Dekorasi

Sudahlah Murah, Mudah Pasang, Nak Deko Raya Guna Saja Wainscoting PVC

Share

Suatu ketika dahulu, mungkin mak, ayah hanya dapat melihat rumah besar dan berduit sahaja mampu memasang perincian “wainscotting” kerana rata-rata menggunakan material kayu yang agak mahal harganya.

Tetapi sekarang banyak pilihan material wainscoting antaranya pvc dan harganya jauh lebih murah jika mak,ayah ingin memasang perincian “wainscoting” di dinding rumah masing-masing.

Sudahlah murah, “wainscoting” menggunakan pvc ini lebih mudah dipasang. Bagi mak ayah yang ingin mengisi masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, bolehlah mula menghias atau mendekorasi untuk hari raya nanti dengan menggunakan wainscoting pvc.

Ikuti perkongsian Puan Syarul Nadia Hamdan ini:

Saja Mengisi Masa Ketika PKP

Sebenarnya, setelah saya mencuba sendiri hias dinding menggunakan wainscoting PVC, saya ada berkongsi gambar-gambar sebelum dan selepas make over di facebook. Tak sangka ramai juga kawan-kawan berminat dan ingin mencubanya.

Selepas siap dipasang wainscoting pvc. Cantik bukan?

Pada mulanya, memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak panjang, jadi saya dan suami terfikir untuk menghias dinding rumah. Seperti orang lain, kami pernah cuba mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman untuk memasang “wainscotting”.

Khidmat Pereka Dalaman Mahal Terfikir Cuba Sendiri

Tetapi harganya agak mahal serta mencecah ribuan ringgit walaupun hanya satu dinding kosong tidak termasuk cat. Setelah ada orang lain mencuba memasang sendiri wainscotting PVC dan cantik, saya dan suami terfikir untuk mencubanya sendiri.

Bayangkan kos yang kami keluarkan tidak sampai RM 300. Memang jimat. Selain murah harganya, kami juga dapat mengisi lapang dan membuat persiapan dekorasi untuk sambutan hari raya tidak lama lagi.

Maklumlah mungkin kita akan beraya di rumah sahaja kerana virus Covid-19, jadi apa salahnya kita menghias rumah untuk membangkitkan suasana raya. Untuk pengetahuan semua barang atau bahan yang digunakan dibeli secara online tanpa perlu ke kedai.

Bahan-bahan:

Silicone + white silicone
Pembaris
Cutter
Masking tape
Grinder mata potong @ gergaji
Wall putty filler
Wainscotting (pvc)
Penimbang air
Wall paper (sticker)

Langkah-langkah:

1. Kenal pasti dinding dan ukur lebar untuk memudahkan proses membuat design wainscoting yang dikehendaki.

2. Ukur wainscoting pvc mengikut panjang yang dikehendaki dan buat garisan sudut di bahagian hujungnya.

3. Potong menggunakan grinder mengikut garisan sudut yg telah dibuat.

4. Letakkan white silicone pada wainscoting pvc dan tampalkan pada dinding.

5. Gunakan penimbang air untuk memastikan wainscotting betul-betul sama aras.

6. Lekatkan masking tape supaya lebih kukuh. Masking tape ditanggalkan selepas silicon benar-benar kering (biarkan semalaman).

7. Tampal wall paper di bahagian dalam petak wainscoting dan sapu rata supaya kemas.

8. Menggunakan instant putty filler untuk menutup ruang antara cantuman wainscoting.

**Pesanan**
Kerja mesti dilakukan dengan cermat dan kemas supaya tidak memerlukan dinding dicat semula. Sekurang-kurangnya kita tidak perlu mengeluarkan bajet untuk mengecat lagi. 

MW: Semoga perkongsian ini dapat memberi idea kepada mak, ayah mendekorasi rumah. Paling penting kita dapat berjimat apatah lagi di waktu-waktu kecemasan seperti sekarang. 

 

Published by
Syazwani Mehat