Siapa sangka perkongsian video-video masakan yang dimuat naik ke laman youTube berjaya menambat hati ramai, malah kini mampu memberi pendapatan tambahan. Walaupun hanya menggunakan perkakasan dan peralatan masakan yang asas. Bahkan telefon pintar yang digunakan untuk merakam video masakan tersebut juga di beli secara hutang. Bukan mudah untuk berjaya, yang penting berusaha.
Itulah kisah di sebalik kejayaan Pavithra dan suami, M Sugu, 29, yang viral di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas video-video masakan yang dikongsikan menerusi saluran Youtube mereka mendapat perhatian penonton.
Selain kepelbagaian menu yang disediakan termasuk masakan India, penggunaan bahasa Melayu oleh Pavithra dalam semua video nyata berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur untuk terus melanggan saluran pasangan suami isteri itu yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba begitu ramai pengguna melanggan saluran Youtube kami sedangkan kami sangat baru, masih banyak kekurangan dalam kandungan video yang perlu kami perbaiki,”
kata S Pavithra, 28.Pavithra berkata, dia dan suami mula berjinak-jinak sebagai Youtuber sejak Januari lalu selepas mendapat saranan daripada rakan baik yang juga seorang YouTuber untuk menghasilkan serta memuat naik video masakan di laman berkenaan.
Menu pertama yang dikongsi mereka adalah ikan talapia bakar dan Pavithra berkata, dia dan suami menunjukkan tutorial memasak menggunakan Bahasa Melayu.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, mereka sendiri terkejut apabila jumlah pelanggan saluran mereka meningkat sehingga 10,000 dalam tempoh sebulan saluran berkenaan diwujudkan.
Susulan itu, pasangan ini menerima emel daripada YouTube untuk menjadi Rakan Youtube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).
“Saya dan suami memang gemar memasak jadi kami tiada idea yang lebih baik untuk dijadikan kandungan utama saluran YouTube kami selain berkongsi resipi dan tutorial masakan.
“Pada peringkat awal, rakan baik saya turut mempromosikan saluran kami di salurannya jadi mungkin juga itu antara faktor video kami ditonton lebih ramai pelayar sehingga jumlah pelanggan juga naik mendadak.
“Walaupun saya berbangsa India, saya ambil inisiatif untuk hasilkan video dalam bahasa Melayu berbanding Tamil supaya ia dapat difahami lebih ramai penonton di negara ini,”
katanya.Bercerita lanjut, Pavithra menjelaskan, jika orang lain mempunyai perkakasan dapur yang canggih, tidak pula bagi mereka yang hanya mempunyai perkakasan asas di dapur. Berbekalkan dua periuk termasuk periuk untuk memasak nasi selain kuali dan sudip, kandungan video dihasilkan menggunakan telefon pintar yang dibeli secara hutang untuk tujuan perkongsian video terbabit.
Rakaman juga menurutnya dibuat selepas suami pulang dari kerja atau pada hari cuti.
“Sejujurnya, kami bukanlah orang senang. Saya hanya suri rumah sepenuh masa manakala suami pekerja ladang kelapa sawit dan kami tinggal di kuarters yang disediakan majikan suami.
“Sebab itu, perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa, barang sedia ada di rumah yang kami gunakan setiap hari, tiada pun peralatan canggih.
“Kami juga tiada tripod (kaki tiga) jadi untuk menstabilkan telefon ketika rakaman, kami hanya letakkan telefon di atas cawan di tempat yang kukuh.
“Memandangkan suami agak pemalu, saya lebih banyak bercakap khususnya ketika kenalkan bahan-bahan dan cara-cara namun proses suntingan klip video dilakukan bersama selepas makan,” katanya.
Dalam pada itu, Pavithra turut menzahirkan terima kasih kepada pelanggan salurannya yang menghadiahkan mereka dengan pelbagai peralatan dapur.
“Saya menerima pelbagai perkakasan seperti pressure cooker (periuk tekanan), hand mixer (pengadun tangan) dan ketuhar yang tidak pernah saya gunakan apa lagi miliki seumur hidup saya.
“Tidak kurang juga pengikut yang menghantar bahan mentah serta rempah ratus untuk saya gunakan dalam penghasilan video.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada keluarga, jiran, rakan dan pelanggan yang sentiasa memberikan idea mengenai menu masakan seterusnya untuk saya hasilkan dalam video,” katanya.
Ketika ini, jumlah pelanggan saluran Sugu Pavithra di laman Youtube sudah mencecah 275,000 orang.
MW: Tahniah buat pasangan suami isteri ini. Siapa sangka perkongsian video di youtube menjadi punca pendapatan tambahan buat keluarga kecil ini. Semoga terus maju jaya, kekal merendah diri dan bersikap jujur dalam menghasilkan ‘content’ video yang menarik.
Sumber: Hmetro