Pada hujung minggu yang lepas telah diadakan Karnival Karangkraf 2018. Terima kasih diucapkan kepada pembaca setia dan pengikut majalah Mingguan Wanita serta pengunjung yang telah meluangkan masa menghadiri fiesta yang meriah ini.
Karnival kali ini amat berbeza kerana ia diadakan pada bulan Ramadan. Berikutan dengan itu juga telah diadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai ala Madinah di perkarangan Kompleks Media Kumpulan Karangkraf.
Ribuan umat Islam telah menghadirinya. Seronok melihat ukhwah yang terjalin sepanjang majlis berbuka puasa itu. Walaupun saya hanya sempat sekali sahaja berbuka puasa di sini, namun saya dapat merasai kemeriahan makan bersama-sama di bawah langit senja.
Sebenarnya saya sudah biasa menghadiri majlis berbuka puasa beramai-ramai. Setiap kali Ramadan sudah pasti kami pihak Media akan dijemput menghadiri majlis berbuka puasa bersama artis, anak-anak yatim, ibu tunggal dan pihak korporat. Jika diikutkan hati saya lebih suka berbuka puasa di rumah. Namun disebabkan tugas saya perlu juga menghadiri majlis sebegitu.
Berbuka puasa beramai-ramai juga sudah tidak asing bagi saya dan rakan-rakan sekerja di Karangkraf. Ini kerana setiap kali Ramadan, pihak syarikat menyediakan juadah berbuka puasa untuk kakitangannya. Jika saya tidak ada tugasan luar pada hari itu, sudah pasti saya akan berbuka puasa di sini.
Rumah saya terletak di Kuala Lumpur dan pejabat pula terletak di Shah Alam. Lebih baik saya ambil keputusan berbuka puasa di pejabat. Selain dapat berbuka dengan mudah, ia juga dapat mengelakkan saya terpaksa berbuka di dalam kenderaan yang dinaiki untuk pulang ke rumah.
Bercerita mengenai berbuka puasa di dalam kenderaan ini, banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Saya pernah berbuka puasa dengan hanya memakan buah kurma yang dikongsi bersama Allahyarham Kak Siti Arfah Abdul atau Kak Pah. Saya harapkan anda semua dapat sedekahkan Al-Fatihah kepada bekas penolong editor Mingguan Wanita yang telah kembali ke Negara Abadi pada bulan Mei lalu.
Saya sebenarnya adalah penumpang setia kereta Kak Pah. Setiap kali saya menumpangnya pada bulan Ramadan, sudah pasti saya akan siap-siapkan bekalan kurma untuk dijamah ketika berbuka. Saya makan tiga biji dan Kak Pah pun makan tiga biji. Selepas itu kami hanya minum air kosong. Kadang-kadang kami berkongsi satu botol air. Cukuplah sekadar melapik perut. Balik rumah nanti boleh makan. Itu fikir kami berdua dalam hati. Kenangan tersebut akan saya simpan sampai bila-bila.
Selain itu saya juga pernah berbuka puasa di dalam LRT. Masa itu mata asyik melihat jam di telefon bimbit. Takut terlepas waktu berbuka. Bila tiba waktu berbuka, saya akan terus makan buah kurma yang dibawa sebagai bekalan. Biasanya saya hanya akan makan tiga biji kurma. Itupun saya rasa bersyukur kerana ada makanan yang boleh dijamah. Hanya apabila balik ke rumah barulah saya menjamah makanan berat.
Namun berbuka puasa beramai-ramai ini ala Madinah ini adalah pengalaman baru. Sebabnya kami berbuka bersama-sama dengan umat Islam yang sebelum ini tidak pernah ditemui. Kami juga bersila dan berbuka di bawah langit terbuka tanpa sebarang khemah menutupi kepala.
Makanan yang disediakan tidaklah banyak seperti di rumah mahupun di hotel dan restoran. Namun cukuplah untuk mengisi perut dan mengganti tenaga yang telah hilang sepanjang berpuasa. Sekurang-kurangnya dengan berbuka sebegini dapat menitip rasa insaf dalam diri. Walau sikit bersyukurlah kita dapat makan kerana tidak semua umat Islam di dunia ini yang hidupnya dilimpahi rahmat Allah seperti kita di tanah air Malaysia ini.
Saya tidak pernah pergi ke Madinah. Tetapi saya dapat melihat suasana berbuka puasa tersebut yang dikirimkan di media sosial oleh rakan-rakan yang pernah ke sana. Mungkin suasana berbuka puasa di Karnival Karangkraf ini tidak semeriah di Madinah, namun sekurang-kurangnya mereka yang tidak pernah berada di Madinah dapat merasai serba sedikit tempias suasana di sana.
Bulan Ramadan mengajar kita untuk rasa lebih bersyukur dan lebih kepada memberi kepada yang memerlukan. Terbitkah rasa insaf dalam diri anda sepanjang Ramadan ini?