Sweet Dalam Rumah Tangga Berbeza Ikut Persepsi Setiap Pasangan, Paling Manis Waktu Susah

Share
Sememangnya sweet dalam rumah tangga ini berbeza ikut persepsi setiap pasangan, paling manis waktu susah sebenarnya tatkala kita terima seadanya. Oleh sebab itu tak perlu cemburu orang lain sweet dengan pasangannya.
Ikuti perkongsian Puan Farizal Radzali dan fahami penjelasan:
‘Sweet’ dalam rumah tangga mungkin berbeza mengikut persepsi setiap pasangan. Ada yang  rasa sweet bila dapat bunga setiap kali Valentine Day.
Ada yang rasa sweet bila pasangan kita ingat birthday kita. Ada yang rasa sweet bila kita selalu dapat hadiah dari pasangan. Lalu kita tunjukkan pada umum, betapa sweetnya pasangan kita.
Hingga kita lupa, ‘sweet’ itu milik kita dan pasangan kita, bukan untuk ditayang untuk tontonan umum. Kerana bimbang ianya disalah erti oleh orang yang melihat, lebih takut jika diri sendiri menjadi riak dan berlagak bila segala kebahagiaan dipaparkan.

Sweet Dalam Rumah Tangga Berbeza

Tahu tak? Ada sesuatu yang lebih ‘sweet’ dalam hubungan suami isteri, yang jarang kita tunjukkan pada umum. Pada kita itu tak layak dipaparkan, tapi itulah ‘sweet’ yang sebenarnya. Itulah gaduh-gaduh manja laki, bini kata orang.
(1) Bila gaduh itu, mulut kata menyampah, tak nak pandang muka dia. Tapi masa makan, ajak juga.
(2) Bila gaduh itu, tarik selimut bantal tidur tempat lain, tapi tak boleh nak lena sebab yang sebelah itu tak ada.
(3) Bila gaduh itu, rasa macam lantaklah apa hendak jadi dengan dia, tapi bila dengar dia batuk tersedak, jenguk juga kan, pasang telinga juga kan.
(4) Bila gaduh tu, dia duduk depan, kita duduk belakang. Dia datang belakang, kita lari ke depan. Tak nak tengok kononnya. Tapi bila tak nampak, tercari-cari pula.
(5) Bila gaduh itu  tak nampak sudah semua yang baik. Semua buruk saja sudah. Tapi bila tengok dia lena tanpa bantal, kejutkan pula suruh tidur dekat katil elok-elok.
(6) Bila gaduh, marah tak sedar diri. Bila berbaik, pun tak sedar diri juga.

Masa Susah Paling Sweet

‘Sweet’ berpasangan ini adalah pada masa susah sebenarnya. Masa sama-sama masih terkontang-kanting mencari arah hidup, masa masing-masing masih naik motor, berhujan berpanas.
Masa mula-mula ada anak, masing-masing tak cukup rehat, asyik nak marah saja. Semua itu akan jadi kenangan paling ‘sweet’ bila kita sudah hidup lama dengan pasangan kita.
Tengok saja mak, ayah kita yang sudah tua dekat kampung. Tiap kali kita balik, masing-masing mengadu. Ayah kamu macam itu, mak kamu macam ini. Macam-macamlah.
Tapi bila hendak ke mana-mana, pasangan merekalah yang mereka cari dulu. Kalau tak nampak mak, mulalah ayah tu tanya, “Mak kamu mana?” Macam itu juga mak.
Bila tak nampak ayah, mula tanya anak-anak, “Ayah kamu mana?” Walhal baru lepas marah tu.

Makin Lama Makin Sweet Rumah Tangga

Makin lama hubungan suami isteri tu, makin ‘sweet’. Mak ayah kita yang sudah tua itu, merekalah paling ‘sweet’ sebenarnya. Kalau salah seorang sudah tak ada, anak-anak ajaklah duduk rumah anak-anak tapi selalu ditolak, kenapa?
Lepas itu kalau datang rumah anak-anak, paling lama seminggu dia sudah kalut nak balik rumah dia sendiri. Kononnya risau ayam, itik tak makan, risau pokok bunga tak berjirus.
Padahal ramai saja geng mereka dekat kampung itu boleh tolong bagi ayam, itik makan, boleh tolong jiruskan  pokok bunga. Itu cuma alasan.
Yang sebenarnya, mereka tak boleh berjauhan dari tempat mereka dan pasangan mereka hidup bersama, dari dulu hingga salah seorang pergi menghadap Ilahi. Mereka rindu.
Mereka rindu. Percayalah, hanya itu sebabnya. Rumah itulah kenangan kehidupan mereka dengan pasangan.
Saya mengenali seseorang ini, umur sudah 70-an. Suaminya masa hidup telah memadukannya. Dia ditinggalkan, digantung tak bertali. Dirinya tak mendapat hak sepatutnya bersama 5 orang anak.
Itu cerita dulu. Suaminya pun sudah meninggal dunia, anaknya pun sudah besar. Dia sudah bercucu pun. Tapi setiap kali melihat makanan kegemaran arwah suaminya, pasti dia akan sebut “Arwah abang dulu suka makan ini”.
Nampak tak? Benci dan marah macam mana pun, kalau kita ikhlas sayangkan pasangan kita, kita tetap ingat dia. Hati tak tenang kalau tak jumpa seharian.
Farizal Radzali
MW: Sweet dalam rumah tangga ini berbeza ikut pandangan masing-masing. Oleh itu hargailah pasangan seadanya dan cara sweet masing-masing.
Sumber: Puan Farizal Radzali
Published by
Syazwani Mehat