Suami Tidak Mungkin Mampu Urus Rumah Tangga SEBAIK Isteri, Jadi Hargailah Pengorbanannya

Share

Tidak dinafikan, dalam bab-bab menguruskan rumah tangga, boleh dikatakan isteri yang banyak memainkan peranan. Hargailah pengorbanannya sebab jika ada suami yang pandai uruskan pun, mungkin tidaklah sebaik isteri. Walau bagaimanapun, suami yang ingin membantu itu sudah satu bonus buat pasangan.

Dalam menguruskan rumah tangga, jangan fikir hanya mengemas rumah, memasak, menjaga anak dan lain-lain lagi. Sebaik isteri, bukan itu sahaja pengorbanan yang dia lakukan untuk memastikan rumah dalam keadaan baik.

Sebenarnya, ia cukup luas bila bercerita tentang pengorbanan isteri. Sanggup bersusah payah, tidak berkira dan paling penting sama-sama mencari rezeki untuk memastikan kehidupan lebih selesa bersama keluarga.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Prinsip Perkahwinan Adalah Tanggungjawab, Bila Isteri Tanggung Keluarga Jadi Apa Fungsi Suami?

Cara Meluah Pada Suami Tetapi Tidak Dilabel Sebagai Berleter, Ini Tipnya

Info Lebih Menarik DI SINI

Pengorbanannya, Hargailah Isteri

Ini belum lagi kalau suami jenis yang panas baran dan hanya pentingkan diri sendiri. Semuanya mengharapkan isteri yang melakukan segalanya dan tidak ada rasa tanggungjawab langsung.

Ingat, dia pun ada perasaan. Jika bukan kerana sayangkan anak-anak, rasanya sudah lama dia bawa diri. Sekarang mampu tak suami itu uruskan rumah tangga seperti isteri lakukan. Fikirlah sendiri!

Mungkin kisah Khairul Anuar Basri ini mampu membuka mata suami tentang pengorbanan yang telah isteri berikan. Moga menjadi ikhtibar dan panduan buat suami di luar sana.

Berhutang Hantaran

Tahun 2004 saya ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan girlfriend saya Cik Yuhana Abdul Rahman.

Masa tu saya di tahun akhir ijazah pertama di UIA. Kami tak bertunang pun sebab dah 7 tahun bercinta. Takkan tak kenal lagi hati budi masing-masing ye!

Paling best masa tu isteri saya dah kerja dah pun lepas habis belajar di UPM tahun 2002. Gaji kecil dan bolehlah nak tanggung suami yang masih belajar.

Saya nak cerita kat sini ialah, masa kami kahwin tu mas kahwin kami ialah wang tunai RM77.77 saja. Hanya itu saya bayar cash.

Hantaran pulak RM7,777.77. Tahun 2004 kira reasonable banyaklah rasanya RM7k hantaran kan..

Cumanya masa tu saya guna cek syarikat ayah saya dan tak ada pun duit sebanyak itu. Jadinya saya berhutang dengan isteri saya.

Isteri Penyabar

Alhamdulillah isteri saya seorang yang sangat penyabar. Dah la hantaran tak dapat masa akad nikah, banyak pula pakai duit sendiri untuk persiapan perkahwinan.

Lepas kahwin dia kerja dan saya belajar. Sewa rumah nak kena bayar. Installment kereta nak kena bayar. Maknanya ikat perut betul la kami masa tu.

Kat sini la biasanya banyak rumah tangga gagal. Tak tahan dan tak kuat dengan cabaran di awal perkahwinan. Lebih-lebih lagi kalau bersangkut-paut dengan duit.

Kena pulak suami tak kerja. Ada suami pemalas. Asyik tidur je. Masa couple bukan main nampak macam banyak duit. Tapi semua tu palsu belaka.

Hakikatnya, sangat banyak pasangan yang berkahwin akhirnya bercerai sebab takde duit lepas kahwin. Yang baru kahwin sama, yang dah lama kahwin pun macam tu jugak.

Sebab tu la sabar itu kunci kebahagiaan dalam rumah tangga. Kena banyak bertolak ansur. Saling bertanggungjawab dan saling lengkap-melengkapi. Bukannya ambil kesempatan atas satu sama lain.

Allah tu maha adil. Dia maha penyayang dan pasti tak akan sia-siakan kesabaran setiap hambaNya.

Sebulan lepas saya grad tahun 2005, saya terus dapat tawaran kerja di salah sebuah bank antarabangsa yang sangat terkemuka. Syukur sangat saya. Dapat la bernafas saya dan isteri.

Tambahan lagi, kami bakal menerima cahaya mata yang pertama pada bulan Jun 2005. Bulan Mei saya masuk kerja, bulan Jun datang anak pertama.

Rezeki Anak

Memang betul la orang cakap. Anak-anak datang dengan rezeki masing-masing. Kita ibu bapa ni yang sebenarnya menumpang rezeki anak-anak yang lahir tu.

Lahir je anak pertama, isteri saya pulak buat keputusan untuk berhenti kerja. Alamak!
Dulu dia kerja seorang. Dia banyak sabar. Sekarang saya pula kena kerja seorang. Maksudnya giliran saya pula wajib banyak sabar.

Selama lebih kurang 2 tahun isteri saya sabar menjadi ibu dan suri rumah sepenuh masa. Tahun 2005 lahir Miqdad, 2006 Allah hadiahkan pula kami, Nuha.

Pada tahun 2008, Allah Ta’ala murahkan lagi rezeki saya. Saya dapat tawaran kerja di bank lain dengan gaji yang lebih tinggi.

Masa tu la saya fikir, sudah sampai masanya saya balas sedikit kesabaran isteri saya dengan sebuah penghargaan. Masa tu jugak saya fikir saya mesti ganti balik duit hantaran yang saya hutang dulu.

Bayar Hutang Hantaran

Mungkin tak boleh nak bandingkan dengan kesabaran dan kasih sayang dia. Mungkin tak boleh nak bayar la segala susah payah, keperitan dan kesabaran dia selama ini. Tapi , sekurangnya mampu menggembirakan hatinya.

Maka, saya beli sebuah kereta Toyota Altis sebagai hadiah kepada isteri saya. Masa tu anak-anak pun dah besar sikit. Isteri saya pun dah nak mula masuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) lepas dah berehat panjang selama lebih kurang 4 tahun.

Tak cukup dengan kereta, saya bayar balik hutang duit hantaran tu. Bukan RM7,777.77 macam dalam cek tu, tapi RM10,000. Terlebih sudah.

Masa tu, kesabaran dan ketaatan seorang isteri terhadap suaminya selama 4 tahun terbalas. Itu baru nikmat dunia. Belum lagi nikmat akhirat.

Hargai Isteri
Itulah kawan-kawan…

Isteri ni makhluk yang wajib kita hargai dalam rumah tangga. Bukan tempat melepaskan hawa nafsu dan amarah kita semata-mata. Tapi dia tempat untuk kita curahkan kasih sayang dan penghargaan yang tak berbelah bagi kita.

Tanpa seorang isteri, siapalah kita. Mungkin hidup pun tak terurus. Suami-suami tak akan mampu untuk menguruskan rumah tangga sebaik seorang wanita.

Kerja dia sendiri dia boleh urus. Makan pakai suami dia boleh jaga. Hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak-anak dia mampu ambil peduli. Keadaan tunggang-langgang dalam rumah pun dia sempat fokus.

Pendek kata serba serbi dia la.

Jadi, apa sangat la kalau nak dibandingkan semua pengorbanan dia tu dengan sedikit kelemahan yang dia ada.

Apa sangat la kalau setakat dia berleter atau marah-marah ngan kita, suka merajuk tak tentu pasal ngan kita atau dia selalu moody dan tak layan kita?

Malah, apa sangat la kalau dia tidur nyenyak sekali sekala tak sempat nak masak untuk kita?

Itu belum kira sakit yang dia tanggung demi nak lahirkan anak-anak untuk kita. 9 bulan membawa perut yang berat dan makin membesar ke hulu dan ke hilir. Tak pernah pulak dia merungut.

Lepas tu masa nak bersalin, itu antara hidup dengan mati tu. Banyak darah yang hilang, urat putus.

Bila dah lahir anak, kita kadang-kadang boleh tidur nyenyak tengah malam. Tapi isteri kita tak. Menyusu anak lagi. Terkejut sebab anak menangis lagi. Kalau anak tak sihat, dia yang jadi doktor, dialah yang jadi nurse.

Superb sungguh pengorbanan seorang isteri. Cemerlang sungguh kesabaran seorang isteri.

Pesanan /Ingatan
Semua suami kat luar sana, ingat pesan saya ni betul-betul.
1. Hargai seorang isteri. Jangan take for granted.
2. Reward seorang isteri mengikut kemampuan kita. Janji mesti reward.
3. Beri sepenuh kasih sayang kepada isteri yang kita ada. Kita tak akan sedar betapa besar nilainya sehinggalah kita kehilangannya.

Kalau tak mampu buat semua tu, jangan sesekali kita :
1. Tinggikan suara dengan isteri.
2. Marah yang melampau-lampau dengan isteri.
3. Angkat tangan atau kaki untuk menyakiti isteri.

Saya dengan anak-anak memang saya menjerit. Tapi alhamdulilah sepanjang 16 tahun hidup bersama isteri saya, tak pernah jerkah isteri saya. Apatah lagi nak naik tangan atau kaki untuk menyakitinya.

Semoga ini jadi pengajaran berguna buat yang menulis. Semoga ini juga jadi panduan yang bermanfaat buat yang membaca.

Kunci kebahagiaan sebuah rumah tangga adalah kesabaran. Kerana sabar itu indah. Kerana Allah akan memberi ganjaran yang tidak terhitung untuk orang-orang yang sabar.

#KAB

Isteri yang penyabar adalah bidadari syurga dalam rumahtangga.

Nak isteri jadi bidadari syurga di rumah, kita pun kena la usaha jadi bidadara syurga jugak ye tak?

MW: Kadang-kadang, isteri tak perlu pun hadiah mewah sebagainya, cukup dengan suami sama-sama ringan tulang dalam menguruskan rumah tangga dah cukup. Dapat jaga anak atau tolong jemur baju pun rasa gembira buat isteri.

Sumber: Khairul Anuar Basri

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nora