Kecacatan fizikal yang dialami tidak pernah mematahkan semangat Noor Askuzaimey binti Mat Salim untuk menggapai impian sama seperti insan normal lain. Walaupun berkerusi roda sepanjang hidupnya, tetapi itu bukanlah halangan buat wanita berusia 34 tahun ini cemerlang terutamanya dalam apa sahaja bidang yang diceburi.
Noor Askuzaimey adalah OKU kategori cacat fizikal. Ketika ditanya bagaimana dia mengalami kecacatan kekal ini, Noor Askuzaimey menjelaskan semuanya adalah takdir dan sudah ditentukan olehNya semasa dia dalam kandungan ibunya lagi.
“Daripada cerita Mama, dia tumpah darah semasa mengandungkannya saya. Pada masa yang sama dia juga turut mengurut dengan bidan. Mungkin kesan daripada itulah saya jadi begini,” terangnya.
Sepanjang hidupnya bergelar OKU, tidak mudah bagi Noor Askuzaimey untuk melaluinya tanpa semangat yang kuat. Walau pahit untuk ditelan, dia perlu menerimanya dengan penuh ketabahan.
“Pada pandangan saya, cabaran bagi mereka yang bergelar OKU ini adalah apa-apa sahaja yang kita hendak buat itu agak sukar. Apa yang orang normal boleh buat tetapi kita hendak juga buat sampai diri kita puas.
“Selagi saya tidak dapat buat apa yang saya hendak buat saya tidak berhenti melakukannya. Sehinggakan pada satu tahap itu saya sampai menangis kerana mendapat kesukaran apa yang hendak saya buat. Saya kena buat dan sata harus kuat.
“Kalau saya tidak buat apa yang saya inginkan itu, siapa lagi yang hendak buat untuk diri saya. Keadaan seperti ini bukan penghalang kepada saya untuk bergerak ke hadapan,” ujarnya penuh bersemangat.
Tidak pernah sesekali dirinya berputus asa dengan keadaan diri. Dia yakin setiap apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Hatinya cukup kuat.
“Saya sentiasa kuatkan semangat dalam menjalani kehidupan. Sebelum ini saya rasa diri saya teruk daripada orang lain. Tetapi apabila saya berkenalan dan bergaul dengan kawan-kawan yang senasib seperti saya, mereka penguat semangat saya.
Jika mereka yang berkeadaan lagi teruk dari saya, mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu, takkan saya tidak mampu melakukannya seperti mereka juga.”
Ternyata setiap manusia itu ada rezeki masing-masing. Kekurangan diri bukan penyebab Noor Askuzaimey tidak mampu untuk menyumbang kepada masyarakat. Sejak tahun 2016, wanita berkerusi ini bergelar atlet para negara.
“Sebelum saya jadi atlet pun saya memang banyak menceburi program-program OKU terutamanya di bawah persatuan-persatuan. Kadangkala saya terlibat dengan program di hospital PPUM yang saya selalu berurusan sejak kecil.
“Saya menceburi sukan Boccia kerana minat. Sukan ini seakan boling padang tetapi ia dimainkan secara indoor. Sejak bulan November 2016, saya melibatkan diri dalam sukan Boccia ini.
“Begitu bertuah kerana dapat main sukan ini sebab dalam masa yang sama ia juga adalah sumber rezeki untuk saya. Saya juga boleh menjelajah seluruh negeri dan negara. Paling penting dengan menceburi sukan ini, ia banyak menguji minda, kesabaran dan fokus dalam membuat sesuatu.
“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang sukan ini dan sekaligus terlibat secara langsung sebagai atlet para negara. Sepanjang mengikuti sukan ini saya tidak perlu risau tentang jarak tempat tinggal dengan lokasi latihan kerana semuanya disediakan dan ia terletak tidak jauh daripada tempat saya lakukan latihan.
“Asrama tempat saya tinggal itu menyediakan segala kelengkapan dan kemudahannya amat memuaskan untuk orang seperti saya yang bergelar OKU ini. Rutin seharian saya sama seperti atlet-atlet normal yang menjalani latihan sukan. Kami akan berlatih setiap hari selama tiga jam pada waktu pagi dan tiga jam pada waktu petang,” terangnya.
Memilih untuk bergiat dalam bidang sukan memberi pengalaman dan kehidupan baru bagi Noor Askuzaimey. Ibu bapa dan adik-beradiknya banyak memberi sokongan kepadanya dalam bidang pilihannya itu.
“Saya berharap dengan penglibatan saya dalam sukan ini dapat membuktikan pada orang ramai dan masyarakat di luar itu yang kekurangan fizikal pun boleh berjaya seperti orang normal lagi. Apa orang lain boleh buat, saya juga boleh buat. Insya Allah saya mampu berjaya seperti mereka.
“Cuma cabaran jadi atlet OKU ini adalah hati dan jiwa kena kental. Jangan sesekali anggap diri itu lemah,” katanya dengan penuh semangat.
Sepanjang menceburi sukan Boccia, pencapaian Noor Askuzaimey amat membanggakan. Dia pernah mendapat satu pingat perak dalam acara berdua pada Para Asean KL 2017. Pada SUKMA Perak 2018, dia mendapat satu Perak dalam acara individu dan satu perak dalam acara berdua.
“Fokus saya adalah untuk pertandingan yang akan datang. Insya Allah saya akan buktikan pada orang yang saya akan naikkan nama sukan Boccia. Saya berharap sukan Boccia ini akan terkenal sehingga ke pelusuk dunia,”katanya mengakhiri perbualan.