Ketika Ramadan, ada diantara mereka yang tewas dengan emosi sendiri. Dalam erti kata lain ada waktunya kita bersikap seperti watak kartun ‘Angry Bird’ dan juga badang Mat Saleh iaitu Incredible Hulk. Bunyinya agak lucu, mungkin penyusutan tenaga mengundang kepada timbulnya watak-watak sebegitu tanpa kita sedar. Jadi macam mana nak kekal bertenaga sepanjang Ramadan? Berikut adalah superfood yang ideal dijadikan sebahagian diet anda ketika berpuasa.

1. Kurma
Kurma adalah makanan sunnah Nabi Muhammad SAW dan sangat sinonim dengan Ramadan.Kurma tinggi dengan kandungan karbohidrat iaitu fruktosa yang akan diolah oleh tubuh sebagai sumber tenaga. Jadi pengambilannya ketika berpuasa memberikan anda stamina tinggi. Kurma juga memberi kesan kepada kadar gula darah kerana kandungan indeks glisemik rendah dan selamat untuk dinikmati oleh pesakit diabetes.

2. Buah-buahan segar
Tahukah anda buah-buahan segar adalah sumber gula natural yang baik untuk keperluan tubuh. Caranya dengan memilih buah yang bersesuaian untuk anda nikmati kebaikan gula terkandung di dalamnya.

Sebagai contoh mangga sarat dengan kandungan gula semula jadi, manakala epal dan pisang pula tinggi dengan karbohidrat dan serat sihat. Manakala strawberi pula kaya dengan vitamin C yang membantu menukarkan lemak kepada tenaga.

Beri biru pula memberikan anda tenaga untuk lebih fokus. tahukah anda, kelebihan kita yang menetap di negara tropika membuatkan kita punya banyak pilihan buah-buahan segar. Jadi manfaatkan kelebihan itu untuk kesejahteraan anda sepanjang melalui ibadah berpuasa.

3. Kekacang
Antara kekacang yang boleh diambil sebagai sebahagian juadah yang membantu anda bertenaga ketika berpuasa seperti kacang panjang, kacang tanah dan lain-lain jenis kekacang.

IKLAN

Nutrisi yang boleh diperolehi daripada kekacang adalah sumber protein tinggi yang kebiasaannya terkandung di dalam sayur-sayuran. Khasiatnya sangat berguna kepada tubuh dan kacang akan memberi keupayaan tahan lapar 31 peratus lebih lama berbanding pengambilan makanan lain.

4. Madu asli organik
Khasiat madu dalam kesihatan sukar dinafikan lagi. Ia juga merupakan makanan sunnah yang menjadi amalan Rasulullah SAW. Anda boleh mengamalkan pada bulan puasa dalam mengekalkan kesegaran tubuh badan dan mencegah pelbagai masalah kesihatan sepanjang Ramadan. Madu mengandungi sumber neuron kortikal iaitu sumber tenaga yang amat diperlukan oleh tubuh.

Manakala kandungan fruktosa dan glukosa dalam madu dapat diserap ke dalam badan dengan mudah dan menjadikan tubuh lebih segar dan anda juga bertenaga ketika berpuasa pada siang hari. Bagi individu yang menghadapi masalah sukar tidur malam, anda elok mengamalkan madu dalam menu bersahur dan berbuka anda.

 

5. Bijirin
Makanan yang tinggi serat dan kanji amatlah digalakkan pengambilannya ketika bersahur. Ia berpotensi mengekalkan tenaga yang mencukupi untuk anda sepanjang hari. Bijirin juga merupakan solusi kepada masalah pedih ulu hati yang dialami. Selain itu, bijirin adalah superfood terbaik yang membantu anda rasa kenyang lebih lama.

Sebagai contoh quinoa adalah sejenis makanan kesihatan yang paling digemari dunia. Ini kerana ia bebas gluten, tinggi protein dan mempunyai semua asid amino penting. Lazimnya ia ditanam secara organik, menjadikan ia sejenis superfood yang tinggi manfaat. Quinoa boleh diolah dan disesuaikan penyediaannya mengikut apa sahaja yang menepati citarasa anda. Quinoa juga ideal dinikmati sama ada ketika bersahur mahupun ketika berbuka puasa.

6. Anggur
Anggur mengandungi resveratrol, sejenis anti-oksidan yang melindungi tubuh daripada kerosakan tisu. Biji anggur pula kaya dengan flavonoid yang merendahkan risiko pembentukan lemak di dalam saluran darah ke jantung.

7. Daging
Kandungan protein di dalam daging boleh memberikan anda tenaga sepanjang seharian berpuasa. Protein itu bukan sahaja penting untuk keperluan tubuh dan ia memperlahankan rasa lapar itu hadir. Ianya umpama empangan yang menyimpan tenaga dan menghasilkan manfaat untuk keperluan dalaman anda sewaktu berpuasa.

8. Mentega kacang
Mentega kacang adalah sejenis sapuan roti yang tinggi dengan kandungan protein. Ia juga mampu membuatkan anda berasa kenyang . Kandungan minyak yang sihat terdapat di dalam mentega kacang membantu anda menurunkan berat badan. Kandungan lemak tidak tepu di dalamnya melindungi jantung anda dengan baik.

9. Avokado                                                                                                        Avokado merupakan sejenis buah yang tinggi dengan kandungan serat. Ia juga didapati mampu menyumbang kepada penurunan berat badan dan juga mengawal tekanan gula dalam darah. Ia juga mampu membuatkan anda rasa kenyang lebih lama. Jadi jangan lupa jadikan avokado sebahagian daripada salad sihat anda sewaktu bersahur untuk memastikan anda kekal bertenaga ketika siangnya iaitu ketika berpuasa.

Selain itu untuk kekal bertenaga sebaiknya anda jangan skip sahur. Walaupun ada yang memilih untuk makan lewat malam ataupun sengaja tidak sahur, ia sebenarnya sedikit sebanyak membuatkan tenaga anda semakin merudum prestasinya ketika berpuasa. Lagipun bersahur itu adalah sunnah.