kecantikan isteri

Asyik fokus kecantikan luaran isteri, akhirnya bila dah berumur cinta makin pudar cuma sebab nampak perempuan lain lagi melawa. Malang sungguh jika suami atau isteri tidak bijak memahami keperluan batin pasangan setelah mereka sama-sama lagi tidak muda.

Keperluan batin bukan soal hubungan intim semata-mata, tapi lebih kepada sentuhan melembutkan emosi, mengawal stres, mengisi hati dengan ikhlas, reda dan sabar secara berdua-duaan.

Jika hanya satu pihak saja yang buat perkara itu sedangkan pasangan tak peduli akan tercetuslah ketempangan dalam berkomunikasi.

Apakah faktor-faktor kesilapan suami isteri dalam memenuhi keperluan batin pasangannya?

1. Tak sabar mahu pasangan berubah

Kadang-kadang rezeki kita berjodoh dengan pasangan yang lemah iman, lemah semangat, tak berapa cerdik, tak bersungguh-sungguh dalam memenuhi kewajipan, ini suatu ujian bagi isteri yang mahukan suaminya berperanan sebagai pemimpin dalam keluarga. Namun menanam iman dan nilai-nilai positif bukan kerja sehari dua menanam terus tumbuh menjadi pokok, perlukan usaha yang berterusan sepanjang hayat kita.

Suami pula ada yang berperangai suka mengancam isteri yang tak berapa pandai dan lembap dengan ancaman akan dimadukan dengan perempuan yang lebih baik daripadanya, begitukah didikan yang sesuai syariah sedangkan Al-Quran menyeru untuk banyak memaafkan kesilapan pasangan:

Ads

“Kemudian jika kalian tidak menyukai mereka maka bersabarlah kerana mungkin kalian tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah al-Nisa ayat: 19)

2. Tak peduli kecantikan dalaman

Wanita semakin cantik apabila sudah matang dengan pengalaman hidup. Kedewasaan dan kebijaksanaannya semakin terserlah, emosinya stabil dan gaya berbicara dan berfikirnya semakin positif.

Inilah yang amat diidamkan suami-suami yang banyak kerenah, semakin tua semakin manja, bergantung kasih sayang pada isteri. Ramai wanita berusia tak perasan realiti sebenar yang suami perlukan pada diri mereka. Suami amat mementingkan kecantikan dalaman kerana luaran tak begitu penting lagi setelah isteri mengalami perubahan fizikal sesuai fitrahnya.

Suami perlukan teman berbual atau sekadar menemaninya bercerita tentang keluh kesahnya. Suami juga perlu orang yang sedia menampung segala keluhannya, mendengar dan memahami kesedihannya sebagaimana isteri. Tetapi malang isteri sibuk menguruskan kerja-kerja yang sebenarnya boleh ditangguhkan dulu setelah keperluan suami ditunaikan.

Ads

Semasa di rumah ramai isteri abaikan suami, begitu juga suami tak sedar telah abaikan isteri! Tidak hidup suasana meraikan kebersamaan seperti zaman pengantin baru dulu, masa yang terhad tidak digunakan untuk berkomunikasi secara positif, tiada sentuhan fizikal dan emosi. Layanan penuh empati amat diperlukan, ini menambah cantik dan segak seseorang di mata pasangannya walaupun usia sudah meningkat tua.

Allah berfirman: “Maka disebabkan rahmat Allah, engkau (Muhammad) berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau berlaku kasar dan berkeras hati sudah tentu mereka menjauhkan diri darimu, kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah keampunan untuk mereka.” (Surah al-Imran ayat: 159)

3. Tak sensitif

Ramai yang berputus asa daripada pasangan disebabkan kesilapan yang berulang-ulang dilakukan. Biasanya ini membabitkan etika dan akhlak yang tak mampu diperbaiki atau mungkin tak mahu diperbaiki. Kesilapan seharusnya membuat kita lebih bijak, hadir sebagai peringatan dan amaran yang harus kita hindari di kemudian hari.

Jangan tunggu isteri merajuk baru nak berubah, kemudian ulangi lagi. Pelik sungguh orang yang tak tahu kenapa suami dia merajuk, tak faham apa silap dirinya sehingga suami beralih hati. Seharusnya suami dan isteri mudah membaca gerak hati dan tubuh pasangan masing-masing.

Ads

Mereka yang intim dan serasi memang memiliki kepekaan yang kuat satu sama lain. Pendengaran dan penciuman suami amat sensitif terhadap gerak geri isterinya sebagaimana penglihatan dan perasaan isteri amat sensitif terhadap suaminya.

Jika telah hilang rasa deria pada diri masing-masing sungguh ia suatu petanda awal yang hubungan mereka bermasalah. Merasai apa yang dirasai pasangan adalah bentuk layanan batin tingkat tertinggi yang susah diamalkan bagi insan yang egonya melebihi imannya.

Sila sensitif bila suami marah jangan buat tak tahu, jika isteri mengomel jangan abaikan omelannya. Jadilah pasangan yang bukan hanya mahu bersama saat bergembira tapi mahu juga menggalas beban duka yang sama. Layan emosi pasangan dengan hati yang mengharapkan pahala. Tak mungkin seseorang boleh bersabar dengan kerenah pasangannya padahal dia sedang tertekan jika tidak kerana Allah.

Itulah tiga faktor yang menyumbang pada kegagalan menunaikan layanan batin terhadap pasangan, bukan mudah untuk memperbaiki diri kecuali bagi suami isteri yang cekal iman.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI