Suami memang sepatutnya membantu isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Namun masih ramai yang tak mahu. Alasannya, itu tugas isteri. Lagi pula malu kalau orang tengok.
Kes 1: Amin membantu isterinya mengambil pakaian yang telah pun kering di jemuran. Tindakan Amin disedari oleh jirannya, Amran lalu ditegur: “Amin! Kau ni memang dah kena kontrol dengan bini kau ni!” Amin cuma tersengih.
Kes 2: Amran sedang berbual dengan Amin.Tiba-tiba isteri Amran menjerit: “Abang, cepatlah tengokkan anak tu. Nangis memekak je tu. Saya nak tengok tv pun tak senang.” Amran segera menyahut. “Ya, sayang!!” dan dijeling kepada Amin: “Aku sayang bini.” Amin tersengih lagi.
Saya akui, dua situasi kes di atas adalah kisah yang saya cipta sendiri tetapi adalah berdasarkan kisah benar yang pernah sampai ke pengetahuan saya. Malah saya yakin, anda juga pernah berdepan dengan kes-kes sebegini. Persoalannya; apa beza antara ‘queen control’ dengan ‘sayang bini’? Bolehkah wujud kes queen control dalam era teknologi serba canggih kini?
Ada Dua Kategori
Mudahnya, bila menyebut kalimah berhantu queen control, ramai yang membayangkan kes para suami melakukan kerja-kerja rumah, betul tak? Pengakuan daripada klien lelaki sendiri; “Bukan tak nak bantu isteri buat kerja rumah tapi tak nak nanti dikatakan di’control’ oleh isteri.” Ada juga ibu mentua yang melarang anak lelakinya membantu isteri melakukan kerja rumah sebab katanya: “Tak nak menantu kontrol anak lelakinya.”
Terdapat dua jenis wanita queen control iaitu queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga, atau queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga. Kes pertama yang saya kongsikan ialah kategori queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga; sementara kes kedua pula queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.
Hakikat sebenarnya, kes pertama lebih kepada bukti suami sayang isteri malah suami jenis ini ialah yang melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w membantu isteri baginda dalam melakukan kerja di rumah. Diriwayatkan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi s.a.w kerjakan di rumah?” Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang, bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” – hadis riwayat Al-Bukhari.
Berusaha Jadi Suami Terbaik
Jelas sekali, suami yang membantu kerja rumah tangga bukanlah suami yang dikawal oleh isterinya sebaliknya mereka ialah suami yang benar-benar faham erti kasih sayang berumah tangga dan suami mithali yang berusaha menjadi suami terbaik seperti saranan Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” – hadis riwayat al-Tirmizi.
Namun, memang diakui masih ramai isteri yang bersikap queen control seperti kes kedua. Haa! Itu bukan kes sayang bini tapi takut bini! Kes-kes sebegini boleh wujud disebabkan beberapa sebab yang asasnya berpunca daripada lelaki:
1. Suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya.
2. Suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab tidak berulang lagi.
3. Suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal sepenuhnya oleh isterinya.
Baca artikel menarik lain di sini:
Walaupun Isu Kecil Rumah Tangga, Suami Isteri Kena Ambil Perhatian, Kena Sama Baiki
Terbawa-bawa
Daripada pemerhatian saya terhadap kes-kes queen control, sikap queen control di dalam rumah tangga kebanyakannya bermula sejak pra perkahwinan lagi. Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya.
Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki. Dengan kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.
Perkara paling penting, perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumah tangga. Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insya-Allah.
Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup dalam Majalah Mingguan Wanita.
Jangan lupa follow kami di:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI