Suka parking depan rumah jiran, tular video wanita gaduh. Akhirnya bertemu buku & ruas. Masalah jiran yang suka meletakkan kenderaan di hadapan rumah orang lain bukanlah perkara baru.
Sikap seperti ini sering menjadi punca ketegangan dalam kejiranan, malah ada yang sampai bertikam lidah gara-gara isu ini. Walaupun nampak seperti perkara kecil, tetapi bagi yang mengalaminya, ia cukup menyusahkan dan menjejaskan keselesaan.
Suka Parking Depan Rumah Jiran, Tular Video Wanita Gaduh
Benar, jalan di hadapan rumah bukanlah hak peribadi sesiapa. Ia merupakan kawasan awam yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja. Namun, sebagai jiran yang baik, seharusnya kita memahami batas dan adab dalam menggunakan ruang tersebut.
Jika setiap kali meletakkan kenderaan di hadapan rumah orang lain tanpa izin, sudah tentu lama-kelamaan jiran akan rasa terganggu dan tidak selesa.
Seorang pengguna Facebook, Sulyeana Yana, baru-baru ini berkongsi video yang memaparkan dirinya menegur tindakan jiran yang sering meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya hingga menyukarkannya untuk mengundurkan kenderaan.
Menurutnya, keadaan ini telah menyukarkan pergerakannya untuk keluar dan masuk ke rumah, apatah lagi selepas bertahun-tahun bersabar dengan sikap tidak bertanggungjawab jiran tersebut.
Mungkin sudah memendam lama termasuk isu berkaitan corong asap, akhirnya berlaku pertengkaran mulut sesama jiran. Walaupun kejadian ini dikatakan berlaku hujung tahun lalu tapi ia mulai tular hari ini di twitter @Anaz.iDeviceRepair.
Tulisnya, PENGAJARAN UNTUK JIRAN YANG SUKA PARKING DEPAN RUMAH ORANG.
Dilihat dirinya bertengkar mulut termasuk tidak gentar walau lawannya adalah jiran lelaki termasuk anak beranak yang mengeluarkan kata-kata biadap terhadap Sulyena.
Menurutnya, dia bukan tidak boleh bertolak ansur namun kesabaran ada hadnya. Setelah pelbagai usaha untuk bertoleransi tidak berhasil, akhirnya wanita ini mengambil keputusan untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya secara terbuka. Kata orang akhirnya bertemu buku dengan ruas. Video yang dikongsikan itu kini telah mendapat lebih 3 juta tontonan dan menjadi perbualan hangat netizen di media sosial.
Netizen Turut Simpati dan Kongsi Pengalaman
Ruangan komen turut dibanjiri dengan pelbagai reaksi. Rata-rata netizen bersetuju dengan tindakannya dan berpendapat bahawa hidup berjiran perlulah ada rasa hormat dan timbang rasa. Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa, malah ada yang terkejut dengan sikap jiran yang tidak peduli langsung terhadap kesusahan orang lain.
💬 “Puas hati tengok video akak ni. Sebab pernah kena sebijik macam ni.”
💬 “Walaupun jalan depan rumah tu hak semua, tapi fikirkanlah keselesaan jiran. Jangan pentingkan diri sendiri je.”
💬 “Ini sebab kenapa kami tak beli rumah di kawasan kos rendah atau sederhana. Nak elak masalah macam ni.”
💬 “Ada juga manusia suka parking depan rumah orang, biar rumah sendiri nampak lapang.”
Toleransi dan Adab Kejiranan Itu Penting
Umum tahu, kes suka parking depan rumah jiran bukan baru malah agak kerap juga terjadi kerana memang ada jiran yang bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.
Sejujurnya, dalam kehidupan bermasyarakat, sikap toleransi dan adab berjiran sangat penting bagi mengelakkan perselisihan faham.
Jika perlu menggunakan ruang hadapan rumah jiran untuk meletakkan kenderaan, sebaiknya minta izin dan pastikan ia tidak mengganggu pergerakan mereka. Juga, wujudkan komunikasi yang baik agar sebarang isu dapat diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni tanpa perlu mencetuskan ketegangan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI