Suami Tolong Buat Kerja Rumah Bukan Sebab ‘TAKUT BINI’ Tapi Kongsi Rasa Tanggungjawab

Share

Biasa kalau tengok suami buat kerja-kerja rumah, mulalah buat tafsiran, takut bini. Itulah yang selalu diperkatakan dan tak kurang juga jadi bahan usikan kawan-kawan, kononnya ‘beras kita beli’.

Bagi sesetengah pandangan lain pun, bila melihat suami membantu isteri membuat kerja rumah, ada yang merasa bangga dan beruntung. Bukan sebab takut bini tapi kerana ringan tulang membantu isteri membuat kerja-kerja rumah.

Buat suami, tak akan jatuh maruah atau orang akan gelar ‘takut bini’ kalau membantu membuat kerja-kerja rumah. Inilah yang dikatakan saling membantu dan berkongsi rasa tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga.

Tidaklah suami hanya harapkan isteri semata-mata dalam mebuat kerja rumah. Sedangkan isteri pun turut sama membantu suami dalam meringankan beban suami.

Inilah antara perkongsian daripada Firdaus Mokhtar tentang apa yang dilalui dan pengalaman melihat sendiri ayahnya membantu ibunya membuat kerja rumah. Pengajaran yang boleh diserapkan apabila sudah berkahwin. Berkongsi rasa dan tanggungjawab.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: 12 Cara Paling Mudah Bantu Isteri, Suami Cuci Pinggan Sendiri Salah Satunya

Bantu Isteri Buat Kerja Rumah, Tidaklah Dianggap Menjatuhkan Martabat Suami Pun!

Info Lebih Lanjut DI SINI

Bukan Takut Bini Tapi Berkongsi Rasa

Dulu masa kecil, saya selalu tertanya-tanya kenapa abah selalu buat kerja rumah. Antara yang selalu abah buat ialah basuh kain. Dia akan basuh semua kain baju dan sidai siap.

Walau pun basuh guna mesin basuh, tapi mesin basuh yang semi auto tu. Bukan macam kita sekarang, automatik penuh. Masukkan baju, letak sabun, mulakan mesin tahu-tahu sudah sahaja nanti.

Mesin semi auto ni kena bilas kainnya. Dah siap basuh, keluarkan air basuhan, bilas satu satu baju yang dibasuh, masukkan ke bahagian spin untuk keringkan. Begitulah selalu saya tengok abah buat.

Ada juga banyak waktu lain, saya tengok abah vakum rumah. Daripada bilik tidur utama, membawa pula ke bilik anak-anak, ke bilik tetamu juga, sudahnya di ruang tamu yang besar.

Basuh pinggan dan kemas dapur juga selalu abah buat. Cuma masak sahaja tak selalu, mungkin tak mahir ke situ. Tapi kerja rumah lain, banyak kali saya tengok abah buat.

Dan setiap kali abah buat tu, bukannya waktu ummi bekerja. Waktu yang sama ummi ada di rumah. Tapi ummi pastinya sedang buat kerja lain lah.

Abah sedang basuh kain baju, ummi memasak. Abah asyik vakum rumah, ummi sedang kemaskan almari baju kami adik-beradik lelaki ni. Entah macam mana berteraburnya.

Oh ya, abah dulu ada buat kolam ikan depan rumah. Itu semacam satu terapi buat dia. Tenang mungkin bila dengar bunyi air kolam dengan puluhan ikan koi yang berenang-renang tu kan.

Jadi ada masa kena bersihkan kolam pula.

Kerja Rumah Bukan Hanya Tugas Isteri

Saya pelik dulu sebab selalu dengar tugas buat kerja rumah ini tugas mak mak. Bukan kerja ayah ayah. Kalau ayah buat kerja macam-macam ni, sebab mak garang. Tapi saya diamkan sahaja.

Bila dah besar ini baru lah saya faham. Iya, bila dah berumah tangga ni. Rupanya bukanlah isu geng ayah takut geng mak.

Ingat, perkahwinan ini kuncinya ialah berkongsi. Berkongsi hati dan segalanya. Bila kita dah jadi suami isteri, semua benda kita kena kongsi antara suami dan isteri.

Kongsi perasaan, rasa, harta, duit, anak dan macam macam lagi. Antara yang utama, kongsi masa yang kita ada.

Berkongsi Rasa & Masa

Kawan-kawan, kita masing-masing cuma ada 24 sehari. Tak ada yang lebih. Jadi rumah tangga kita juga sama, cuma ada 24 jam sahaja.

Jadi 24 jam ini lah yang kita kongsi. Dulu abah dan ummi sama-sama kerja. Abah kerja waktu tetap, ummi kerja kilang jadi ada shift kerja. Maka berdepan masa kerja dan waktu duduk rumah inilah mereka berbahagi tugas.

Kalau harapkan seorang sahaja buat kerja rumah, mesti tak terkejar. Bayangkan kalau isteri seorang buat kerja rumah semua, suami asyik keluar melepak jumpa kawan-kawan. Balik harap semua benda selesai, tak jadi juga.

Hidup suami isteri dah tak boleh ada sikap ‘masa aku, aku yang susun. Masa kau, kau buat sendiri’. Sebab 24 jam itulah yang kita kongsi sama-sama.

Waktu di tempat kerja tak apa lah kita nak letak masa kita sendiri,  di rumah nanti kita kena letak masa itu kita dan pasangan kita yang punya. Tambahan pula masa dalam hari bekerja berapa jam sahaja kita ada di rumah dengan keluarga.

Tambah tolak waktu kerja dan tidur, mungkin tinggal 6-7 jam sahaja. Sedangkan tugasnya banyak. Nak kena masak, jaga anak, tengok anak belajar buat kerja sekolah, iron baju sekolah anak, waktu nak makan sama-sama, solat jemaah sama, tengok tv pula, anak kecil ajak main, baju nak kena basuh, mandi bersihkan diri, tidurkan anak-anak.
Banyak tak sebut lagi tu. Ini belum kita sebut kalau ada pasangan yang sedang demam. Sakit dan tak larat nak buat kerja.

Maka, berkongsilah masa yang ada. Kena ada timbang rasa dan tolak ansur. Kena susun mana keutamaan dalam masa-masa yang berbaki dalam sehari.

Kadang sebab tak dapat letak masa dengan betul, pasangan akan rasa kita tak ada dengan dia. Kita memang rasa ok sahaja, ada je dekat rumah. Tapi waktu waktu penting dan melelahkan dia tu, kita tak ada. Momen yang setengah jam itu dia akan rasakan semua kerja rumah dia buat.

Sebab apa? Kerana kita tak selalu ada untuk uruskan sedikit hal penting bersama dengan pasangan kita.

Begitulah.

Kongsi apa yang ada.

MW: Jadikan pengajaran agar dapat berkongsi rasa, masa dan tanggungjawab dengan pasangan kita. Moga bermanfaat.

Sumber: Firdaus Mokhtar

 

Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan

https://t.me/bangkitwanitaMW

Tudiaaaaaaa..antara webinar yang sedang berlangsung. Nak daftar sebagai peserta boleh ke toko.ideaktiv.com

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nora