Ujian bagi seorang isteri apabila ditakdirkan mengahwini suami yang tak soleh, culas bab urusan agamanya. Semakin hari, semakin menjerut perasaan. Nak ditelan mati emak, nak diluah mati bapak.
Hebat sekali ujiannya. Tentunya semakin lama, hati isteri mula bergolak juga. Bagaimana mahu bertahan dengan suami sebegini. Mampukan diri berdamai dengan takdir yang tuhan tetapkan.
Hadamkan perkongsian Intan Dzulkefli bila mana isteri ditakdirkan bertemu suami yang tidak soleh.
Andai Ditakdir Bertemu Suami Yang Tak Soleh
Kesolehahan isteri takkan tercela sedikit pun andai suaminya tidak soleh.
Bukan semua wanita yang baik budi dikurniakan suami yang soleh. Begitu jugalah sebaliknya. Pasangan bukanlah sekadar anugerah. Bahkan juga amanah dan ujian.
Seorang isteri, dia menutup aurat, akhlaknya molek, lisannya selalu terjaga, amal ibadahnya dijaga.
Namun, suaminya pula tak solat, mata keranjang, suka memaki-mencarut, suka stalk aurat wanita di media sosial.
Orang akan kata, “kesian isteri, malu dapat suami macam tu.”
“isteri punya baik, suami macam tu…”
Memanglah perbuatan suami seolah menjatuhkan maruah si isteri yang solehah tadi, tetapi adakah Kesolehahannya tercela?
Tentu tidak.
Isteri Sangat Baik, Sifat Suami Sebaliknya
Dulu waktu saya bujang, saya pernah bertanya pada wanita yang sangat baik yang suaminya kita lihat sifatnya kontra sangat dengan isterinya.
Ads
“Macam mana nak bersabar dengan suami yang tak soleh ya?”
Dia senyum seperti faham ‘makna tersirat’ soalan saya itu.
“Dulu Acik pun selalu ingat kalau Pak Imam jodohnya mesti ustazah, macam susah nak terima kalau Pak Imam tiba-tiba isteri jenis merayap dengan tak tutup aurat semua tu kan. Acik pun macam awak juga dulu, sampai acik jumpa seorang lelaki yang orang kata memang idaman para isteri, tapi isterinya jenis…” dia terhenti kata.
“Tak solehah?” teka saya cuba menyambung.
Dia tersengih.
“Tapi dalam ceramah, dia cakap, sebenarnya dia jadi sabar, baik, seperti yang orang kata dan sangka itu sebab isteri dia yang orang nampak tak solehah tulah. Setiap kali isteri dia degil, dia up lagi sabar dia. Kalau dulu jarang solat hajat, solat taubat, sekarang tak pernah missed sebab DIA TAKUT SEBAB DOSA DIA, isteri dia masih tak dapat hidayah Allah.”
MasyaAllah.
Hampir Bercerai Dengan Suami Kerana Kecewa
“Sebelum tu Acik pun hampir nak bercerai dah dengan Pak Cik sebab kecewa dengan dia. Dengan kata ‘nasihat’ orang luar yang tak putus suruh tinggalkan dia. Pak Cik memang jauh dari impian Acik. Tapi lepas acik dengar cerita Ustaz tu, Acik lebih tenang. Acik redha.”
Ads
“Memang betul suami Acik tu orang selalu umpat dia, tak solat, asyik melepak kedai kopi, mata tak jaga. Tapi dia tak jahat dengan Acik. Kalau Acik nak pergi kelas mengaji dia hantarkan, jalan naik kereta dia buka channel radio agama yang Acik suka, telekung Acik dia selalu belikan baru. Benda-benda macam ni buat Acik semangat nak bangun malam doakan hidayah untuk dia.”
“Dia antara rahmat Tuhan pada Acik. Mungkin kalau Acik tak kahwin dengan dia, Acik pun takkan buat u-turn macam ni..”
Berkat Kesabaran Doa Isteri Yang Baik
MasyaAllah. Sentap sangat saya pada waktu itu. Terasa jahatnya saya menilai orang sesuka hati begitu. Mungkin juga si suami yang tidak soleh tadi juga sedang slow-slow mahu berubah jadi lebih baik atas kesabaran dan doa si isteri.
Bukan kita tidak pernah jumpa isteri yang rasa bongkak sebab merasakan suami dia sangat baik, asyik memuji-muji suami. Kadang tidak perasan, bila kita asyik membesarkan makhluk, kita jadi kurang membesarkan Allah.
Bila suami baik sangat, ada masalah sahaja terus cari suami dahulu, tak cari Allah pun. Rupanya dalam situasi begini, boleh jadi suami tadi ‘musibah’ pula kerana menjadikan kita jauh dari Allah. Allahuakbar.
Rumah Tangga Sebenarnya Sangat ‘Complicated’
Alhamdulillah setelah bernikah. Saya akhirnya faham, memang betul, rumahtangga ini memang sangat ‘complicated’. Tak semudah dengar cerita sekerat-kerat, kita dah boleh ‘judge’ begitu begini.
Sebagai orang luar, bukan kapasiti kita untuk memaksa seorang isteri untuk melepaskan jalan syurgaNya melalui suaminya.
Ads
Ada orang bersabar dengan suaminya, tapi kita ‘bodoh-bodoh’kan dia hanya kerana dia memilih untuk bersabar. Sedangkan mungkin padanya di situ doa dan harapannya untuk masuk syurgaNya. Sedangkan kita tidak tahu apa doa dan harapnya kepada Allah dalam setiap sujud, saat kita tidur berdengkur di sisi suami yang boleh kira berapa kali bangun bertahajud. Allahu, astaghfirullah.
Seperti titipan butir pesan Rasulullah SAW;
“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Siapa yang bergelar isteri, tentu mereka akan tahu, syarat yang keempat, iaitu mentaati seorang suami itulah hal yang paling sukar sekali.
Namun, wahai isteri, apabila kita memandang suami itu adalah dari Allah, ujian Allah untuk menguji keimanan kita – bahawa Allah yang Menguji kita, mudah-mudahan hati kita akan lebih lapang dan tenang.
Berdoalah agar Allah mempermudahkan kita meraih syurga sebagai isteri, serta harapan bahawa Allah akan membalas segala kesusahan, kesabaran dan pengorbanan kita sebagai isteri rumahtangga dengan sebaik-baik balasan kelak di akhirat, insyaAllah.
Pesanan untuk diri sendiri yang paling perlu selalu diingatkan.
P/S : Bersabar dengan suami yang dimaksudkan di atas TIDAK TERMASUK untuk suami yang mendera mental, fizikal, tidak memberi nafkah, terlibat dadah, sumbang mahram, berzina (dikhuatiri terkena penyakit AIDS), dan hal-hal yang menzalimi hak isteri dan anak-anak. Wallahu ‘alam.
Mingguan Wanita : Selalunya kemanisan itu tetap ada di penghujung jalan cerita.
Tak susah sebenarnya, para suami nak hiburkan dan bahagiakan hati isteri yang dah bertungkus lumus berkhidmat untuk keluarga. Isteri tak mengharapkan wang berjuta dan harta benda, cukup bagi dirinya memiliki suami yang memahami dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan.
Pasti bahagia rasa hati seorang isteri apabila membaca coretan yang dikongsikan oleh Abu Hurairah Asifa ini. Inilah sebenarnya antara tip mudah yang para suami boleh lakukan bagi menghiburkan dan membahagiakan hati para isteri.
Jemput baca perkongsian yang beliau kongsikan;
Bila hantar isteri setiap pagi ke tempat kerja, kadang rasa kesian sangat.Sepatutnya, bukan dia yang memikul tanggungjawab dan mencari rezeki ni.Tapi, isteri tetap mahu membantu meringankan beban dalam setiap usaha dan kerja hari-hari.
Kadang, melihat para isteri yang bekerja ni, yang sedari awal pagi bangun dan siapkan anak-anak, pastikan sarapan suami walau secawan kopi, petang pula berlari berhimpit dalam lrt, meredah hujan dan panas lagi,
Betapa kuatnya wanita hari ini hidup dan terus hidup lagi.
Maka, sebagai suami, ada cara untuk kita bantu dan hiburkan para isteri. Yang membuatkan mereka akan terus hidup dan akan membahagiakan diri serta anak-anak kita nanti.
Ini tipsnya.
1. Kadang kita takde duit minyak pergi kerja. Isteri faham tu. Dia akan tanya dan kadang akan hulurkan RM50 untuk kita.Ucapkan terima kasih dan bila kita ada lebihan rezeki, pulangkan semula duit isteri tu. Walau mereka tak minta, tapi moga dengan kita beri, rezeki kita akan berkat kembali.
2. Tengah sibuk, tengah serabut, tengah kelam kelibut, jangan minta isteri melayani kita. Buatkan air, tolong urutkan badan, tolong gembirakan, tolong puaskan kita. Tengok isteri penat baru balik kerja, anak tiba-tiba nak susu, kita bangunlah buatkan. Sibuk pagi-pagi, kita tolong isteri siapkan baju anak-anak ke taska dan sekolah.
3. Isteri kalau penat, semua benda dia nak marah. Semua benda dia nak baling. Semua benda dia nak hangin. Cara bantu mereka adalah dengan sabar. Diam je. Pergilah siram bunga ke, betulkan meja makan ke, suap anak biskut ke. Tapi kalau dia rimas dan suruh kita berhenti buat apa-apa, bertukarlah jadi tiang. Yang kekal tegak berdiri.
4. Kalau isteri tunjuk bil, bagitahu perbelanjaan dan kewangan, itu yang paling isteri risau dan pening. Kalau kita tak mampu bantu, kita dengar dan bagi idea dan ingatkan isteri, tentang rezeki yang Allah nak beri. Kuatkan keyakinan dia. Ajak isteri berusaha lagi dan kita akan terus kuat untuk rumahtangga ini.
5. Hiburan isteri, satu sahaja dalam hidup ni. Suami! Ya! Suami adalah hiburan utama pada isteri. Kita kalau tidak menjadi sumber hiburan isteri, maka isteri akan mencari hiburan yang lain. Maka, hiburkanlah isteri. Jadilah seorang penyanyi. Seorang pelawak. Seorang penyair. Seorang penjual shawl.
6. Kalau isteri penat, peluklah dia. Letakkan bahu supaya dia boleh bersandar. Doakan isteri kita. Selawat dan ciumlah dahinya. Kita pun bukan suami romantik sangat, tapi apa yang kita buat ni, demi amanah yang Allah beri.
Hari ni,kita sebagai suami dan isteri, bukan lagi pasangan yang biasa.Kita di uji dan di sakiti hari-hari. Dengan tekanan dan sara hidup yang gila, dengan ujian di tempat kerja, soal anak yang hari-hari menambah sakit kepala, dan soal pasangan kita yang berubah dan menyakiti hati dengan sikapnya.
Jadi, apakah jalan keluarnya?
Apa sikap dan cara kita mendepaninya?
Hanya dengan kembali menjadi hamba. Hamba yang banyak memberi dari meminta. Yang terus berjuang dari mengeluarkan pedang dan ajak berperang.
Rumahtangga itu tempat untuk kita mengusahakan bahagia.
Panggillah Allah membela rumahtangga kita.
Panggillah Rasulullah memberkati rumahtangga kita.
Ingatlah, dosa kita, yang menjarakkan kita.
Dosa itu, lebih besar dari salah dan silap pasangan kita.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.Para suami boleh lah amalkan tip yang dikongsikan ini demi bahagiakan para suri hati.
Sama ada mak ayah suka atau tak, inilah realiti kehidupan anak-anak yang bersekolah. Sebaik celik mata jam 6 pagi, mereka tak berehat sampailah berakhirnya jam 6 petang hari itu.
Kerana pada sebelah pagi perlu bersekolah rendah, dan terkejar-kejar ke sekolah agama. Nampak tak betapa anak kita juga penat. Mak ayah yang rutinnya ambil anak-anak di sekolah juga penat.
Namun, inilah rutin yang perlu dihadapi agar anak-anak dan mak ayah diberikan kekuatan jiwa dan kekentalan hati hadapi setiap ujian tuhan. Inilah perjalanan hati yang dilalui oleh Akhtar Syamir, seorang bapa yang dikenali netizen dengan nama Bro Ohsem.
Apabila anak sulungnya memasuki alam sekolah rendah. Catatan ini menyedarkan kita agar belajar bertenang-tenang saja hadapi karenah anak-anak. Bersabarlah wahai mak ayah, kerana anak-anak juga melalui situasi stress sama seperti kita. Malah lebih dahsyat lagi dalam usia kecilnya itu.
Kakak Menangis-Batuk Sampai Muntah
Anakku Nursyuhada Safiyya Jasmine. Nanti dah besar, kalau ada kesempatan, baca luahan hati papa ni ya.
04 Januari 2018
Pagi tadi masa kakak Jasmine tak nak bangun mandi, papa dah risau. Mesti kakak mengantuk lagi. Walaupun kakak tidur pukul 10 malam semalam, papa faham kakak penat dengan sekolah dua sesi.
Kakak perlu bangun seawal pukul 6. Pukul 6.55 dah kena naik van ke sekolah KAFA. Habis KAFA pukul 10.30, kakak akan naik van balik ke rumah. Sampai rumah dalam hampir pukul 11 pagi.
Kakak akan dapat rehat sekejap dan makan tengahari yang mama masakkan. Pukul 12 kakak kena mula bersiap sebab van sampai pukul 12.30 untuk ke sekolah kebangsaan.
Kakak sampai sekolah dalam pukul 1 tengah hari dan akan habis pukul 6.15 petang. Papa dapat bayangkan minggu pertama ni kakak mesti takut, kakak mesti rindu kat papa dengan mama.
Sebabnya masa hari pertama sekolah, masa nampak papa dengan mama dekat pagar sekolah, kakak nangis sebab rindu kat kami. Papa bangga kakak dapat tahan ketakutan dan kerinduan kakak sampai habis waktu sekolah.
Rupanya Papa Silap
Hari kedua ke sekolah tanpa sebarang insiden. Semuanya berjalan lancar. Papa bayangkan yang kakak dah biasa dengan rutin persekolahan. Tapi papa silap.
Hari ketiga kakak lambat bangun tidur. Kakak mengantuk. Selepas berkali – kali kejut baru kakak mandi. Mama ada buatkan milo untuk kakak.
Pagi-pagi mama dah bangun siapkan sarapan dan bekal untuk kakak bawa pergi sekolah. Mama kecewa kakak tak nak habiskan Milo tu. Nasib baik papa dapat pujuk kakak supaya habiskan.
Bila nak turun ke bawah untuk tunggu van datang, kakak pegang tangan papa dengan kuat. Papa tau kakak mesti nak nangis ni.
Papa mengaku yang papa memang manjakan kakak. Jarang sangat papa marah kakak sebab papa tau kakak macam mama juga, hatinya lembut sangat. Mudah tersentuh dan sangat – sangat manja.
Kecewanya Papa Masa Itu
Bila van dah sampai, makin kuat kakak pegang papa. Lepas tu kakak nangis. Kakak cakap kakak rindukan papa. Alahai.. Papa rasa nak nangis sekali tadi tau.
Papa peluk kakak rapat – rapat. Papa pujuk kakak baik – baik. Papa letakkan kakak kat tempat duduk dalam van. Tapi kakak terus sedih sampai terbatuk – batuk.
Kakak kalau batuk – batuk memang akan termuntah. Papa dah cuba tahan tapi habis air Milo tadi terkeluar. Kotor terus tudung, baju dan kain sekolah kakak.
Kecewanya papa masa tu. Tapi papa kesian sangat kat kakak. Papa pun bawak kakak naik untuk tukar baju semua.
Sampai kat atas, papa cuba untuk tahan marah. Tapi kakak terus merengek. Papa terpaksa tinggikan suara supaya kakak tau apa yang kakak buat ni tak betul. Papa mintak maaf.
Papa dah terlambat nak pergi kerja. Mama pun terpaksa gosok baju dan kain sekolah yang lain. Bila kakak cakap “janganlah marah comey”, dalam hati papa meraung kuat – kuat tapi papa peluk kakak sebagai tanda maaf.
Papa nak kakak kuat. Sebab papa sebenarnya tak kuat pun. Papa terpaksa je berlakon kuat. Papa tak boleh tengok kakak nangis. Hati papa jadi kecik sangat.
Besar Nanti Jadilah Anak Yang Baik
Dalam perjalanan tadi kita lalu Pre School kakak. Kakak sempat tengok dan cakap “sekolah comey dah bukak dah pa”. Papa cakap tu bukan sekolah comey dah. Kakak jawab perlahan “tau…”. Papa nangis lagi masa taip nie.
Masa papa hantar kakak tadi papa pimpin kakak masuk dalam sekolah sebab kakak kata tak hafal lagi macam mana nak pergi kelas. Kakak genggam jari papa kuat.
Sampai kat tangga papa bagitau macam mana nak pergi kelas. Lepas kakak salam cium tangan papa, papa pun cium dahi kakak, papa tengok kakak pergi. Lepas tu kakak patah balik untuk peluk papa.
Ya Allah, papa nak nangis sangat tapi papa tahan. Masa taip nie pun air mata papa mengalir teringatkan keadaan tadi. Papa tengok kakak naik tangga sambil diasak – asak oleh budak lain yang lebih aktif. Sebak sangat rasanya.
Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah anakku kekuatan untuk menjalani kehidupannya. Sesungguhnya aku terlalu lemah.
Papa dengan mama sayang kakak sangat – sangat tau. Kakak besar nanti jadi insan yang baik ye. Kalau kakak tak dapat cemerlang dalam pelajaran pun takpe. Papa tak marah. Kakak cuba je yang terbaik. We will always love u comey.
BroOhsem – Budak umur 7 tahun bersekolah selama 8 jam sehari. Tak termasuk masa ulang alik ke sekolah. Macam masa bekerja dah. Adakah saya tersilap? Saya betul – betul rasa tak adil bagi budak untuk alami stress sebegini.
Bila bergelar isteri, banyak perkara perlu dikorbankan termasuklah kehidupan bersama rakan-rakan dan hobi. Tidak lagi boleh bebas seperti zaman bujang dulu. Rasanya ramai isteri yang bersetuju dengan kenyataan ini.
Berbanding dengan suami yang biasanya masih boleh meneruskan hobi mereka. Masih ada masa untuk minum kopi dengan rakan-rakan (walau bukan selalu).
Bila Fokus Pada Keluarga
Bila sudah bergelar mak, fokus isteri 100% kepada anak-anak terutamanya. Apatah lagi punya anak ramai hinggakan sebahagian besar hidup ditumpahkan menjaga anak-anak.
Bagi yang berkerjaya, balik kerja, anak-anak jadi keutamaan. Kalau hendak ‘outing’ pun mesti bersama suami dan anak-anak. Kecuali andai memiliki suami yang sporting dan memahami. Membenarkan sesekali isteri ber’me time’ dan melakukan apa yang disukai tanpa perlu fikirkan anak-anak sekejap. Tapi ramaikah suami yang begitu?
Banyak Korban Perasaan
Memang suami pun ada berkorban perasaan namun rasanya isteri lebih banyak memendam rasa. Dapat pula yang suami yang ‘bossy’ dan suka kita ikut kehendak dia saja. Tak pernah nak faham kepenatan isteri.
Bayangkan, anak-anak masih kecil dan perlu dibantu urus. Isteri bekerja dan suami pula wajibkan isteri untuk masak dan tak nak beli makanan di luar. Walau isteri merungut sangat penat dan minta izin beli saja makan malam untuk hari itu, tapi suami bertegas nak isteri balik masak. Alasan, tekak dia tak boleh terima makanan luar.
Tak Bantu Isteri
Okay tak kisah bila nak minta isteri masak. Tapi sikapnya yang langsung tak membantu memang buat isteri stres. Bila isteri sibuk di dapur, anak nak buang air pun isteri yang kena uruskan juga. Suami hanya duduk layan handphone! Patut tak? Bila isteri bersuara, kena marah dan bergaduh. Akhirnya isteri pendamkan saja.
Sebenarnya banyak sebab boleh sebab isteri stres dan kecewa namun memilih untuk memendam rasa saja.
Isteri bukan tak nak terus terang, tapi akhirnya bertengkar pula. Dah kalau macam itu yang jadi, lebih baik senyap saja. Apa tak puas hati sekali pun, tak payah nak beritahu suami. Kena bersabar sahaja dengan sikap mereka itu walau pun dah bertahun-tahun kahwin.
Ego suami kadangkala yang ‘melangit’ buatkan mereka susah nak dengar pendapat dan teguran isteri. Bagi mereka, isteri yang kena patuh dan dengar cakap mereka. Mereka yang serba serbi betul. Tapi, bagi suami yang boleh terima, tahniah! Memang suami hebat!
Sabar Akhirnya Jadi Benci
Yang ditakuti, akibat terlalu sabar, isteri akan timbul rasa menyampah dan akhirnya benci! Aduh! Itu yang bahaya.
Kena ingat, tahap kesabaran manusia ini ada hadnya. Bila dah ‘over limit’ segala kemungkinan akan berlaku. Jangan terkejut kalau isteri tiba-tiba akan bertindak di luar dugaan. Itu tandanya mereka dah tak mampu lagi nak bendung kesabaran akibat sikap suami.
Jaga Komunikasi
Oleh sebab itu, sebaiknya kena terapkan komunikasi dalam hubungan. Walau pun tiap kali berterus terang akan ketidakpuasan hati masing-masing, akan timbul pergaduhan, tak apa. Hadap saja. Tapi sekurang-kurangnya kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Jadi, beban emosi akan mereda.
Memang sukar nak harapkan seseorang itu berubah tapi teruskan berdoa. Tapi untuk diri sendiri, jangan memendam. Luahkan saja. Lebih banyak buruk bila memendam. Nanti diri sendiri yang stres. Ingat ye, setiap insan punya hak untuk bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...