‘Susah nak terima kerana mereka pergi sekaligus.’ Ibu redha tapi ambil masa untuk menelan takdir yang cukup pahit ini.
Apatah lagi arwah anaknya yang bongsu masih menyusu, tentu perit bila bengkak susu tetapi anaknya sudah tiada masa.
Allahuakbar, tak termampu membayangkan perasaan sang ibu yang cukup sedih kehilangan dua anaknya ini.
Artikel Berkaitan: ‘Dengar Jeritan Panggil Abah, Tapi Tak Mampu Selamatkan.’ Pilu Dua Anak Terkorban Dalam Kebakaran
Hakikat kehilangan dua anak kesayangan terlalu berat untuk dilalui wanita ini apatah lagi anak bongsunya masih menyusu badan.
Mimi Doleng, 28, mengakui malam pertama tanpa anak membuatnya sukar melelapkan mata dan terkenangkan dua beradik itu.
Mimi adalah ibu kepada dua beradik termasuk bayi perempuan yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, Bota, Perak, semalam.
Dalam kejadian pada 4.30 pagi itu, Muhammad Fahmi, 6, dan adiknya, Nur Fahmia berusia enam bulan terperangkap di bilik tidur mereka di tingkat dua premis berkenaan.
Menurut Mimi, dia sangat merindui dua anaknya dan meminta suami membawanya ke rumah kedai untuk mengambil barang anak sebagai pengubat rindu.
“Saya ajak suami ke sana untuk cari barang anak yang masih elok, kami cuba cari baju raya mereka tapi tak jumpa, kami dapat mengambil bantal busuk Muhammad dan lampin serta cekak kepala Mia, inilah pengubat rindu kami.
“Bantal ini memang bantal kesayangan Muhammad dan mesti ada kalau dia nak tidur. Tapi kami tak lama di situ, kira-kira 30 minit… rasa sebak berada di situ teringatkan mereka,” katanya.
Mimi ditemui di rumah mentuanya di Taman Tasek Putra, Tronoh pada lawatan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang diketuai Timbalan Ketua Polisnya, Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail.
Lawatan itu sebagai tanda sokongan polis kepada keluarga mangsa dan mereka turut mengadakan tahlil ringkas buat arwah Muhammad Fahmi dan Nur Fahmia.
Tambah Mimi, dia reda dengan tragedi yang meragut nyawa kedua-dua anaknya, namun ia mengambil masa untuk menerima hakikat itu.
“Susah nak terima kerana anak pergi sekali gus, mereka saja anak kami dan sentiasa ada dengan kami setiap masa dan Mia juga masih menyusu lagi tetapi saya perlu menguatkan diri dan tabah,” katanya mengalami bengkak susu sejak semalam.
Baca Di Sini : “Ibu Ingin Selamatkan Anak-Anak.” Akhirnya Kesemua DiTemui Meninggal Berpelukan Terhidu Asap Kebakaran
Sementara itu, jelas Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, dia juga terpaksa menguatkan diri untuk menjejakkan kaki ke tingkat atas premis kerana masih terngiang-ngiang suara anak sulung menjerit memanggilnya pada hari kejadian.
“Saya tiada kekuatan mahu naik tingkat atas tapi paksa diri juga kerana kasihan pada isteri yang mengajak ke sana untuk mengambil barang anak.
“Isteri juga masih bersedih dan beberapa kali memanggil nama Mia… Muhammad dalam tidurnya.
“Masih terbayang memori kami, tempat mereka bermain dan tidur, malah masih terdengar suara anak panggil abah tetapi kami perlu tabahkan diri namun kemeriahan suasana raya memang tiada,” katanya sambil memberitahu anak sulungnya suka makan sate terutama pada Aidilfitri.
Katanya, semua pekerjanya juga tinggal sehelai sepinggang kerana bilik tidur mereka juga berada di tingkat atas dan mereka kini ditumpangkan di rumah pekerja sebuah lagi kedai makan.
Mingguan Wanita : Bukan mudah menerima kehilangan anak, apa lagi hilang dua anak serentak. Berat sungguh ujian buat pasangan ini, pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku.
Sumber : myMetro
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita