Suami Yang Tak Soleh, Boleh Berubah Dengan Kesabaran Dan Doa Isterinya

Share

Ujian bagi seorang isteri apabila ditakdirkan mengahwini suami yang tak soleh, culas bab urusan agamanya. Semakin hari, semakin menjerut perasaan. Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapak.

Hebat sekali ujiannya. Tentunya semakin lama, hati isteri mula bergolak juga. Bagaimana mahu bertahan dengan suami sebegini. Mampukan diri berdamai dengan takdir yang tuhan tetapkan.

Hadamkan perkongsian Intan Dzulkefli bila mana isteri ditakdirkan bertemu suami yang tidak soleh.

Andai Ditakdir Bertemu Suami Yang Tak Soleh

Kesolehahan isteri takkan tercela sedikit pun andai suaminya tidak soleh.

Bukan semua wanita yang baik budi dikurniakan suami yang soleh. Begitu jugalah sebaliknya. Pasangan bukanlah sekadar anugerah. Bahkan juga amanah dan ujian.

Seorang isteri, dia menutup aurat, akhlaknya molek, lisannya selalu terjaga, amal ibadahnya dijaga.

Namun, suaminya pula tak solat, mata keranjang, suka memaki-mencarut, suka stalk aurat wanita di media sosial.

Orang akan kata, “kesian isteri, malu dapat suami macam tu.”
isteri punya baik, suami macam tu…”

Memanglah perbuatan suami seolah menjatuhkan maruah si isteri yang solehah tadi, tetapi adakah Kesolehahannya tercela?

Tentu tidak.

Isteri Sangat Baik, Sifat Suami Sebaliknya

Dulu waktu saya bujang, saya pernah bertanya pada wanita yang sangat baik yang suaminya kita lihat sifatnya kontra sangat dengan isterinya.

Macam mana nak bersabar dengan suami yang tak soleh ya?”

Dia senyum seperti faham ‘makna tersirat’ soalan saya itu.

Dulu Acik pun selalu ingat kalau Pak Imam jodohnya mesti ustazah, macam susah nak terima kalau Pak Imam tiba-tiba isteri jenis merayap dengan tak tutup aurat semua tu kan. Acik pun macam awak juga dulu, sampai acik jumpa seorang lelaki yang orang kata memang idaman para isteri, tapi isterinya jenis…” dia terhenti kata.

Tak solehah?” teka saya cuba menyambung.

Dia tersengih.

Tapi dalam ceramah, dia cakap, sebenarnya dia jadi sabar, baik, seperti yang orang kata dan sangka itu sebab isteri dia yang orang nampak tak solehah tulah. Setiap kali isteri dia degil, dia up lagi sabar dia. Kalau dulu jarang solat hajat, solat taubat, sekarang tak pernah missed sebab DIA TAKUT SEBAB DOSA DIA, isteri dia masih tak dapat hidayah Allah.”

MasyaAllah.

Hampir Bercerai Dengan Suami Kerana Kecewa

Sebelum tu Acik pun hampir nak bercerai dah dengan Pak Cik sebab kecewa dengan dia. Dengan kata ‘nasihat’ orang luar yang tak putus suruh tinggalkan dia. Pak Cik memang jauh dari impian Acik. Tapi lepas acik dengar cerita Ustaz tu, Acik lebih tenang. Acik redha.”

Memang betul suami Acik tu orang selalu umpat dia, tak solat, asyik melepak kedai kopi, mata tak jaga. Tapi dia tak jahat dengan Acik. Kalau Acik nak pergi kelas mengaji dia hantarkan, jalan naik kereta dia buka channel radio agama yang Acik suka, telekung Acik dia selalu belikan baru. Benda-benda macam ni buat Acik semangat nak bangun malam doakan hidayah untuk dia.”

Dia antara rahmat Tuhan pada Acik. Mungkin kalau Acik tak kahwin dengan dia, Acik pun takkan buat u-turn macam ni

..”

Berkat Kesabaran Doa Isteri Yang Baik

MasyaAllah. Sentap sangat saya pada waktu itu. Terasa jahatnya saya menilai orang sesuka hati begitu. Mungkin juga si suami yang tidak soleh tadi juga sedang slow-slow mahu berubah jadi lebih baik atas kesabaran dan doa si isteri.

Bukan kita tidak pernah jumpa isteri yang rasa bongkak sebab merasakan suami dia sangat baik, asyik memuji-muji suami. Kadang tidak perasan, bila kita asyik membesarkan makhluk, kita jadi kurang membesarkan Allah.

Bila suami baik sangat, ada masalah sahaja terus cari suami dahulu, tak cari Allah pun. Rupanya dalam situasi begini, boleh jadi suami tadi ‘musibah’ pula kerana menjadikan kita jauh dari Allah. Allahuakbar.

Rumah Tangga Sebenarnya Sangat ‘Complicated’

Alhamdulillah setelah bernikah. Saya akhirnya faham, memang betul, rumahtangga ini memang sangat ‘complicated’. Tak semudah dengar cerita sekerat-kerat, kita dah boleh ‘judge’ begitu begini.

Sebagai orang luar, bukan kapasiti kita untuk memaksa seorang isteri untuk melepaskan jalan syurgaNya melalui suaminya.

Ada orang bersabar dengan suaminya, tapi kita ‘bodoh-bodoh’kan dia hanya kerana dia memilih untuk bersabar. Sedangkan mungkin padanya di situ doa dan harapannya untuk masuk syurgaNya. Sedangkan kita tidak tahu apa doa dan harapnya kepada Allah dalam setiap sujud, saat kita tidur berdengkur di sisi suami yang boleh kira berapa kali bangun bertahajud. Allahu, astaghfirullah.

Seperti titipan butir pesan Rasulullah SAW;
Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Baca sini : Hati isteri itu lembut, sebab tu dia mampu bersabar, masih bertahan

Mentaati Suami Itu Hal Yang Paling Sukar

Siapa yang bergelar isteri, tentu mereka akan tahu, syarat yang keempat, iaitu mentaati seorang suami itulah hal yang paling sukar sekali.

Namun, wahai isteri, apabila kita memandang suami itu adalah dari Allah, ujian Allah untuk menguji keimanan kita – bahawa Allah yang Menguji kita, mudah-mudahan hati kita akan lebih lapang dan tenang.

Berdoalah agar Allah mempermudahkan kita meraih syurga sebagai isteri, serta harapan bahawa Allah akan membalas segala kesusahan, kesabaran dan pengorbanan kita sebagai isteri rumahtangga dengan sebaik-baik balasan kelak di akhirat, insyaAllah.

Pesanan untuk diri sendiri yang paling perlu selalu diingatkan.

P/S : Bersabar dengan suami yang dimaksudkan di atas TIDAK TERMASUK untuk suami yang mendera mental, fizikal, tidak memberi nafkah, terlibat dadah, sumbang mahram, berzina (dikhuatiri terkena penyakit AIDS), dan hal-hal yang menzalimi hak isteri dan anak-anak. Wallahu ‘alam.

Mingguan Wanita : Selalunya kemanisan itu tetap ada di penghujung jalan cerita.

Sumber/Foto : Intan Dzulkefli

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Netty Ah Hiyer