Siapa sangka dengan teknologi terkini, mikrocip yang hanya sebesar sebutir beras mampu menyimpan pelbagai data sekaligus mempunyai pelbagai fungsi tersendiri.
Sebuah syarikat di Sweden, DSruptive Subdermals, mencipta mikrocip bersaiz sebutir beras yang boleh ditanam dalam kulit manusia bagi tujuan menyimpan data vaksinasi COVID-19 dan memudahkan pelbagai urusan harian.
Menurut laporan portal berita News18, cip pelbagai fungsi yang ditanam di lengan itu juga boleh menyimpan data pasport dan digunakan untuk membuat pembayaran tanpa tunai.
Kira-kira 6,000 orang di Sweden sudah menerima suntikan cip berkenaan pada lengan tangan masing-masing dan terbukti memudahkan urusan harian mereka.
Cip terbabit menggunakan protokol komunikasi medan dekat (NFC) dan memindahkan data melalui gelombang elektromagnet.
Menurut ketua pegawai pengedaran DSruptive Subdermals, Hannes Sjoblad, implan adalah teknologi serba boleh yang mampu digunakan untuk pelbagai perkara.
Katanya, ketika ini ia dengan mudah menyimpan rekod vaksinasi COVID-19 yang sentiasa boleh diakses pada implan seseorang.
“Jika telefon anda kehabisan bateri, ia sentiasa boleh diakses. Jadi, itu cara kita guna teknologi hari ini dan kami sedang membangunkan keupayaan lain yang boleh dilakukan menerusi cip ini.
“Implan cip ini berharga 100 euro (RM477) bagi model yang canggih, masih murah jika dibandingkan dengan peranti kesihatan lain yang mungkin dua kali ganda harganya.
“Tambahan pula cip ini boleh digunakan sehingga 40 tahun berbanding peranti lain yang mungkin jangka hayatnya hanya antara tiga hingga empat tahun,” katanya.
Beliau juga menegaskan cip berkenaan tidak wajar dianggap sebagai ‘teknologi menakutkan’ atau disalah guna bagi memantau pergerakan, sebaliknya ia hanya sebagai pengenalan identiti.
Kata Sjoblad, cip itu tidak mempunyai bateri, tidak boleh mengeluarkan isyarat atau mendedahkan lokasi pemilik, sebaliknya ia hanya boleh dihidupkan dengan menggunakan telefon pintar.
Tambah beliau, semua implan dilakukan secara sukarela dan menegaskan syarikatnya tidak akan membenarkan ia dijadikan mandatori bagi banduan atau penghuni rumah persaraan.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Epicentre, Patrick Mesterton, berkata, faedah terbesar adalah kemudahan tanpa membebankan pengguna.
“Secara asasnya ia menggantikan banyak alatan yang anda miliki termasuk peranti komunikasi lain, sama ada diguna untuk kad kredit atau sebagai kunci,” katanya.
Baca Lagi Di Sini:
Salun Kecantikan Tawar Perkhidmatan Kuku MIKROCIP Masukkan Data Peribadi
Mingguan Wanita: Canggih betul teknologi sekarang. Walaupun microchip ini hanya bersaiz sebutir beras namun mempunyai pelbagai fungsi bagi memudahkan urusan harian.
Sumber: Bharian
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita