Meskipun masih hijau dalam dunia fesyen, nampaknya jenama fesyen tempatan, Syazia Atelier sudah ‘terbang’ ke luar negara untuk mengadakan ‘fashion show’ pertama mereka. Bertempat di Place Vendom, Paris, Datuk Suhaila Semaru selaku pemilik jenama Syazia Atelier membuktikan jenama fesyen lokal tersebut mampu memperagakan fesyen sehingga ke luar negara.
Pertunjukkan fesyen yang baru sahaja berlangsung di kota Paris sekaligus menjadi penanda aras baharu dalam mengembangkan perniagaan dalam dunia fesyen.
“Kami masih ‘hijau’ dalam dunia fesyen di mana ia sahaja ditubuhkan pada akhir 2023. Pada tahun 2024, jenama ini berjaya menempatkan diri dalam kelas tersendiri untuk bersaing dengan jenama antarabangsa. Kami mulakan langkah dengan acara pertunjukan fesyen di kota Paris.
Paris merupakan kota fesyen terkemuka di mata dunia. Jadi, kami memilih Paris untuk menjadi saksi pertunjukkan fesyen pertama kami,” kata Suhaila.
Menampilkan lapan koleksi resort yang mengetengahkan motif batik Malaysia yang diberi sentuhan moden, ia amat bertepatan untuk pasaran antarabangsa.
“Kami berharap usaha kecil ini mendapat maklum balas positif untuk mengangkat seni batik kita di persada dunia. Semoga langkah Ini boleh meletakkan jenama Syazia Atelier untuk menembusi pasaran global.
Ketika ditanya mengapa mengetengahkan unsur batik untuk pertunjukan fesyen di luar negara, Datuk Suhaila mempunyai jawapannya yang tersendiri.
“ Saya merupakan anak jati Terengganu. Jadi, tidak salah jika saya mahu mengetengahkan keindahan batik sebagai elemen utama untuk di bawa ke luar negara. Saya mahu tampilkan bakat tempatan yang mempunyai pelbagai idea kreatif. Pereka batik merupakan anak muda tempatan berbakat dan ini masa mereka bersinar.
“Dalam koleksi resort wear ini, kami menggunakan rona jingga dan merah jambu. Dua warna diramalkan sebagai warna kegemaran ramai pada tahun 2024 dan 2025. Selain itu, jenama ini juga baru sahaja memperkenalkan koleksi ‘ready to wear’ (RTW) untuk Hari Raya.
“Kami berharap, jenama yang kami banggakan ini dapat bermula dengan baik di Malaysia dan seterusnya di luar negara, Insya-Allah,” katanya lagi.