Lumrah dalam rumahtangga diuji dengan keadaan susah dan senang.Namun kesetiaan pasangan yang menjadi kayu pengukur untuk meneruskan perhubungan bertahan hingga ke akhirnya.
“Saya sayangkan suami dan lebih bahagia jaga dia (suami) dalam keadaan begitu,” kata perancang majlis, Nurrhidayah Hassan.
Nurrhidayah, 35, setia dengan pasangan, Hamdan Hashim, 36, walaupun suaminya itu bergelar orang kurang upaya (OKU) penglihatan selepas tiga tahun mereka berumah tangga.
Menurutnya, Hamdan jadi begitu kerana menghidap Steven-Johnson Sindrom (SJS) akibat alahan terhadap ubat titis mata mengandungi antibiotik.
Memilih Untuk Setia
Lantaran keadaan suaminya itu, Nurrhidayah dari Kampung Morten, di sini, mengakui ada lelaki yang cuba mendekati selepas tahu keadaan suaminya namun dia menolak dan memilih untuk setia.
“Saya kenal suami sudah lama iaitu sejak 2011 lagi sebelum berkahwin pada 2014.
“Ditakdirkan, dia sakit pada 2017 namun saya anggap itu ujian dan terus menjaganya.
“Waktu itu (suami mula sakit), memang ada yang cuba ambil kesempatan namun saya tak layan kerana naluri dan perasaan bukan ke arah lelaki lain.
Ads
“Bagi saya, apa yang berlaku terhadap suami itu takdir Allah dan saya reda saja dengan ketentuan-Nya,” katanya.
Berdamai Dengan Takdir
Sementara itu, Hamdan mengakui berat untuknya menerima hakikat hilang penglihatan selepas 30 tahun hidup normal. Bagaimanapun, Hamdan cuba berdamai dengan takdir dan bersyukur masih dipanjangkan usia serta ada isteri yang setia dengannya.
“Mungkin dulu saya nakal jadi Allah beri ujian ini sebagai peringatan dan sayang-Nya terhadap saya.
“Walaupun tak dapat melihat sempurna macam dulu apabila mata kanan buta dan kiri pula nampak sedikit saja, saya bersyukur dengan kehidupan sekarang.
“Tak kaya tapi hidup saya berasa cukup berbanding dulu dan tambah bersyukur dengan adanya isteri yang sanggup menjaga serta bersama dalam susah senang. Moga syurga tempatnya,” katanya.
Alahan Ubat Titis Mata
Mengimbas detik hitam yang berlaku dalam hidupnya, Hamdan berkata, pada awalnya dia hanya mengalami sakit mata kemudian merujuk ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Ads
“Waktu itu, saya dibekalkan dengan ubat titis mata dan selepas menggunakannya, berlaku alahan yang menyebabkan mata dan bibir bengkak hingga dikejarkan ke hospital.
“Selepas diberi makan ubat, alahan bertambah teruk hingga naik ruam serta luka pada wajah dan badan.
“Akibatnya, saya terpaksa mendapatkan rawatan selama 43 hari di hospital dengan dua minggu di unit rawatan rapi (ICU) dan selebihnya di wad biasa,” katanya.
3 Tahun Untuk Stabil
Menurutnya, hampir tiga tahun juga dia ambil masa untuk stabil sebelum dapat bekerja semula pada akhir 2019.
“Kini, saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu di kedai makan ibu mentua (Amnah Othman, 64).
“Orang mungkin tengok saya macam normal kerana boleh buat kerja tetapi hanya saya, doktor dan Allah saja tahu keadaan diri ini.
Ads
“Doktor di hospital kerajaan tak berani nak ambil risiko untuk rawat saya dan kini, saya ikhtiar dapatkan rawatan dengan bertemu pakar mata di Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali.
“Kosnya bukan sedikit namun saya dengan bantuan isteri sama-sama kumpul duit untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang belum dikurniakan zuriat.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah dan tahniah buat wanita ini, kekal setia menjaga suami sakit. Bagi yang mengalami alahan semoga lebih berhati-hati dengan sebarang pengambilan ubat-ubatan, kerana boleh membahayakan diri.
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Seorang Isteri Dan Ibu
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Nafsu
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Dosa Dan Pahala
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Elakkan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nak besarkan anak, bukan senang. Salah cara didik, kelaut jadinya. Pendek kata, apa yang kita buat dekat masa kecil, itulah yang akan ‘dituangkan’ balik pada kita.
Sebab itu kena bentukkan anak-anak masa dia kecil, nanti sampai ke besar dia akan bawa ajaran yang diterima. Cuba flashback sendiri, agak-agak cukup ke kasih sayang dan layanan kita bagi pada anak-anak?
Sebelum terlewat, renungkan pengisian daripada saudara Firdaus Shakirin ini sejenak.
Apa Yang Kita Ajar Anak
Dalam sehari, berapa jam masa yang kita luangkan untuk anak-anak kita?
Keluar pagi buta, bila balik dah malam, anak-anak seronok sambut kita balik. Kita mandi, solat dan makan, kita tengok tv, anak-anak bising, anak-anak datang tanya, nak bersembang, kita marah-marah.
“Bising je la, pergi duduk sana.”
Baru jumpa je, dah kena marah.
Anak-anak nak cerita apa yang dia buat kat sekolah, mata kita tengok handphone. Tengok Facebook, tengok WhatsApp, taip balas komen, tersenyum sendiri. Lepas itu anak-anak tengok je kelakuan kita, kalau dia tanya atau cakap lebih-lebih, kita marah dia lagi. Maka dia senyap, dia tak kata apa-apa.
Tengok Muka Anak Tidur
Bila anak-anak tidur, cuba kita tengok wajah anak-anak kita. Tenung muka anak-anak kita. Itu anak-anak kita dan kita orang tuanya.. Semakin lama tengok, semakin rasa bersalah. Teringat kita marah dia tadi, teringat yang kita tak layan dia, buat tak tahu kat dia. Seharian anak-anak kita tunggu kepulangan kita, lama kan. Kemudian macam tu sepatutnya kita layan dia?
Hari ni kita buat macam tu dekat anak-anak kita, tunggu lagi 10-20 tahun. Agak-agaknya anak-anak kita akan buat benda yang sama tak kat kita? Masa tu kita nak kata dia derhaka sebab tak layan kita, tak sembang dengan kita, buat tak tahu kat kita?
Salah Didikan Ke?
Kita yang didik dia macam tu.
Kita tak luang masa dengan anak-anak kita, pentingkan handphone lagi daripada anak-anak. Cubalah letak tepi handphone kita tu bila kita dirumah. Luangkan masa dengar apa yang anak-anak nak cakap, nak cerita, main dengan diorang. Ajar diorang kerja-kerja sekolah. Itu tugas kita sebagai ibubapa.
Kalau kita terlepas saat-saat ini, kita tak akan boleh kembalikan lagi dah masa bersama mereka. Mereka akan terus membesar dan akan meninggalkan kita.
Masa tu kita akan rasa sunyi dengan ketiadaan mereka. Berubahlah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Awas, jangan sampai golongan ibu murung sewaktu beranak kecil! Suami kena banyak bagi sokongan, sekali pun sibuk tolonglah ambil tahu emosi si isteri yang baru bersalin anak kecil.
Nampak dia OK, tetapi tak mudah mak-mak nak kawal emosinya. Nak-nak pula kalau dapat suami yang cuma sibuk dengan urusan mencari rezeki. Tidak langsung bertanya khabar. Kadang sebab stress, susu ibu boleh terganggu dan jadi punca air susu tak cukup.
Ini yang pernah berlaku dalam kes Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom sendiri.
Jangan Sampai Ibu Murung
Bermula dari kes susu tak ada atau susu drop, ibu mengadu untuk dibantu dalam masalah penyusuan yang dialami.
Dalam beberapa kes yang saya perhatikan, bayi menangis meraung setiap kali mahu disusukan si ibu.
Tapi bila saya ambil, bayi senyap. Saya cuma bantu pegang & peluk bayi sahaja tanpa buat apa-apa.
Saya beri ‘ruang’ untuk ibu rasa selesa dahulu. Meluruskan pinggang, membetulkan kain batik yang hampir terlorot, beri ibu masa untuk duduk seketika sambil merasa angin kipas yang lagi tadi terasa ‘panas’.
“Puan ok?”, tanya saya sambil tangan diletak atas pehanya.
“Ok”, jawab ibu pantas dan ringkas sambil hulurkan senyuman tipis.
“Puan penat?”, tanya saya lagi.
Si ibu diam tanpa jawapan.
Tiba-tiba tumpah terus air mata si ibu yang cuba ditahan. Sambil teresak-esak, ibu terus meluah segala yang tersimpan di dada sekian lama.
Mak-mak Jenis Pendam
Dada rasa macam nak pecah. Tak tahu sejak bila atau bermula dari mana.
Saya cuma mendengar. Si suami nampak tercengang. Tak sangka si isteri bukan mengalami sakit luka bersalin sahaja, tapi sakit ‘luka yang parah’ dalam hatinya.
Bila melihat ibu dalam keadaan seperti itu, saya terus terlihat diri saya 8 tahun yang lepas. Satu keadaan yang ‘menakutkan’ bila kemurungan mencengkam. Selalu terlihat diri tergantung di kipas, atau ‘tidur’ yang tidak bangun semula. Nauzubillah!
Rancangan Helo Doktor pernah siarkan episod tentang Kemurungan.
Dan dalam episod itu ada diceritakan tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan seseorang yang mengalami masalah ini. Antaranya adalah seperti berikut:
1. Dapatkan bantuan kaunselor di JKM 2. Jumpa doktor di klinik dan ceritakan masalah yang dialami. Doktor akan refer ke psikiatri 3. Lakukan exercise 4. Bergaul dengan orang dan kita akan hasilkan hormon oksitosin dan rasa lebih tenang
Nombor 4 tu saya agak tertarik kerana melalui penyusuan susu ibu, hormon oksitosin kerap dirembeskan. Hormon oksitosin ni disebut juga sebagai ‘love hormone’.
Dan biasanya, ibu-ibu akan rasa lebih relaks dan tenang sehingga berasa mengantuk yang menyebabkan ibu tertidur disebabkan oleh rembesan hormon oksitosin ini.
Tapi, ibu-ibu yang mengalami kemurungan selalunya menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka.
Susu Ibu Berkait Dengan Hormon
Bila emosi tidak stabil, pengeluaran hormon oksitosin yang juga membantu dalam pengeluaran susu ibu ini akan terencat dan secara tidak langsung menjejaskan proses penyusuan susu ibu itu sendiri.
Bila diterangkan kepada suami tentang keadaan ibu, barulah si suami ‘faham’ yang si isteri bukan sengaja mahu mengada-ngada.
Si suami nampak sokong dan ringankan tangan untuk membantu. Tapi rupanya, suami belum begitu faham dengan gelodak jiwa si isteri. Ada banyak yang tak terluah. Ya, hati seorang wanita itu sangat kompleks. Sukar diselami dan dimengerti.
Tapi percayalah. Terjadinya seperti itu kerana banyak punca dan cerita. Banyak kesakitan dan derita. Fahami jiwanya, maka terisi ‘kekosongan’ dalam hatinya.
Jika tak mampu untuk merawat hatinya, bawalah si isteri segera untuk dibantu kepada yang ahli. Sebelum semuanya terlambat dan dikesali.
Hanya bermula dengan masalah penyusuan, rupanya banyak lagi yang perlu diterokai.
Percayalah, penyusuan susu ibu itu sememangnya boleh berlaku dengan mudah bila ibu tenang untuk aplikasikan ilmu yang dipelajari.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...