Lumrah pasangan muda mendirikan rumah tangga, pasti terasa sedikit susah di awal-awal perkahwinan. Maklumlah selama ini hidup bujang, kini tiba hidup sebumbung berdua. Ketika bujang mungkin tiada masalah jika menyewa beramai-ramai dengan kawan-kawan sekepala. Tetapi setelah berpasangan sudah tentu perlu adanya tempat berteduh biat pun kecil.
Situasi ini kadang-kadang buat ibu dan bapa jatuh kasihan pada anak dan menantunya. Tanpa sedar menghulurkan bantuan, begitu juga dialami Hakimi. Sejak mendirikan rumah tangga, Hakimi sering dibantu keluarga mertuanya dari segi kewangan. Awalnya, Hakimi tidak merasakan sesuatu namun akibat terlalu kerap diberi wang, Hakimi jadi serba salah.
Apatah lagi setelah Hakimi dan isteri telah memperoleh cahaya mata. Semakin melimpah bantuan dari ibu dan bapa mertua. Ditolak, bimbang mereka akan berkecil hati. Tetapi makin lama, makin Hakimi terasa seperti tidak berharga.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Pensyarah dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, sebenarnya kita bertuah jika memiliki ibu mertua yang pemurah dan suka menghulurkan wang bagi membantu keluarga kita. Pembentukan keluarga juga bukanlah bererti kita memisahkan isteri kita daripada keluarga ibu bapanya, malah ibu bapanya adalah menjadi ibu bapa kita.
Tidak dinafikan, dari sudut psikologi, fitrah lelaki akan tercabar andainya isteri yang berada di bawah tanggungannya, tetapi seolah-olah ditanggung oleh orang lain. Dalam banyak kajian psikologi oleh penulis tersohor seperti Dr John Gray, Alan & Barbara Peace dan lain-lain membuktikan lelaki mudah rasa tercabar dan tersentuh egonya apabila ada pihak ketiga seolah-olah mengambil tanggungjawabnya terhadap isterinya, terutama dalam soal kewangan.
Bagi menangani situasi ini agar tidak menjadi negatif, sebagai ibu elakkan daripada secara terang-terangan memberi bantuan kewangan kepada anak perempuan yang sudah berkahwin. Malah lebih baik, memberilah secara sekali sekala dengan menjadikannya hadiah bersempena ulangtahun, hari jadi dan sebagainya.
Perkara ini mungkin lebih mudah difahami dan diterima oleh suami. Sebagai suami pula, uruskan ego kita dengan bersangka baik betapa kita memiliki ibu mertua yang pemurah dan penyayang. Terimalah apa sahaja pemberiannya dan jadikan ia situasi “menang-menang”. Berterima kasihlah dan hargailah secara positif.
Manakala sebagai isteri, elakkan daripada menunjuk-nunjuk pemberian ibu di hadapan suami atau mengungkit-ungkit serta membandingkan pemberian ibu dengan pemberian suami. Apatah lagi, jangan sampai memperkecilkan keupayaan suami dengan menampakkan pemberian ibu kita sebagai penyelamat dan penyelesai masalah. Hargai fitrah masing-masing, tetapi fitrah perlu diurus dengan ilmu dan iman.Fitrah ditatang jangan, ditentang pun jangan!
Sikap Pemurah Semata
Selain itu, tambah Dr Mohd Noor lagi, kadang kala perkara ini berlaku bukanlah disebabkan kegagalan suami atau menantu menyara keluarga anak tetapi lebih kepada sikap pemurah dan penyayang sebagai ibu terhadap anak dan cucunya. Barangkali juga ada ibu-ibu yang tidak ingin terasa kehilangan anak perempuan setelah berkahwin, dengan masih meneruskan pemberian bermacam-macam termasuk wang.
Walau bagaimanapun, ada juga ibu bapa yang memberi untuk tujuan memperlekehkan kemampuan suami dengan mengungkit-ungkit pemberiannya sebagai penyelesai masalah anak menantunya. Apa pun tujuan ibu, andainya tidak dengan penjelasan yang baik dan cara yang positif, sangat mudah disalah ertikan oleh suami yang terasa dicabar ego dan peranannya.
Bagi suami yang menerima bantuan, bukanlah suatu kesalahan dan menyebabkan tanggungjawab kita sebagai pemberi nafkah tercalar. Pun begitu, sebagai ibu bapa, benarkan menantu kita menguruskan nafkah keluarga dengan caranya yang mungkin lebih sesuai dengan keluarga yang dibangunkan bersama anak perempuan kita di bawah jagaannya. Paling penting memberi, jangan sampai mendesak. Membantu, jangan sampai menghina.
Dapatkan Keizinan
Di samping, jelas Dr Mohd Noor lagi, biar apa pun yang berlaku dalam rumah tangga kita, perlulah kepada keputusan ketua keluarga untuk kebaikan bersama. Dalam hal ini, sebagai isteri, perlulah mendapat keputusan dan keizinan suami. Inilah panduan yang ditunjukkan dalam Islam, setiap tindakan yang diambil perlulah dirujuk dan mendapat keizinan suami, agar pengurusan keluarga kita teratur dan sentiasa selari dengan fitrah.
Andainya suami telah mempunyai perancangan yang tersendiri dan perancangan tersebut lebih baik, adalah lebih baik kita bersabar dan memberi sokongan kepada suami. Ini kerana, kebahagiaan dalam hubungan lahir bukanlah disebabkan banyaknya wang dan harta, tetapi lebih kepada saling terasa dihargai dan dihormati.
Sebagai ibu mertua pula, usahlah terlalu mendesak menantu agar menerima bantuan kita, kerana ia mudah menyakitkan hatinya dan mungkin juga terasa seolah-olah dipandang rendah dan hina. Namun, jika suami pula yang menghadapi masalah untuk menguruskan keperluan keluarga, uruskan ego kita dengan menerima bantuan ibubapa mertua secara positif.
Ibu mertua juga adalah ibu kita, sebahagian daripada keluarga besar kita dan rumah kita juga adalah rumah ibu bapa kita dan ibu bapa mertua kita dalam konteks keluarga yang lebih besar. Hormati pemberian ibu mertua kita, mudah-mudahan kita lebih disayang. Menghormati, kita akan disayangi. Menyayangi, kita akan dihormati. Kita ubah situasi ‘mertua murah hati, suami senang hati!’
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI