Sudah Beli Cincin & Sediakan Rumah, Tapi Hubungan Untuk Hidup Bersama Musnah

Share

Ajal, maut di tangan Tuhan. Begitu juga dengan jodoh, sejauh mana kita merancang, jika Allah tak mengizinkan, maka tidak juga akan bersatu. Ternyata ini bukanlah ujian yang kecil, betapa hebatnya dugaan apabila pasangan yang diimpikan untuk sehidup semati akhirnya pergi secara mengejut.

Ummi Faezatul Fadella Yaakub merupakan salah seorang yang turut terkesan dengan tragedi letupan di Pangerang. Dia adalah teman wanita kepada Hadi Syafiq Jamil yang turut terkorban. Siapa sangka hubungan yang dibina sejak kecil akhirnya musnah sekelip mata walaupun segala persiapan telah dijalankan.

Beli Cincin Untuk Melamar

“KITA hanya merancang, namun takdir menentukan ia menjadi nyata atau sebaliknya,” kata Ummi Faezatul Fadella Yaakub, teman wanita salah seorang mangsa kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang di Kota Tinggi, malam kelmarin.

Ummi Faezatul, 28, yang tinggal di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan berkata, kekasihnya Hadi Syafiq Jamil, 28, sudah membuat persediaan rapi untuk mendirikan rumah tangga dengannya.

Malah katanya, Allahyarham juga sudah membeli rumah di Johor sebagai persediaan untuk membawanya bersama tinggal di tempat kerjanya di Pengerang.

“Arwah sudah membeli cincin untuk melamar saya malah dia juga sudah menyediakan rumah di Johor.

“Dia berjanji akan melangsungkan pernikahan kami selepas rumah itu siap diubah suai,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Kenal Sejak Sekolah

Menurut Ummi Faezatul, mereka saling mengenali sejak kecil lagi kerana sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan RPR Astana, di Petra Jaya.

Malah keluarga kami juga saling mengenali dan dia sering berjumpa keluarga saya, begitu juga saya.

“Kami berkawan sejak kecil hinggalah mengikat janji untuk hidup bersama. Arwah bekerja di Johor sejak dua tahun lalu dan dia berusaha mengumpul wang untuk kami memulakan hidup baru, malah dia sudah menjalani kursus perkahwinan,” katanya.

Namun Ummi Faezatul agak terkilan kerana ketika kali terakhir Hadi menghubunginya pada jam 9.17 malam kelmarin, dia tergesa-gesa memutuskan perbualan.

Ketika itu saya sedang makan malam dan melayan dia acuh tak acuh sahaja. Malah ketika dia mengucapkan ‘i love you’ saya tidak membalasnya.

“Saya menyesal dan terkilan kerana tidak menyangka itu perbualan terakhir kami. Sebelum saya memutuskan talian, dia ada berjanji untuk hubungi semula,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Dapat Berita Hilang

Katanya lagi, keesokannya dia terus menghubungi Hadi, namun gagal dan selepas itu kira-kira jam 9 pagi (semalam) dia menerima panggilan daripada seorang kawan mengatakan Hadi hilang dalam kebakaran di tempat kerjanya.

Selepas menerima panggilan itu, Ummi Faezatul terus mencari maklumat baharu dan akhirnya hatinya luluh selepas bapa Hadi sendiri mengesahkan kekasihnya itu antara mangsa yang maut dalam kejadian itu.

Seperti ibu bapanya, saya juga mengharapkan jenazah Hadi dapat dibawa balik ke rumah keluarganya di Batu 12, Jalan Puncak Borneo.

“Saya ingin melihatnya buat kali terakhir,” katanya sambil memaklumkan keluarga Hadi sedang berusaha untuk membawa balik jenazahnya ke Kuching.

Lima Mangsa Rentung

Dalam insiden kebakaran dan letupan yang berlaku kira-kira jam 10.50 malam Ahad itu, lima mangsa rentung manakala dua lagi parah.

Empat mangsa yang maut dan ditemui adalah Fadhi Akmal Fadzil,25, Azarul Ashraf Nor Akmal Zolkarnain, 28, Norfazly Md Nor, 32,dan Che Huzaydy Che Harun, 26.

Jenazah mangsa kelima, Hadi Syafiq yang dilaporkan hilang sebelum itu ditemui bomba kira-kira jam 12.42 tengah hari semalam.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Arnado Alexander, 28, parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat, 29, pula yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur 40 peratus pada tubuhnya.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan diampunkan dosa-dosanya. Diharap teman wanitanya tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah. 

Published by
Syazwani Mehat