faham antara ahli keluarga.
Bukan Dahulukan Mak, Ayah
Apabila bercerita tentang nafkah, ada yang ingat suami perlu dahulukan ibu bapanya dulu.
Namun, urutan yang betul ialah wajib suami utamakan diri, isteri dan anak-anak sebelum ibu bapanya.
Melainkan situasi di mana ibu bapanya tidak berkemampuan untuk membeli keperluan asas.
Walaupun nampak mudah tapi inilah situasi yang dilalui ramai isteri. Terasa dengan keluarga mertua.
Syukur apabila ada suami mendahulukan ibu bapanya namun jangan sampai mengabaikan keperluan isteri dan anak-anak.
MW: Jika mak, ayah tidak berkemampuan serta wajib dibantu sememangnya tidak menjadi masalah. Baik isteri atau suami berbincanglah dengan baik jika timbul perkara tidak puas hati terutamanya bab nafkah ini. Jangan sampai ada yang terasa terabai dan berkecil hati ya.
Pejam celik pejam celik usia perkahwinan anda dah masuk 5 tahun pertama atau mungkin daripada itu. Dalam tempoh perkahwinan ini, mesti ada pahit, manis, suka dan duka. Tapi kalau boleh mestilah nak semuanya baik-baik kan.
Namun, ada masanya badai melanda, mulalah seorang ke hulu dan seorang ke hilir. Kat tengah anak-anak yang tergapai-gapai tak tahu mana yang mahu dipilih. Nak kata tak kenal pasangan, rasanya dah lama kenal tapi mungkin ada sesuatu yang membuatkan anda rasa tidak bahagia walaupun dah dikurniakan anak.
Menurut pakar psikologi perkahwinan yang dikenali Abang Arjuna (Faizal Rohban), setiap pasangan inginkan rumah tangga bahagia, malah Islam amat menitik beratkan soal pembinaan keluarga bahagia kerana ia merupakan platfrom kepada pembentukan generasi masa hadapan.
Namun begitu, niat dan usaha ini tidak akan lengkap tanpa disulami dengan doa. Jika ketiga-tiga elemen ini digabungkan, tidak mustahil keluarga bahagia yang diimpikan itu akan menjadi kenyataan. Jadi, niat, usaha dan seterusnya dilengkapkan dengan doa, pasti sesebuah keluarga itu akan menuju bahagia yang berpanjangan.
Bentuk Keluarga Bahagia
1.Rezeki Halal – Setiap rezeki yang diperoleh akan menjadi darah daging dan akan mempengaruhi pembentukan keluarga bahagia melalui zuriat keturunan nanti.
2.Komunikasi – Fahami bahasa tubuh atau mimik muka yang diberikan oleh pasangan setiap kali berhubung.
3.Kasih Sayang – Tanpa kasih sayang, keluarga yang dibina akan runtuh sekelip mata. Perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
4.Toleransi – Amat perlu apabila wujudnya selisih faham antara suami isteri.
Peranan Keluarga
Dalam membentuk keluarga bahagia. Peranan suami, isteri dan anak-anak perlu bersatu demi melahirkan kesejahteraan dalam keluarga. Antara peranan yang perlu dimainkan oleh:
Suami
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik
2. Setiap kali pulang ke rumah bawalah senyuman sekali. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan merasa bahagia dan rahmat pasti akan turun.
3. Telefon atau hantar pesanan whatsApp untuk menyatakan yang anda sayang atau rindu pada isteri.
4. Sentiasa hiburkan hati isteri dan anak-anak dengan bercerita, buat lawak atau bergurau senda.
5. Sesekali ajaklah isteri untuk mandi bersama sambil bergurau senda sebagaimana Sunnah nabi untuk mengeratkan lagi rumah tangga.
6. Ambil berat kehendak isteri.
7. Didik isteri dengan lemah lembut dan berhikmah.
8. Taat kepada perintah Allah.
Isteri
1.Taat kepada perintah suami. Apabila suami meredhai isteri maka Allah akan meredhai rumah tangga tersebut.
2. Menjaga maruah diri dan harta suami. Tidak menceritakan masalah rumah tangga kepada orang lain.
3. Menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumah tangga. Perkara ini nampak seperti tidak penting tetapi ingatlah kebersihan merupakan satu cara untuk menarik malaikat rahmat kerap mengunjungi kita.
4.Menjaga dan mendidik anak-anak dengan sempurna.
Anak-anak
1. Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan mendengar apa sahaja nasihat dari mereka.
2. Menjaga diri dan maruah keluarga. Anak yang baik akan sentiasa menjaga maruah keluarga agar tidak terpalit ke arah yang boleh merosakkan keluarga.
3. Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa.
4 Perkara Untuk Tindakan Bersama
1. Sentiasa bertolak ansur dan menjadi pendengar setia setiap masalah ahli keluarga.
2. Sentiasa berkongsi masalah dengan keluarga sahaja.
3. Ambil lah masa untuk makan bersama-sama sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
4. Solat berjemaah. Inilah paling penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Suami sebagai nakhoda atau jurumudi perlu bijak untuk mengharungi badai rumah tangga, begitu juga dengan isteri sebagai pembantu. Bantulah suami anda dengan penuh taat setia, Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya perangai baik dan buruk seorang suami, hanya isteri yang tahu. Jangan sampai dilabel suami munafik gara-gara sikap kita yang di rumah lain, di luar baiknya Ya Allah.
Lama-lama berkongsi hidup, sememangnya kita tak dapat lari daripada menunjukkan sikap sebenar pada pasangan. Tak kiralah suami atau isteri. Namun begitu, jangan pula di rumah kejam di luar macam malaikat punyalah baik.
Seharusnya, seimbangkan sikap kita agar pasangan kita tidak terasa terabai dan dipinggirkan. Betul tak?
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin dan hadam baik-baik apa yang dia cuba sampaikan:
Baik Buruk Suami, Hanya Isteri Tahu
Baik buruk kita sebagai suami, hanya isteri kita seorang sahaja yang tahu…
Ayah kita tak tahu, mak kita tak tahu, adik-beradik kita pun tak tahu…
Kita buat baiklah macam mana pun pada orang di luar, kita pijak semut tak mati sekalipun, lidah tak bertulang dan nampak mulia di mata masyarakat sekeliling kita pun, tapi kalau dekat rumah kita dengan isteri itu sebaliknya, maka kita ini adalah seorang yang “munafik”…
Dengan isteri sendiri lain, dengan orang luar lain…
Kalau nak baik, buat baik pada keluarga sendiri dulu, anak isteri kita… Itu yang paling afdhal dan utama… Orang yang baik pada keluarga dia, insyallah akan baik terhadap mereka yang berada di sekelilingnya.
Tapi orang yang baik terhadap orang sekelilingnya, belum tentu lagi baik terhadap keluarganya…
Dengan kawan cakap elok-elok, tapi dengan isteri cakap tinggi suara, tengking-tengking.
Kemudian, dengan adik-beradik sendiri boleh melawak bergurau senda, tapi dengan isteri serius sepanjang masa…
Dengan mak bapak sendiri boleh hormat dan buat apa yang mak bapak suruh, tapi dengan isteri sendiri, tak nak hormat dan tak nak dengar cakap isteri…
Isteri Nampak Sisi Suami Yang Berbeza
Isteri nampak tingkah laku kita, isteri tahu pembawakan diri kita itu berbeza… Kita bukan orang yang sama di luar dan di dalam rumah…
Suruh solat pun liat, tapi di kampung solat tepat waktunya… Nafkah pun tak bagi, tapi rajin belanja kawan-kawan makan…
Tolong orang sana sini, tapi isteri minta tolong disuruh buat sendiri… Sentiasa selesaikan masalah orang lain, tapi masalah di rumah sendiri pura-pura tak tahu…
Jika Isteri Buka Aib
Kalaulah isteri itu nak berterus terang beritahu semua orang sikap dan perangai kita yang sebenar, boleh saja dia buat…
Tapi, apa yang dia dapat? Dia akan dituduh membuka aib suaminya…
Sebenarnya, dia hanya nak suami dia itu adalah orang yang sama baik di dalam atau di luar rumah…
Dia juga hanya mahu suami dia seperti diri suaminya di depan mak bapak, adik beradik, kawan-kawan dan orang-orang lain…
Dia tak nak suami dia jadi “munafik”…
MW: Suami jangan sampai jadi suami yang munafik. Layani dan santuni isteri sebaik-baiknya kerana dia adalah pasangan kurniaan Allah.
Berat sekali ujian keluarga Norhayati Saad, 41 dan suaminya, Mat Yusop. Dalam kegawatan ekonomi, dan anak kelima, Auni alami cerebral palsy serta perlu membesarkan 5 anak yang lain, ibu bapa ini sanggup berbuat apa saja.
Kelahiran Auni Zakirah dinanti dengan penuh harapan oleh ibu dan ayahnya. Diharapkan kelahiran anak kelima mereka ini dapat lagi memeriahkan keluarga yang menanti.
Norhayati dan Mat Yusop tak pernah menyangka Auni akan menjadi insan paling istimewa dalam kehidupan mereka. Kini dalam usia 8 tahun, Auni, anak istimewa di kalangan anak-anak mereka seramai 6 orang. Auni berbeza dan perlukan sepenuh perhatian.
Hujan turun dengan lebatnya sewaktu penulis melawat keluarga ini di kedai kecil tempat mereka mencari rezeki di Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Bunyi dentuman guruh di langit yang cukup kuat menakutkan sesiapa saja terutama anak kecil. Tapi berbeza sekali dengan Auni. Dia akan tersenyum dan ketawa merai bunyian guruh. Sedikitpun tak ada perasaan takut dalam diri.
“Berbeza sungguh dengan adik bongsunya Amani yang takut dengar guruh. Auni memang suka dengar bunyi-bunyi. Semakin kuat semakin dia suka.”
Auni Tak Boleh Duduk Sendiri
Melihatkan wajah suci Auni, sudah pasti ramai yang akan berasa sayu. Wajah tanpa sepalit dosa ini memang tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tatkala rakan sebayanya sudah mula bersekolah dan bermain sesama sendiri, Auni hanya mampu berbaring di atas tilam.
Ibunya redha dengan ketentuan Ilahi. Dia sedar takat kemampuan anaknya ini. Selagi nyawa dikandung badan, dia akan berusaha memberi yang terbaik buat Auni. Azam yang sama turut dipegang oleh Mat Yusop.
“Kami perlu kuatkan semangat demi anak-anak. Kehadiran Auni ini membuatkan kami lagi sabar dan kuat semangat. Anak istimewa ini banyak menguji kesabaran. Bila ada orang bagi pandangan negatif kami buat tidak tahu sahaja.
“Mulanya kami tidak tahu jenis penyakit Auni, Nak beri rawatan macam mana pun tak tahu. Sedikit demi sedikit kami belajar sampai boleh lalui bermacam cabaran.”
Dari Awal Kehamilan Dah Lalui Bermacam Masalah
Menurut doktor Auni mengalami masalah Hemimegoloencephaly dan Hypomelanoris of Hito. Atau dalam bahasa mudahnya, Auni mengalami masalah kesihatan yang dikenali sebagai cerebral palsy.
Cerebral palsy adalah gangguan gerakan, otot atau postur yang disebabkan oleh cedera atau perkembangan abnormal di otak, paling sering terjadi sebelum kelahiran.
Mengimbas semula permulaan perjalanan kehidupan Auni, menurut Norhayati, memang banyak masalah yang dialaminya sewaktu mengandungkan Auni.
“Dari awal kehamilan saya ada mengalami pendarahan, dan leaking. Masa dilahirkan pun, dia lemas. Tetapi pada masa itu doktor kata semua ok. Namun selepas dilahirkan dia terus dimasukkan ke dalam inkubator.
“Hari kedua, doktor beritahu anak saya ada sawan. Bermula dari situ, kami buat follow up sehinggalah umur Auni tiga bulan. Kemudian barulah doktor merujuk kes di hospital kerana ketika itu hospital swasta ini tidak dapat melakukan sebarang rawatan lanjut.
“Setelah diberi ubat, sawan yang dialami oleh Auni tetap tidak berkurangan. Sewaktu di hospital doktor mencadangkan pembedahan. Sawannya teruk sangat dan doktor telah mencuba sembilan jenis ubat namun tidak ada tindak balas yang berkesan.
“Sawan Auni amat kerap. Kadang-kadang dua minit sekali. Sehari dalam 40 hingga 50 kali sawan itu dikesan daripada EEG yang ditunjuk oleh doktor. Masa itu umur Auni tiga bulan.
“Bila dia sawan, ada komplikasi lain. Doktor cadangkan pembedahan tetapi kami tak sanggup kerana dia masih kecil ketika itu.
“Kami berulang-alik ke hospital sampai usia Auni tiga tahun. Masa itu kami sudah menyerah sahaja pada doktor kerana sudah cuba macam-macam. Akhirnya kami berserah pada doktor dan membenarkan pembedahan dilakukan ketika dia berumur tiga tahun.”
Refinance Rumah Demi Nyawa Anak
Waktu itu Auni perlu menjalani pembedahan pada otak kanan untuk hentikan sawannya. Norhayati dan suaminya perlu menyediakan RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan.
Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital swasta kerana pada masa itu tidak ada pakar saraf kanak-kanak di hospital kerajaan.
Demi anak, mereka terpaksa refinance rumah bagi mendapatkan wang untuk membayar kos pembedahan tersebut.
Selepas pembedahan perubahan dan perkembangan yang positif dilalui Auni. Sawannya telah berhenti. Norhayati bersyukur pembedahan itu berjaya.
“Sebelum itu, Auni tidak boleh meniarap mahupun berguling. Setahun selepas pembedahan barulah dia boleh meniarap dan berguling. Kami juga membawa Auni menjalani terapi saraf bagi melancarkan perjalanan oksigen dan darah.
“Banyak perubahan yang berlaku padanya. Sebelum rawatan terapi dijalankan Auni makan melalui tiub yang dipasang di perutnya. Selepas itu, dia cabut tiub itu kerana tidak selesa. Bermula dari saat itu Auni mula makan seperti biasa,” cerita Norhayati.
Walau Gawat Tetap Kena Jual Roti & Burger
Bukan Auni sahaja yang perlu diberi perhatian. Mereka ada lima orang anak lain yang perlu dibesarkan.
Sejak dua tahun lalu, pasangan suami-isteri ini telah membuka sebuah kedai fotostat dan kedai roti di Desa Mentari 3. Ini lokasi baru setelah berpindah dari lokasi lama yang terletak di Shah Alam.
Pelaksanaan GST, menjejaskan bisnesnya. Biarpun pelanggan makin berkurangan, mereka tak berputus asa.
Setiap hari selain mengharapkan masyarakat setempat menggunakan khidmat fotostat, mereka akan menjual roti dan burger berwarna.
Setiap petang Mat Yusop akan menjual burger di hadapan kedai. Roti burger dibuat sendiri oleh Norhayati.
Norhayati juga boleh membuat pelbagai jenis roti lain. Setiap kali menerima tempahan, Norhayati akan mula membakar roti pada malam hari sehinggalah siap keesokan harinya.
Bagi mereka yang ingin merasa burger dan roti jualan Norhayati bolehlah melawat ke kedai beralamat 11-G-68, Blok 11, Jalan PJS 2D/1, Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Foto: Nor Yanti Saharuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.