Sedang anda berjalan-jalan, tiba-tiba ternampak duit RM100 atau terpandang seutas gelang tangan emas. Apa yang anda buat? Ambil barangan itu dan terus berjalan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku atau ambil dan bertanyakan orang yang ada di sekeliling situ?
Dari situlah, orang dapat menilai diri kita jujur dan amanah dengan harta orang lain. Walaupun tidak tahu milik siapa, sekurang-kurangnya anda berusaha untuk mencari empunya milik. Namun, jika itu bukan rezeki si pemiliknya, jalan terbaik adalah sedekahkan pada mereka yang memerlukan.
Tetapi, bagaimana pula apabila anda terjumpa sebuah telefon bimbit? Tidak kira telefon bimbit biasa atau telefon canggih? Sanggupkan anda matikan telefon itu dan mengambilnya? Ini umpama mencuri, mengambil hak orang dan semestinya anda soerang yang benar-benar tidak jujur dan amanah. Berapa ramaikah orang yang betul-betul amanah dan jujur ini?
Saya mengalami dua situasi berbeza berkenaan dengan telefon bimbit ini.
Telefon tercicir di sebuah pasar raya ketika sedang membeli belah. Seingatnya, terjatuh ketika sedang membuat pengiraan tentang barangan yang dibeli. Bila kembali ke tempat tersebut dan bertanyakan kepada sekumpulan pelajar perempuan, terus mereka menunjukkan telefon itu dan katanya menunggu sesiapa yang telefon untuk memulangkan balik. Syukur.
Telefon tercicir tanpa disedari selepas pulang ke rumah. Cuba telefon kembali tetapi hanya dengar adalah suara operator perempuan di talian. Memang sah, telefon bimbit itu sudah dimatikan. Cuba bertanyakan di kawasan yang terakhir berhenti. Jawapan mereka, seperti ada seseorang yang telah berhenti dan mengambilnya. Allahualam.
Sedihnya, sebab semua nombor telefon keluarga dan kawan-kawan hilang dan paling menyedihkan koleksi gambar keluarga turut hilang. Ralatnya bila gambar kenangan itu hilang sebelum sempat kita simpan di mana-mana google drive. Apa pula perasaan orang yang mengambilnya? Suka, gembira kerana dapat ‘durian runtuh’. Tidak terfikirkan, jika terjadi pada diri sendiri.
Memang sudah ditakdirkan dan bukan rezeki kita. Namun, jika seseorang itu benar-benar jujur dan amanah, dia boleh pulangkan kembali sebab sudah tertera pemilik telefon bimbit itu. Lainlah, jika terjumpa duit atau barang kemas yang memang kita tidak tahu siapa pemiliknya.
Untuk ingatan saya dan sesiapa sahaja, jika barang itu bukan hak kita, cubalah jujur dan amanah. Jangan sewenang-wenangnya mengambil hak orang lain. Percayalah, setiap apa yang kita lakukan baik atau jahat akan ada balas. Cuma cepat atau lambat..
]Walaupun isu ini dianggap kecil atau remeh tetapi bila ia berlaku pada diri sendiri, bermacam-macam perasaan yang bermain dalam fikiran. Marah, sedih semuanya ada.
Jadi, bagi yang pernah alami seperti ini angaplah bukan rezeki dan bagi mereka yang mengambil sesuka hati, percayalah ada balasan yang menunggu.
Jumpa Lagi.