Susu SUNNAH Yang Punah, Kupasan Dari Seorang Doktor Untuk Selamatkan Bayi

Share

Tak pelik pun kalau ada mak-mak bagi susu sunnah pada bayi sebab ada sesetengah orang rezeki susunya tak lebat. Tetapi yang jadi persoalan, betul ke susu itu selamat untuk si comel?

Haaa… ada pelbagai jenis susu dicipta khusus untuk menggantikan susu ibu, seperti susu segar lembu (whole cow’s milk), susu formula lembu diperkaya zat besi (iron fortified infant formula), susu berasaskan soya (soy based formula) dan susu kambing.

Untuk pilih susu yang terbaik buat bayi anda, baca kupasan oleh Doktor, Hana Hadzrami ini…

Selepas menulis tentang susu krimer baru-baru ini, ramai yang bertanyakan tentang susu yang diminum oleh anak masing-masing. Boleh dikatakan 100% brand susu sunnah yang ditanyakan oleh pembaca Fb kepada saya di peti mesej semuanya susu bercampur krimer belaka. Susu cuma 10%, minyak sawit 90%! Sedih betul.

Bukan setakat satu dua jenama tetapi berpuluh jenama termasuk jenama terkemuka yang selalu ber”lala lala” di radio dan TV.

Jadi bagaimana memilih susu yang betul?

Pertama sekali saya ingin nyatakan, susu ibu adalah susu yang terbaik. Kandungan zatnya berubah menurut keperluan bayi. Tak seperti susu formula yang berbeza-beza kandungannya. Nama pun susu formula, bermakna kandungan zat protein, karbohidrat dan garam galian diformulasikan khas untuk keperluan umur bayi tertentu. Berbeza formulanya untuk bayi pra matang, bayi 6-12 bulan, bayi setahun ke bawah atau 2 tahun keatas. Jika bayi berkeperluan khas (kurang berat, penyakit metabolik dan lain-lain) lebih berbeza formulanya.

Sebab itu bila saya lihat iklan susu menyamar sunnah yang mendakwa susu mereka sesuai untuk bayi yang baru lahir sampailah ke orang dewasa; sakit betul hati saya.

Namun tak semua bayi bernasib baik boleh mendapat susu ibu. Ada ibu yang kekurangan susu kerana masalah hormon (PCOS atau masalah pituitari contohnya), atau kerana tahap stress yang tinggi. Ada bayi yang tak boleh latching dengan betul (lidah pendek-tongue tie, pra matang, bermasalah pernafasan dan sebagainya). Ada juga bayi yang tak boleh diberi susu ibu contohnya ibu penghidap HIV. Jadi usah berbangga jika boleh menyusu badan dan memandang rendah kepada yang tak boleh menyusu badan. Rezeki itu dari Tuhan, bukan dari tubuh kita.

Sebelum memilih susu, ada beberapa perkara perlu difikirkan.

?Mengapa susu formula, bukan susu segar? Kerana bayi manusia bukanlah bayi lembu atau kambing. Keperluan zat besi dan garam galian adalah berbeza, jadi perlukan formulasi khas yang mendekati susu ibu manusia. Sebab itulah perlu susu formula.

?Pilihlah formula yang bersesuaian dengan umur bayi. Bayi baru lahir hingga 6 bulan tak sesuai minum susu formula biasa. Kandungan garam galian susu biasa adalah berat untuk buah pinggangnya. Keperluan zat lain juga berbeza. Susu segar yang diproses boleh diberikan setelah anak berumur 2 tahun.

?Susu formula lembu vs susu formula kambing. Ramai mengatakan susu kambing adalah sunnah. Sebenarnya susu itu sendiri adalah makanan sunnah; tak kira susu dari lembu, kambing atau unta. Asalkan ia susu dan bukan minyak sawit seperti susu sunnah yang berada dipasaran.

?Susu formula kambing adalah terbaik selepas susu ibu? Susu yang terbaik ialah susu yang membekalkan cukup nutrisi dan tak membebankan poket ibubapa. Jika anak tiada alahan kepada susu lembu, tak perlulah ditukar kepada susu kambing. Susu kambing asli sangatlah hamis, kesian anak tak mahu minum. Kalau susu kambing tu sedap, wangi dan tak hamis, itu bukan susu kambing tetapi krimer sawit.

Susu Untuk Bayi Selepas 6 Bulan

Saya ingin menambah; untuk bayi selepas 6 bulan, susu tak sepatutnya menjadi satu-satunya sumber nutrisi. Bayi hendaklah diperkenalkan dengan makanan pejal. Bukan saja makanan pejal penting untuk keperluan zat tambahan, malah membantu ransangan otot mulut untuk bercakap. Makanan pejal haruslah makanan yang betul (real food) bukan pati madu, kurma, delima dan za’faran yang ditambahkan dalam susu.

Published by
Nadia