Biasa kalau tengok suami buat kerja-kerja rumah, mulalah buat tafsiran, takut bini. Itulah yang selalu diperkatakan dan tak kurang juga jadi bahan usikan kawan-kawan, kononnya ‘beras kita beli’.
Bagi sesetengah pandangan lain pun, bila melihat suami membantu isteri membuat kerja rumah, ada yang merasa bangga dan beruntung. Bukan sebab takut bini tapi kerana ringan tulang membantu isteri membuat kerja-kerja rumah.
Buat suami, tak akan jatuh maruah atau orang akan gelar ‘takut bini’ kalau membantu membuat kerja-kerja rumah. Inilah yang dikatakan saling membantu dan berkongsi rasa tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga.
Tidaklah suami hanya harapkan isteri semata-mata dalam mebuat kerja rumah. Sedangkan isteri pun turut sama membantu suami dalam meringankan beban suami.
Inilah antara perkongsian daripada Firdaus Mokhtar tentang apa yang dilalui dan pengalaman melihat sendiri ayahnya membantu ibunya membuat kerja rumah. Pengajaran yang boleh diserapkan apabila sudah berkahwin. Berkongsi rasa dan tanggungjawab.
Dulu masa kecil, saya selalu tertanya-tanya kenapa abah selalu buat kerja rumah. Antara yang selalu abah buat ialah basuh kain. Dia akan basuh semua kain baju dan sidai siap.
Walau pun basuh guna mesin basuh, tapi mesin basuh yang semi auto tu. Bukan macam kita sekarang, automatik penuh. Masukkan baju, letak sabun, mulakan mesin tahu-tahu sudah sahaja nanti.
Mesin semi auto ni kena bilas kainnya. Dah siap basuh, keluarkan air basuhan, bilas satu satu baju yang dibasuh, masukkan ke bahagian spin untuk keringkan. Begitulah selalu saya tengok abah buat.
Ada juga banyak waktu lain, saya tengok abah vakum rumah. Daripada bilik tidur utama, membawa pula ke bilik anak-anak, ke bilik tetamu juga, sudahnya di ruang tamu yang besar.
Ads
Basuh pinggan dan kemas dapur juga selalu abah buat. Cuma masak sahaja tak selalu, mungkin tak mahir ke situ. Tapi kerja rumah lain, banyak kali saya tengok abah buat.
Dan setiap kali abah buat tu, bukannya waktu ummi bekerja. Waktu yang sama ummi ada di rumah. Tapi ummi pastinya sedang buat kerja lain lah.
Abah sedang basuh kain baju, ummi memasak. Abah asyik vakum rumah, ummi sedang kemaskan almari baju kami adik-beradik lelaki ni. Entah macam mana berteraburnya.
Oh ya, abah dulu ada buat kolam ikan depan rumah. Itu semacam satu terapi buat dia. Tenang mungkin bila dengar bunyi air kolam dengan puluhan ikan koi yang berenang-renang tu kan.
Jadi ada masa kena bersihkan kolam pula.
Kerja Rumah Bukan Hanya Tugas Isteri
Saya pelik dulu sebab selalu dengar tugas buat kerja rumah ini tugas mak mak. Bukan kerja ayah ayah. Kalau ayah buat kerja macam-macam ni, sebab mak garang. Tapi saya diamkan sahaja.
Bila dah besar ini baru lah saya faham. Iya, bila dah berumah tangga ni. Rupanya bukanlah isu geng ayah takut geng mak.
Ingat, perkahwinan ini kuncinya ialah berkongsi. Berkongsi hati dan segalanya. Bila kita dah jadi suami isteri, semua benda kita kena kongsi antara suami dan isteri.
Ads
Kongsi perasaan, rasa, harta, duit, anak dan macam macam lagi. Antara yang utama, kongsi masa yang kita ada.
Berkongsi Rasa & Masa
Kawan-kawan, kita masing-masing cuma ada 24 sehari. Tak ada yang lebih. Jadi rumah tangga kita juga sama, cuma ada 24 jam sahaja.
Jadi 24 jam ini lah yang kita kongsi. Dulu abah dan ummi sama-sama kerja. Abah kerja waktu tetap, ummi kerja kilang jadi ada shift kerja. Maka berdepan masa kerja dan waktu duduk rumah inilah mereka berbahagi tugas.
Kalau harapkan seorang sahaja buat kerja rumah, mesti tak terkejar. Bayangkan kalau isteri seorang buat kerja rumah semua, suami asyik keluar melepak jumpa kawan-kawan. Balik harap semua benda selesai, tak jadi juga.
Hidup suami isteri dah tak boleh ada sikap ‘masa aku, aku yang susun. Masa kau, kau buat sendiri’. Sebab 24 jam itulah yang kita kongsi sama-sama.
Waktu di tempat kerja tak apa lah kita nak letak masa kita sendiri, di rumah nanti kita kena letak masa itu kita dan pasangan kita yang punya. Tambahan pula masa dalam hari bekerja berapa jam sahaja kita ada di rumah dengan keluarga.
Tambah tolak waktu kerja dan tidur, mungkin tinggal 6-7 jam sahaja. Sedangkan tugasnya banyak. Nak kena masak, jaga anak, tengok anak belajar buat kerja sekolah, iron baju sekolah anak, waktu nak makan sama-sama, solat jemaah sama, tengok tv pula, anak kecil ajak main, baju nak kena basuh, mandi bersihkan diri, tidurkan anak-anak.
Banyak tak sebut lagi tu. Ini belum kita sebut kalau ada pasangan yang sedang demam. Sakit dan tak larat nak buat kerja.
Maka, berkongsilah masa yang ada. Kena ada timbang rasa dan tolak ansur. Kena susun mana keutamaan dalam masa-masa yang berbaki dalam sehari.
Ads
Kadang sebab tak dapat letak masa dengan betul, pasangan akan rasa kita tak ada dengan dia. Kita memang rasa ok sahaja, ada je dekat rumah. Tapi waktu waktu penting dan melelahkan dia tu, kita tak ada. Momen yang setengah jam itu dia akan rasakan semua kerja rumah dia buat.
Sebab apa? Kerana kita tak selalu ada untuk uruskan sedikit hal penting bersama dengan pasangan kita.
Begitulah.
Kongsi apa yang ada.
MW: Jadikan pengajaran agar dapat berkongsi rasa, masa dan tanggungjawab dengan pasangan kita. Moga bermanfaat.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Lelaki ini, Zakwan Mohtadza berkongsi cara menyimpan duit kahwin dengan menggunakan aplikasi whatsApp saja. Untungnya tabungan yang disimpan bersama bakal isteri ini, bukan sekadar digunakan untuk majlis kahwin.
Malah, tabungan boleh diteruskan sehingga selesai majlis perkahwinan. Dan digunakan untuk tujuan meneruskan kehidupan suami isteri yang baru membina masjid. Okay, hadamkan tipnya.
Buat anda yang berniat nak merancang untuk berkahwin Ini saya kongsi tips menabung GUNA WHATSAPP JE. Kebelakangan ni bertambah-tambah pulak kenalan yang bertanya, nak mohon tips simpan duit kahwin
Ni saya nak kongsi Mungkin sebab bulan Februari kot, bulan cinta orang katakan. (tapi selogiknya saya rasa sebab semakin ramai sebaya saya yang dah mula masuk bab karier dan mula serius dalam masa depan, tahniah dan good luck!) Sejujurnya, rasa belum layak nak bagi apa-apa tips lagi-lagi berkaitan kahwin ni. Tetapi disebabkan ini merupakan perkara yang berkaitan kebaikan (pengurusan wang, perancangan masa depan) dan nak memudahkan niat kenalan yang baik-baik, saya kongsikan jugak
Tips Menabung Duit Kahwin Guna WhatsApp Je
Langkahnya mudah saja
1. Buat group WhatsApp dengan calon pasangan masing-masing! Namakan sebagai tabung kahwin ke apa ke. Ada member saya cakap, kalau single lagi macammana?
Kau add aku je lah, kesian pulak kalau group tu sorang2 en. Tapi tak bermaksud tak perlu menabung untuk kahwin! Nanti dah ada calon, terus jalannn! Hihihi. Add dia terus dalam group tu, kau kick aku
Biar dia terkejut tengok simpanan dah boleh terus buat majlis.
2. Dalam group tu set, bila masa, ikut kesesuaian bila menerima gaji/elaun/income/komisyen atau apa-apa. Macam saya dan pasangan saya, kami set setiap hujung bulan. Dan set awal-awal sorang kena contribute berapa! Dan set target, dalam setahun, contohnya nak kumpul RM sekian-sekian! Sebab tu kalau perasan, dalam group ini, kami akan inform masing-masing setiap hujung bulan berapa kami dah letak ke tepi untuk tujuan ini.
3. Dari sini kau akan tengok lah perangai calon masing-masing, boleh ke nak commit bab kewangan ke tak. Walaupun sememangnya, bab kewangan merupakan tanggungjawab lelaki dalam institusi kekeluargaan kita, tapi alhamdullillah isteri saya jawab Siti Nur Izzaty, walaupun tanggungjawab ini atas saya, tanggungjawab dia jugak untuk memudahkan & membantu saya. Terima kasih.
Dan semasa buat tabung ini, kami berdua dah set awal-awal, bukan semua hasil tabungan ini untuk majlis sahaja nanti, akan ada bahagiannya yang akan masuk simpanan kecemasan keluarga kami apabila dah tamat majlis kelak. Yelah, majlis buat sehari, nak kahwin nya sampai mati nanti! Jadi kena ingat jugak yang ni.
Jujur Buat Simpanan
4. Yang penting kena jujur, jangan ada tulis dan report dah simpan dalam group ini, tapi sebenarnya tak simpan pun.
Kami berdua dulu, siap buat joint account (bank akaun yang ada dua penama) hahahaha, dua-dua boleh akses akaun ini dan tengok siapa mengelat nak menabung.
Di sini (UK) mudah nak buat joint account ini, buat online saja dah setel. Tapi buat kenalan saya di Malaysia, kalau taknak terbelanja duit simpanan tersebut, simpanlah di bank akaun personal khas ke, ASB ke, tabung haji ke, emas ke.
5. Percayalah, bila dah cukup, korang akan rasa tak percaya. Walaupun mungkin masa tersebut plan nak kahwin masih lama.
Tapi at least bab kewangan dah setel kan? Alhamdullillah, untuk saya dan isteri saya, dalam bulan 6 macamtu (dalam WhatsApp kami dah start planning berapa nak guna untuk majlis dah), kami tengok dari bab kewangan, Insyaallah boleh jalan, family pun percaya dengan kemampuan kami, alhamdullillah dan terima kasih semua, dan akhirnya selamat disatukan pada bulan 8 tahun lepas.
Moga bila target kewangan untuk berkahwin dah cukup, urusan anda dimudahkan, Insyaallah.
Perancangan nak kahwin kena mula seawal mungkin tau, lagi-lagi yang dah ada calon tu.
Sayang pada pasangan itu normal dan perasaan itu harus ada agar hubungan itu akan berkekalan. Namun, kalau keterlaluan, boleh menyebabkan sesuatu yang tak elok pula iaitu CEMBURU BUTA!
Benarkah kalau terlalu cemburu menyebabkan hilang sayang? Jawapannya ya. Bayangkan kalau isteri asyik check (periksa) telefon bimbit suami, tentu lemas juga, kan?
Sayang Hingga Timbul Cemburu Buta
Ada kalanya suami mahu bebas berhubung dengan sesiapa yang dirasakan boleh memberikan manfaat pada penghujungnya, dan isteri tidak perlulah terlalu tahu pada awalnya. Sebab terlalu tahu kalau jenis terlalu cemburu akan menyebabkan sesuatu urusan itu terganggu.
Misalnya, suami seorang peniaga aksesori wanita di laman sosial. Sudah tentu dia akan melayan sesiapa sahaja termasuk mengambil model untuk memperagakan tudung keluaran terbarunya. Urusan seperti ini tidak selalunya setakat di laman sosial, selalunya akan pergi ke Hp juga. Maklumlah, dengan teknologi WhatsApp, memang mudah berurusan tambahan ia percuma.
Malangnya, si isteri terlalu cemburu. Tiap-tiap malam dia akan menyemak telefon bimbit suami dan kerap mengamuk apabila terbaca mesej-mesej ala-ala ‘menggatal’ gitu. Kadang-kadang amukannya melalut hingga menelefon wanita-wanita berkenaan, yang sebenarnya adalah prospek perniagaan suaminya juga. Bukankah malang?
Kalau Sayang, Letakkan Kepercayaan!
Sebenarnya, adalah baik jika membiarkan suami dengan urusannya, asal hujungnya jadi duit. Berilah dia tempoh beberapa bulan untuk berkreatif dalam perniagaan siber yang dijalankannya. Saingan terlalu banyak, dia perlu menampilkan kelainan selain layanan yang paling cemerlang untuk setiap pelanggan, jika tidak perniagaannya akan terhenti. Berniaga aksesori wanita memanglah kadang-kadang terpaksa menampilkan diri sebagai seorang lelaki yang mudah didekati. Untuk itu, rasa mesra adalah intisarinya.
Samalah halnya dengan agen jualan kereta. Dia perlu mengayak setiap orang yang menunjukkan minat untuk membeli kereta dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak boleh cincai sahaja sehingga orang yang hendak membeli terasa terasing atau terpinggir.
Untuk itu, kadang-kadang urusan tidak selesai setakat di galeri jualan tetapi juga secara wasap malam-malam. Hari ini orang menghantar salinan kad pengenalan dan dokumen-dokumen penting melalui Hp sahaja dan mereka tidak melakukannya siang hari waktu pejabat, ramai yang melakukannya ikut masa yang terluang. Sesetengahnya hingga jauh malam.
Umpan Jual Beli
Sesetengah agen jualan mengayat pelanggan dengan ayat-ayat lembut atau kelihatan ‘sedikit gatal’. Misalnya, “Kereta yang you nak tu tak ada stok, tapi you punya pasal, ke lautan api pun I sanggup carikan. You confirm je nak, nanti I terjah head office. Untuk you, apa saja.”
Macam gatal bukan? Tapi bukan semua ayat begini adalah permulaan pada skandal tapi semata-mata umpan untuk melembutkan urusan. Psikologinya wanita suka dengan ayat-ayat begitu apabila dia berurusan dengan lelaki, dan dia pun tahu taktik wakil jualan, bukan sebenar-benarnya ‘mabuk’ tapi macam dikatakan tadilah… pelembut.
Saya sendiri melakukan ini di Fb saya. Sebagai pakar motivasi, saya perlu menampilkan diri sebagai cocok untuk semua keadaan, semua orang. Tidak kira siapa dia, orang besar, orang kecil, anak dara, isteri orang, lelaki berkedudukan tinggi atau sekadar budak sekolah semuanya saya layan sesuai dengan kedudukan mereka.
Pada mereka yang suka menulis ayat-ayat ‘gatal’ saya layan dengan ayat yang lebih kurang sama, perlahan-lahan saya bawa mereka kepada landasan yang sebenar. Tak bolehlah saya hentak, sebab bukankah saya motivator semua orang? Pendekatan motivator tulen sudah tentu tidak sama dengan ustaz ortodoks, bukan?
Asal Tak Keterlaluan
Selagi sesuatu komunikasi itu tidak keterlaluan hingga boleh ditafsirkan sebagai ‘mukadimah skandal’, tambahan lagi sekiranya terbukti urusan-urusan itu berakhir dengan kejayaan dan menjadi duit, tidak perlulah terlalu kisah, dalam kata lain terlalu cemburu.
Dunia hari ini sememangnya seseorang itu tidak akan terlepas daripada menggunakan Hp dan peranti ini selalu memberikan ruang untuk hal-hal seumpama itu mengambil tempat. Kita mungkin seorang ustaz, tetapi kadang-kadang kita terbaca juga mesej nakal yang dihantar oleh seseorang dalam grup whatsApp.
Jika kita merasakan diri terlalu baik, kita akan exit group dan merasakan selamat, tetapi sebenarnya kita telah membiarkan mereka yang masih dalam grup itu terkeliru dan akan terus dikelirukan. Tidak mengapa bertahan dengan niat sesekali untuk memperbetulkan seseorang. Apa guna mengaku baik kalau tinggal seorang diri dalam hutan, bukan?
Kalau terlalu cemburu, susahlah suami nak buat kerja. Suami pula, kalau isteri berkerjaya janganlah juga terlalu cemburu, susah dia hendak bekerja. Memang cemburu tanda sayang, tapi kalau terlalu cemburu memang boleh melayang. Ayuh sama-sama perbetulkan!
Isteri mestilah cantik untuk suami. Betul tak? Barulah suami tambah sayang. Bila cakap tentang kecantikan, cukup sinonim dengan diri seseorang wanita. Tanyalah, siapa yang tak nak kan? Ada wanita yang dianugerahkan rupa paras yang menawan namun ada juga yang perlukan usaha untuk dia menyerlahkan kecantikan dirinya.
Ye Ke Isteri Cantik Untuk Suami?
Selain itu, sebagai isteri, pasti ingin kelihatan cantik demi untuk suami tercinta. Suami mana yang suka lihat pasangan dia comot dan selekeh kan?
Menurut Prof Madya TS. Dr. Mohd Nor Mamat, Pensyarah Kanan UiTM, tak dinafikan lelaki memang suka sesuatu yang cantik, termasuklah suka pandang wanita yang lawa. Itu memang fitrah lelaki suka wanita cantik, tapi kenalah berpandukan pada ilmu dan iman.
Betul ke bila dah tua suami rasa isteri dah tak lawa?
“ Apabila seorang lelaki itu memilih seorang wanita sebagai pasangan hidupnya, bermakna wanita itu sudah cukup cantik bagi diri lelaki itu. Itu isteri kena tahu.
“Bila semakin berusia, memang ramai wanita akan rasa bimbang, dirinya dah tak cantik di mata suami seperti ketika muda dulu.
“ Seseorang wanita itu tetap menawan walau pun sudah tua, tapi kata orang, ‘cantik orang tua’. Tak boleh bandingkan usia muda dan usia tua. Cantik di usia tua takkan sama cantik ketika muda.
” Yang penting, kena sentiasa kemas dan bersih di depan suami. Jangan asyik nak berbaju kelawar saja di rumah. Kena ingat, suami dulu berkahwin dengan ‘anak orang’ bukan anak kelawar,” jelas Prof Madya TS. Dr. Mohd Nor Mamat lagi secara bergurau.
Hargai Pasangan
Dalam hal ini, suami kena main peranan dan kena hargai isteri. Kalau suka pasangan berlawa untuk mereka, kena tengok juga. Tak suka dia pakai baju kelawar, tapi kalau itu saja baju yang dia ada, tak boleh salahkan dia. Apa pun, asas kecantikan adalah kebersihan diri.
Pada zaman penggunaan media sosial secara meluas ini, suami kena ambil tahu tentang isteri. Pantau mereka. Misalnya dia dah bersiap cantik, ambil gambar dan muat naik ke media sosial. Alasan mereka, cantik mereka adalah untuk suami. Tapi dalam tak sedar, mereka dah benarkan orang lain memuji mereka termasuk lelaki-lelaki lain.
Isteri juga kena ingat niat mereka berhias adalah untuk suami. Tapi jangan sampai suami-suami orang lain pula yang tergoda!
Suami Kena Rajin Puji
Prof Madya TS. Dr. Mohd Nor Mamat menyatakan, suami kena selalu memuji isteri.
“ Ini membuatkan isteri akan rasa ada orang yang menghargai dirinya. Dia tak perlu lagi orang lain puji. Tapi jika suami tak suka puji, inilah yang membuatkan dia mencari pujian daripada orang lain termasuk memuat naik gambar di media sosial. Mungkin mereka ini inginkan perhatian dan kurang kasih sayang,” akhiri Prof Madya TS. Dr. Mohd Nor Mamat.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.