Tahniah buat penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Suki Low, 35, dikurniakan anugerah kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Berita gembira ini dikongsikan mereka menerusi Instagram, hari ini.
Menjengah laman Instagram milik Suki, penyanyi tersebut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan terhadap Tuanku Muhriz atas kurniaan ini.
“Patik menjunjung kasih Tuanku, Tunku Ampuan Besar dan kerabat diraja Negeri Sembilan yang memberi kepercayaan, sokongan dan kurniaan kepada patik sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kurniaan ini patik terima dengan amanah dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
“Berkatlah Yang di-Pertuan Besar. Daulat Tuanku,” tulisnya.
Malah juara program realiti One In A Million musim pertama itu turut mengucapkan terima kasih kepada suaminya, Jeremy Chong yang sentiasa mendukung dan merestui kerjayanya.
Majlis penganugerahan tersebut telah berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah Negeri Sembilan itu telah berlangsung penuh adat istiadat kerabat diraja Negeri Sembilan. Suki manis mengenakan baju kurung hitam dan berselendang di bahu mengikuti tema busana tradisional untuk upacara majlis rasmi.
Sementara itu, Waris yang popular dengan lagu Rembau Most Wanted dan Gadis Jolobu turut mendedikasikan anugerah kepada peminat.
“Untuk rakyat N9. Terima kasih menginspirasi. Terima kasih isteri, tulang rusuk saya.
“Dan seluruh keluarga Diraja Negeri Sembilan khususnya Tuanku Muhriz dan Tunku Zain yang sentiasa menyokong perjalanan muzik saya,” tulisnya yang turut melahirkan kesyukuran.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendahului senarai 555 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir baru-baru ini.