Rakyat di negeri Kelantan hari ini berduka, susulan ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, pada jam 8.11 pagi tadi.
Menurut laman Facebook Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, jenazah Al-Marhum Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan terakhir dan dijangka Istiadat Pemakaman akan dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar Kota Bharu.
Dalam entri Facebook tersebut turut disertakan etika berpakaian untuk penghormatan terakhir tersebut.
“Etika berpakaian untuk kerabat Diraja adalah berbaju Melayu putih, bersamping putih, songkok hitam beralas kain putih di atas dan baju kurung putih bagi perempuan.
“Manakala etika berpakaian untuk orang awam ialah berbaju Melayu putih, bersamping putih, bersongkok hitam beralas kain putih dan baju kurung putih bagi perempuan,”
tulisnya.Sementara itu, Kerajaan Kelantan mengisytiharkan tempoh berkabung bermula hari ini dan cuti selama dua hari bermula esok bagi menghormati kemangkatan ayahanda Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, cuti diberikan pada hari Ahad dan Isnin ini iaitu selama dua dan perkabungan juga akan bermula pada hari ini.
“Almarhum Sultan dijangka dikebumikan hari ini selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Diraja Langgar,” katanya kepada pemberita di sini.
MW:
Merafak sembah dan ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Kelantan atas kemangkatan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh almarhum.Sumber:Sinar Harian