Ini cerita teladan yang boleh dijadikan panduan mak-mak. Kegigihan seorang wanita yang taat pada suami dan berjaya dalam mendidik anak-anaknya. Sampailah akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan sujud. Itulah sujud terakhir ibu anak 5 setelah disahkan menderita kanser.
Mingguan Wanita terpaksa merahsiakan identiti dan nama wanita ini demi permintaan rakan baiknya yang sudi berkongsi kisah. Nama beliau juga MW letakkan bukan nama sebenar. Moga bermanfaat kisah wanita yang taat pada suami, keluarga serta agamanya.
Seperti yang diceritakan kepada penulis oleh rakan baiknya, arwah Siti Sabariah sejak zaman sekolah merupakan seorang rakan yang bersikap lurus dan jujur. Dia juga seorang pelajar pintar dan berjaya menghabiskan pembelajarannya di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Selepas tamat belajar, Siti Sabariah bekerja sementara di negara itu. Pada waktu itulah dia bertemu suaminya, Amir Azmi. Pulang saja ke tanah air masing-masing mengambil keputusan untuk bernikah, akhirnya impian mereka termakbul.
Pada awal perkahwinan Siti Sabariah dan suami hidup agak susah. Dengan duit tak berapa nak ada, mereka sudah dikurniakan seorang cahaya mata. Setapak demi setapak, mereka berdua membina hidup. Selepas 10 tahun bernikah, barulah suaminya berjaya membina perniagaan.
Walaupun masing-masing sibuk bekerja, wanita ini tak pernah jemu mendidik dan mengawasi perkembangan lima orang anaknya. Siti Sabariah juga tidak pernah merungut sepanjang membantu suaminya menambah pendapatan. Dia bekerja dengan seikhlasnya.
Ketika usianya menjangkau 55 tahun, tatkala sebahagian anak sudah berkerjaya dan sebahagian lagi sedang melanjutkan pelajaran di IPTA, Siti Sabariah disahkan mengidap kanser payudara peringkat empat.
Sebaik tahu dirinya sakit, wanita hebat ini tidak pernah mengeluh malah sering berdoa agar Allah mengambil nyawanya dalam keadaan serba baik. Dia juga tidak mahu melakukan rawatan kemoterapi dan berserah keadaan kesihatannya kepada Yang Maha Esa.
Siti Sabariah bersara lebih awal dan mahu menghabiskan sisa baki hidupnya di rumah. Tiga tahun dia bertahan melawan penyakitnya itu. Di rumah Siti Sabariah merupakan pembimbing dan penasihat kepada anak-anaknya. Suaminya juga cukup kagum dengan ketabahan yang ada dalam diri isteri
kesayangannya.
Umur Siti Sabariah tidak panjang selepas genap tiga tahun setengah menderita kanser, akhirnya dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika meninggal dunia, Siti Sabariah tidak terlantar sakit.
Sebaliknya dia sedang bersujud. Saat kepergiannya itu cuma disedari anak bongsunya apabila melihat ibunya begitu lama bersujud. Dipanggil ibunya dan ketika itu baru disedari ibunya sudah tiada lagi.
Hajatnya untuk meninggal dalam keadaan baik telah termakbul dan Allah memberikan bahagian itu kepada wanita mulia ini kerana sikapnya yang begitu baik. Ibu ini juga sangat istimewa kerana bukan saja sukses dalam pelajaran malah dalam membesarkan anak-anaknya.
Siti Sabariah berjaya mendidik anak-anaknya menjadi orang yang berjaya. Arwah juga sangat taat pada suaminya. Peninggalan arwah sangat memberi kesan kepada keluarga dan juga masyarakat sekeliling.
Dalam mengharungi kesakitan arwah tidak pernah merungut dengan segala dugaan yang diberikan oleh Allah kepada dirinya. Rakan arwah ini turut mengalirkan air mata tatkala meluahkan kisah ini kepada penulis.
Semoga roh arwah Siti Sabariah aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman