Kekeluargaan

Suami Yang Guna Dobi Layan Diri, Tutuplah Aib Pakaian Isteri

Share

Ramai yang menggunakan perkhidmatan dobi layan diri. Selalunya para suamilah yang kerap menggunakan dobi layan diri. Ramai suami sudah ada kesedaran untuk membantu isteri mencuci dan menguruskan pakaian keluarga.

Apabila kerap menggunakan khidmat dobi layan diri, para suami harus tahu betapa pentingnya menjaga dan tidak mendedahkan pakaian dalam ahli keluarga terutama isteri sesuka hati ketika mencuci.

Kadangkala dalam tak sedar, terlepas juga seketul dua. Memanglah isteri tiada di situ tapi maruahnya tetap perlu dijaga. Hadamkan perkongsian Zulkifli Che Noh ini. Betapa pentingnya hal semudah ini untuk diambil cakna.

Cuci Pakaian Isteri Di Dobi Layan Diri

Selaku pengguna dobi layan diri yang tegar, hampir setiap tiga hari saya akan menghantar pakaian untuk dikeringkan. Tambahan pula jika musim hujan.

Kadangkala, setelah memasukkan pakaian ke dalam mesin pengering, terpaksa berkejar menyelesaikan urusan yang lain.

Bila terlambat, pakaian sudah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bakul yang disediakan atau dilambakkan sahaja di atas meja.

Maka, semua jenis pakaian yang telah kering, kini terdedah kepada pandangan umum. Pakaian malam, seluar kecil dan pakaian peribadi pelbagai warna, corak dan saiz terdampar silu.

Teringat lagi bebelan emak ketika disuruh menyidai pakaian di ampaian. “Kain pelikat, baju dan seluar abah disangkut di bahagian paling luar. Diikuti pakaian emak dan adik beradik perempuan. Pakaian ‘dalam’ disidai di sebelah paling dalam. Malu nanti orang lihat!”

Begitulah sensitiviti emak-emak kita suatu ketika dahulu dalam menjaga maruah dan kehormatan. Adab sopan sebegini diterap menjadi nilai pegangan sehingga dewasa.

KERANA ITULAH, TERASA MALU SANGAT APABILA PAKAIAN YANG TIDAK SEPATUTNYA DILIHAT, TERDEDAH KEPADA UMUM.

Ini Sebaiknya Yang Suami Perlu Buat

Memikirkan hal yang demikian, saya mengambil keputusan tidak mengeringkan pakaian ‘dalam’ terutama milik isteri di kedai dobi layan diri. Kecuali saya akan menunggu sehingga pakaian tersebut kering.

Ketika proses memasukkan pakaian tersebut ke dalam bakul, pakaian ‘dalam’ akan dimasukkan di bahagian bawah dan diselimuti kain atau baju.

Selain untuk menjaga daripada pandangan umum, pakaian ‘dalam’ juga harus diberi perhatian yang khusus. Elakkan daripada meletakkan secara sambilewa kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman yang membawa kepada penyakit kulit.

Elakkan Daripada Mengundang Fitnah

Islam agama yang sangat mementingkan penjagaan maruah dan kehormatan. Setiap perkara yang mengundang ‘fitnah’ wajib dibendung bermula daripada puncanya.

Ia memberi keselesaan kepada pemilik pakaian dan juga pengguna-pengguna yang lain. Paling penting, ia dapat menyelamatkan maruah isteri dan anak perempuan kita dari pandangan manusia yang mempunyai penyakit hati.

Sabda Rasulullah, “ … jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.”

Sumber: Zulkifli Che Noh

Artikel berkaitan: Isteri Patut Beri Peluang Kedua Atau ‘Tak Payah’ Bila Suami Kantoi Curang

Isteri Yang Bakal Hidup Bermadu, Ini Tip & Panduan Yang Perlu Dihadam

Isteri Masaklah Walau Seminggu Sekali, Berbunga-bunga Hati Suami Makan Hasil Air Tanganmu

 

Published by
Has