Panas betul isu doula sejak dari malam tadi, rentetan siaran Analisis AlHijrah. Mana yang tak berkesempatan menonton, suami ini, Khairul Kamilin berkongsi pandangan, memberi senarai info untuk mak-mak faham dan hadamkan.
“Semalam terlepas siarannya maka hari ini aku luangkan masa hampir sejam untuk menonton kembali siaran Analisis AlHijrah berkaitan isu doula yang viral itu.”
“Ulasan secara terperinci telah diberikan ramai yang ahli. Aku bukan ahli justeru tak ada niat nak menjelaskan apatah lagi menghuraikan.”
“Troll pun tidak, sebab jika dibanding dengan Kak Yatt selaku ‘freelance doula’ itu pun ilmu aku tak setara mana.”
“Dia ada baca, ada analisis. Soal direction dia ke mana hala, itu hal dia. Namun jika ada pelanggaran hukum dalam soal tatacaranya, yang arif boleh bicara.”
“Nak banding aku dengan Prof Imelda apatah lagi lah. Cuma, aku nak listkan semula cara faham aku dari siaran itu secara umum dari kacamata orang awam untuk rujukan diri sendiri dan orang yang tak berkesempatan menonton
.”
1. Doula mesti benar-benar faham fungsinya sebagai peneman dan pemberi sokongan kepada ibu bersalin. Garisnya cukup jelas. Doula bukan bidan apatah lagi doktor.
Oleh itu doula mesti bersama-sama doktor atau bidan bertauliah ketika dalam proses meneman ibu bersalin.
2. Dengan garis sempadan yang sama, doula harus akur dan sedar bahawa mereka tiada hak mempengaruhi, menghasut atau dalam bahasa baiknya, memberi nasihat kepada ibu-ibu tentang pilihan yang bagaimana perlu mereka buat ketika mahu bersalin.
Mudahnya, doula bukan ahli dalam menangani setiap isu perbidanan. Teman dan sokong. Itu tanggungjawabnya.
3. Tiada hak memberi nasihat berkaitan perbidanan ini juga termasuklah nasihat supaya ibu-ibu bersalin secara alami di rumah.
Bahkan jika doula itu bertanggungjawab, dia sendiri yang akan pastikan wujudnya kombinasi doula, doktor dan peralatan yang lengkap walau di mana pun proses bersalin itu dilakukan.
Jika tiada, dia sendiri yang akan rujuk ibu-ibu ini ke premis perubatan dari awal lagi dan bukannya menggalakkan ‘homebirth’ kerana sedar jika ada apa-apa komplikasi terhadap ibu-ibu ini, intervensi boleh dibuat segera.
Terlambat, membawa padah.
Itu perkataan yang paling banyak diulang oleh Prof Imelda berkaitan penyebab kepada akhirnya berlaku perkara yang tidak diingini.
4. Diakui, ada kekangan dari segi ‘keselesaan’ apabila melibatkan urusan bersalin terutama di hospital-hospital besar. Dan kekangan ini boleh mengakibatkan stress kepada ibu-ibu bersalin.
Tak jumpa ayat yang paling lunak untuk diguna, tapi jika nak mudah difahami, tidak selesa itu sememangnya sudah jadi asam garam ketika bersalin.
Atau mungkin boleh dikatakan, tidak selesa itu sendiri sebahagian dalam proses alami atau fitrah ketika bersalin.
Bahkan dalam kajian yang dinyatakan Prof, ada hospital di UK yang terlalu menekankan aspek selesa ini dan akhirnya mengundang kemudharatan kepada ibu itu sendiri kerana terlambat.
Aku nak tutup post ni macam ni je.
Teringat dulu pernah tanya abang ipar yang merupakan ejen takaful.
“Kenapa sakit bersalin tak cover dalam medical card?”
Selamba je dia jawab,
“Sebab sakit bersalin tu mung yang cari pasal sendiri.”
Walaupun agak kasar bunyinya tapi ada benarnya.
Kita yang sama-sama ‘cari pasal’.
Allah perkenan dan anugerahkan.
Maka, ketika isteri sibuk mengisahkan tentang perjagaan diri waktu mengandung dan bersalin, si suami pula kena lah sibuk mengisahkan penjagaan keperluan emosi mereka.
Ada Doula yang bertanggungjawab.
Tak kurang ramai juga Doula yang extreme.
Apa pun, yang paling penting kena ingat, kitalah doula utama isteri.
Tak dipanggil doula pun tak pa.
Panggil dollah pun ok.
Janji buat yang terbaik.
Dari bulan pertama kita wujudkan rasa berteman dalam diri dia. Bila tiba masa, serahkan isteri kepada ahli yang selayaknya.
Kalau pun ada ketika, tak dapat izin dari hospital untuk masuk teman bersama, sekurang-kurangnya isteri rasa kewujudan kita sepanjang 9 bulan lamanya.
MW : Kehadiran suami itulah paling penting sepanjang isteri hamil. Dari saat pertama alami mabuk morning sickness sampailah tiba di bilik labour room. Jangan sesekali fikir, isteri itu kuat dan tak apa apa.
Sumber/Foto : Khairul Kamilin
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.