Sebelum berkahwin, macam-macam cara yang digunakan untuk memikat hati isteri. Tengok pun tak lepas-lepas. Semuanya romantik bagai. Kononnya, inilah ratu hati dan penyerinya. Bila sudah berkahwin dan dah miliki, mulalah jeling dan pandang perempuan lain.
Ketahuilah, perkahwinan yang dibina itu bukan untuk main-main atau seketika. Siang malam berdoa supaya pasangan yang kita ada ini sehidup semati dan kekal hingga ke jannah. Begitulah.
Tapi, dalam mengharungi rumah tanga ini, ada suami yang masih ‘nakal-nakal’. Mungkin tiada niat untuk cari pengganti atau berkahwin lain, sekadar suka-suka. Tapi yang sakit hati, isteri juga.
Malah, tak perlulah nak bandingkan dengan perempuan lain sebab sebenarnya yang ada depan mata kita inilah sudah lengkap segalanya. Seperti apa yang dikongsikan oleh Shahrul Fhaizal Shabu ada benarnya.
Memang perempuan yang kita nampak secara zahir cukup sempurna di mata tetapi belum tentu akan sempurna seperti isteri yang kita ada ini. Sanggup bersusah senang dan tahu ‘luar dalam’ pasangan.
Dalam masa orang asyik bercerita tentang seorang artis idaman ramai jejaka Malaya yang sudah sah menjadi isteri orang, saya teringat kepada satu pesanan Ustaz Zahazan.
Kata beliau kepada para suami khasnya, lebih kurang bunyinya begini:
Jagalah pandangan daripada melihat-lihat perempuan yang bukan isteri kita. Sebab semua yang kita cari pada perempuan lain, Allah dah letakkan pada isteri kita.
Kalau kita ambil bulat-bulat, bunyi macam tak logik.
Ads
Katakan ada seorang lelaki yang ‘taste’ perempuan mata biru, rambut kuning. Tapi isterinya Melayu Kuala Selangor tulen. Berapa ramai perempuan Melayu dari Kuala Selangor yang bermata biru, berambut kuning?
Mata biru, boleh pakai kanta lekap. Rambut kuning, boleh warnakan.
Namun itu bukan isterinya yang sebenar. Hanya perubahan luaran sahaja. Bolehkah dengan memakai kanta lekap dan mewarnakan rambut, suami itu akan bahagia?
Kita sangka yang luaran itulah yang akan membuatkan kita bahagia. Ukuran kita adalah apa yang kita dapat lihat dengan mata, seperti rupa paras, status keluarga, dan sebagainya.
Ads
Susah Senang Bersama
Kita cepat lupa tentang dalaman, sedangkan di situlah Allah simpan apa yang kita cari.
Isteri yang rambut hitam kopi Hang Tuah itulah yang sama-sama dengan kita, menunggu di tepi jalan tanpa bersungut-sungut, ketika hujan lebat dan tayar kereta kita pancit kerana tertikam paku.
Mata coklat Cadbury itulah yang menahan mengantuk untuk menggosok berhelai-helai pakaian kerja suami tercinta, supaya setiap hari sang suami dapat pergi kerja dengan tenang dan sampai pejabat dengan baju dan seluar bebas kedutan.
Selagi kita tak faham siapa yang kita cari, selagilah itulah kita tak akan menemuinya. Walaupun orang itu sedang memeluk erat lengan kita.
MW: Hanya suami isteri yang kenal hati budi masing-masing. Kalau pasangan yang berhasrat untuk cari lain itu, kena fikir, ‘sama ada dia akan dapat pasangan lebih baik daripada yang ada ini atau mungkin lebih teruk daripada itu’. Fikir-fikirlah.
Bergelar seorang pendidik bukanlah satu kerjaya yang mudah. Memberi ilmu kepada anak bangsa merupakan satu pengorbanan yang sangat besar. Apatah lagi bukan semua orang boleh bersabar dalam mendidik kanak-kanak. Ini kerana pelbagai kerenah yang bakal mereka hadapi sepanjang mengajar. Personaliti yang memenuhi ruangan Keranamu Guru kali ini, menjadikan kerjaya ini sebagai yang paling dihormati. Bukan kerana dipaksa malah Anis Salwa Alauddin, 31 menyatakan darah pendidik sudah seabati dalam dirinya.
“Saya tidak pernah rasa terpaksa menjadi seorang guru kerana darah pendidik mengalir dalam diri saya dan itu adalah cita-cita saya, iaitu mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang produktif kepada masyarakat dan negara.
“Ibu bapa saya adalah pendidik. Mereka adalah pendorong terbesar saya untuk masuk ke bidang perguruan ini selain minat saya yang mendalam terhadap profesion ini. Ibu bapa saya telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengikuti pengajian selama lima tahun setengah di IPG KPT, Cheras iaitu kohort pertama guru Ijazah keluaran maktab (kini dikenali sebagai Insitut Pendidikan Guru). Latihan yang secukupnya telah diberikan kepada kami graduan IPG untuk menjadikan kami seorang guru yang berdedikasi. Ibu saya seorang mantan pengetua SMK Sg Soi, Kuantan Pahang merangkap Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan pada usia emas, beliau mendapat Anugerah Tokoh Guru Daerah Kuantan. Keupayaan seorang ibu yang berkerjaya dan membesarkan 12 orang anak adalah sesuatu yang membanggakan saya. Arwah bapa saya merupakan seorang Pengurus Hal Ehwal Pelajar IKIP, Kuantan sebelum beliau bersara,” ungkap guru yang sudah lapan tahun berpengalaman mengajar ini.
Pandai Menyanyi
Dalam mengajar, Anis Salwa juga menyelitkan unsur seni dengan menyanyi, katanya, “Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi minat dan kebolehan menyanyi. Justeru, saya banyak menyelitkan unsur didik hibur dengan nyanyian kerana saya percaya ia serba sedikit dapat membantu murid untuk lebih tertarik dengan pembelajaran dan mudah mengingat. Sebenarnya saya memang bergiat aktif dalam bidang nyanyian juga. Tidak dinafikan, murid-murid teruja apabila saya merupakan ‘penyanyi’ dan mereka kerap menonton nyanyian saya di saluran YouTube.
“Murid menjadikan diri saya sebagai contoh ikutan mereka. Itu adalah satu pemangkin semangat saya untuk menjadi yang terbaik di mata mereka. Saya cuba bersikap proaktif dalam menjalankan tugas dan amanah. Cuba memberi dan membuka peluang kepada diri untuk mengembangkan potensi diri yang ada dalam pelbagai bidang. Saya sering mendidik mereka untuk tampil berani di hadapan orang ramai dan menepis segala ketakutan yang ada untuk berjaya,” terang Anis Salwa yang pernah menjadi Johan beberapa penglibatan seperti Johan Bintang Klasik Nasional Peringkat Kebangsaan 2007, Johan Bintang Klasik Nusantara Peringkat Nusantara 2007, Johan Kebudayaan Peringkat Negeri 2015, Johan Kebudayaan Peringkat Kebangsaan 2016 dan Undangan persembahan bersama Radio Klasik, RTM & Majlis-majlis Diraja.
Beza Mengajar Sekolah Bandar & Luar Bandar
Pernah mencurahkan bakti di SK St Francis, Sitiawan Perak (2011-2014) dan kini mengajar di SK Gulau, Sik Kedah. Ibu kepada dua orang anak ini, merupakan guru Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Pengalaman mengajar sekolah bandar dan luar bandar. Ternyata pengalaman sungguh berbeza. SK St Francis merupakan sekolah bandar, cabaran mengajar anak murid (lelaki sahaja) pelbagai bangsa dan majoriti berbangsa India. Dapat mempelajari budaya belajar dan bekerja yang menjadikan saya seorang guru yang tegas dalam mendidik.
“Di SK Gulau di mana saya sedang berkhidmat di sini. Sekolah luar bandar. Jauh dari pekan Sik, Kedah. Majoriti Melayu dan beberapa murid Siam. Budaya belajar dan mengajar yang sangat berbeza. Murid di luar bandar bersifat introvert (malu dan pendiam). Enggan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penerimaan murid terhadap guru baharu yang tidak bertutur dialek tempatan mereka adalah sangat sukar. Murid di sini juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai satu bahasa asing iaitu bahasa ketiga mereka. Mereka seolah-olah menolak bahasa ini. Tetapi, lama-kelamaan bahasa ini dijadikan satu budaya buat mereka supaya mereka tidak ketinggalan dengan arus perdana yang rata-rata memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat global. Usaha membentuk budaya ini mengambil masa lebih dua tahun. Alhamdulillah, pertuturan harian (basic conversation) mereka perlahan-lahan dapat dikuasai,” ungkap Anis Salwa.
‘From Zero to Hero’
Anis Salwa juga menyatakan ibu bapa menghantar anak mereka dengan suatu harapan. Murid hadir ke sekolah dengan satu impian. Adalah menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila dapat merealisasikan impian mereka. Dari tidak mengenal apa-apa sehingga bijak tulis dan baca.
“Saya suka membentuk sahsiah murid supaya mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing. Dalam pengajaran, saya melibatkan murid dalam aktiviti berkumpulan supaya dapat meningkatkan kemahiran interpersonal dan komunikasi sesama mereka,” sambung Anis Salwa.
Hadiah Istimewa
Anis Salwa juga turut menerima pelbagai kad ucapan dan hadiah istimewa daripada anak muridnya.
“Murid sekolah rendah mempunyai daya apresiasi yang tinggi terhadap guru mereka. Oleh itu, saya kerap menerima kad-kad ucapan, hadiah-hadiah daripada murid-murid. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menerima naskhah yang berunsur surat cinta tetapi lebih kepada apresiasi seorang murid kepada gurunya. Adalah menjadi kebiasaan apabila murid-murid menyatakan rasa sayang terhadap guru mereka.
Pada setiap Hari Guru, saya turut menjadi tumpuan murid. Banyak hadiah yang diterima. Hadiah paling bermakna ialah hadiah sekotak kurma daripada seorang murid Siam.
“Pada 2018, saya terpanggil untuk menyanyikan sebuah lagu khas buat guru-guru di Malaysia sempena Hari Guru 2018. Saya tidak menyangka video tersebut mendapat perhatian ramai dan tular di Facebook.
Cabaran Utama
Tidak dinafikan, beban tugas seorang guru adalah sangat banyak. Walau bagaimanapun, Anis Salwa menyatakan dia perlu bijak mengawal emosi dan cuba sedaya upaya menerima segala pembaharuan yang berlaku. Antara cabaran yang dihadapi pada sebagai guru masa kini antaranya, “Kehendak masyarakat terutama ibu bapa yang berkobar-kobar ingin melihat anak mereka berjaya adalah bukan semata-mata di bawah didikan seorang guru. Guru-guru perlu mengembleng tenaga bersama-sama ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak-anak.
“Kecanggihan teknologi mempengaruhi pemikiran anak bangsa yang kadangkala lebih celik daripada gurunya. Kini dunia tanpa sempadan, semua maklumat di hujung jari. Oleh itu, guru perlu menjadi lebih progresif dan kreatif dalam menangani masalah ini. Pengajaran konvensional (cara lama – chalk and talk) bukanlah tidak relevan pada masa kini. Tetapi kanak-kanak gen Y dan Z ini lebih bersikap aktif dan suka meneroka sesuatu yang baru. Mereka perlu diajar untuk berkomunikasi dengan baik dan berupaya menyelesaikan masalah harian dengan sistematik. Oleh itu, pengajaran guru perlu pelbagai dan menerapkan unsur-unsur pembelajaran abad ke-21; iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Arus pemodenan dan pengaruh luar serba sedikit memberi impak kepada pembentukan sahsiah murid. Guru menjadi agen bagi menepis pengaruh-pengaruh negatif daripada menular masuk ke dalam pemikiran anak-anak terutama di sekolah rendah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai yang ternanti-nantikan kedatangan bulan ramadan. Jika selama ini selalu sibuk bekerja, bulan puasa inilah peluang untuk merapatkan lagi ikatan kekeluargaan, suami isteri dan anak-anak.
Baru-baru ini penceramah dan ahli motivasi kekeluargaan Ebit Lew ada berkongsi gambar dirinya memasak dan menyediakan juadah berbuka puasa didapur. Beliau mengambil kesempatan bercuti daripada menyampaikan ceramah semata-mata untuk meluangkan masa menyambut kedatangan 1 Ramadan bersama isteri dan anak-anak tercinta.
Namun yang menarik perhatian ramai adalah penghargaan beliau buat para isteri dan memahami tanggungjawab yang golongan ini telah lakukan demi keluarga tersayang.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Hari ini saya cuti ceramah 1 Ramadhan. Bidadari booking 2 hari untuknya awal Ramadhan ini.Balik ambil anak sekolah saya cuba buat-buat sibuk masak untuk bidadari dan anak-anak. Bersepah dapur kecil ini bila Ebit Lew masuk dapur. Macam lepas berperang kat dapur nie..hehe.
Cuba teka masak apa tu? ya Allah ampun. Biasa keluar jalan Allah jarang dapat masak. Orang suruh ceramah jer. Kat rumah pulak bidadari tak bagi. Kena tegas baru dapat masak.
Kelakar campur sedih sayu sangat..sebab terbayang bidadari saya hari-hari masak. Mak saya dulu pun begitu.begitulah kebanyakan wanita.Anak-anak kata ayah nak ini..nak itu..nak ini..menjerit-jerit. Dia tak tahu ayah dia bukan pandai macam umi dia masak. Isteri pulak senyum-senyum tengok suami..sibuk rakam suami dia masak. Ambil gambar..hehe…orang bercinta memang macam tu yer..duduk-duduk nak ambil gambar.
Sayang, tunggulah di luar biar abang masak nanti malu tak jadi…Sayang rehat yer..tengok masa buka nanti.. Baru tahu sebab apa wanita suka upload makanan kat fb..yerlah sebab dia masak. Dia penat. Dia seronok. Tu jer…hee..
Cuba tengok isteri, sambil masak boleh layan suami, sambil masak boleh buat susu anak. Sambil masak boleh kemas rumah. Sambil on mesin basuh. Kutip baju. Beribu kerja satu masa. Saya masak macam mengaji. Solat. Betul-betul khusuk. Yerlah macam orang baru ambil lesen kereta. L dapur pun bersepah..dah siap baru kemas..
Lihat seorang isteri mereka berpuasa sama dengan kita suami. Mereka bekerja, sama dengan kita cari rezeki. Jika tak kerja di luar, kerja di rumah 24 jam tak habis-habis.Tapi bila sampai rumah kebanyakannya isteri jaga anak-anak. Kita sedap-sedap dapat solat isya dan Tarawih di masjid. Jumpa kawan-kawan di masjid. Isteri sibuk urus anak sepanjang malam. Buat yang anak-anak masih kecil.
Isteri sibuk uruskan anak-anak. Lepas tu mereka juga bangun sahur awal. Ada pula suami pesan isteri jangan lupa kejut sahur. Kalau tak kejut abang tak puasa. Jika tak bangun, marah isteri. Kasihanilah ibu dan isteri kita. Sayangilah mereka. Doakan mereka kerana Allah-ebitlew
Zaman sekarang ini anak tak ramai sangat pun orang tanya-tanya, tetapi tak boleh cepat melatah atau ambil hati. Masing-masing punya perancangan hidup.
Kalau nak dibandingkan dengan orang dulu-dulu memang berbeza sangat, anak paling sedikit pun 5-6 orang. Dan purata paling banyak 12 orang. Memang kagum dengan mak ayah dulu. Tetapi zaman semakin maju, ada banyak sebab mak ayah zaman sekarang merancang bila bab anak.
Mungkin pandangan mak ayah di luar sana ada persamaan dengan pendapat saudara Najmi Nawawi ini…
KENAPA ANAK TAK RAMAI?
Macam aku sendiri alhamdulillah sudah dikurniakan dua orang cahaya mata comel, Maryam Deen dan Aisyah Deen. Setakat ini belum lagi memiliki perancangan untuk tambah anak. Meramaikan anak ialah sesuatu yang dianjurkan sahaja.
Kalau tidak ramai, tiada masalah, dan tidak dicela pun dalam syarak. Tetapi memanusiakan, menginsankan, dan mengkhalifahkan setiap orang anak adalah sesuatu yang wajib. Jika tidak tertunai, ia dicela oleh syarak.
Zaman sekarang sudah tidak sama dengan dulu, aku akan cuba huraikan kenapa tidak perlu ramaikan anak jika tidak boleh bagi yang terbaik kepada setiap daripada mereka.
1. Kualiti lebih utama dari kuantiti
Kita hidup di zaman yang penuh cabaran dan dugaan. Anak-anak perlu dijaga dan dibentuk dengan sebaik mungkin sejak mereka masih kecil. Dikhuatiri dengan bilangan anak yang ramai membuatkan kita gagal memastikan pembentukan (tarbiah) yang baik khususnya dalam hal pendidikan sempurna bagi setiap dari mereka. Kita tidak mahu anak-anak kita sekadar menjadi buih-buih di lautan.
2. Anak yang lebih berjaya
Biarlah anak tidak ramai, tetapi kita akan pastikan satu hari nanti mereka akan ada ribuan orang yang bekerja di bawah mereka. Dengan perhatian dan pembentukan individu lebih sempurna pasti akan membawa impak kepada pembentukan anak yang lebih hebat.
3. Kos yang makin mahal
Tidak dinafikan kos untuk membesarkan seorang anak pun sudah sangat mahal. Apatah lagi buat yang tinggal di kawasan bandar yang mana kos pendidikan, jagaan, perkakasan yang jauh berganda dari harga biasa. Hal ini memang perlu dipandang serius. Kerana kegagalan dalam merancang ekonomi keluarga akan membawa kepada kesan negatif yang lebih teruk kepada pembentukan anak-anak.
4. Masa yang berkualiti
Aku yakin masa ialah antara aspek terpenting dalam pembentukan anak-anak. Masa dan perhatian yang kita berikan kepada mereka ialah sinonim dengan kasih sayang yang dicurahkan. Bahkan tidaklah keterlaluan jika aku katakan, tanpa masa, maka makin kuranglah kasih sayang dan perhatian yang boleh dicurahkan. Jika kedua-dua ibu bapa sibuk bekerja, keadaan pastinya makin tidak baik, dan bayangkan jika anak pula ramai. Pasti tidak terkejar, dan anak yang kehausan kasih sayang cenderung menagihnya dari tempat lain.
5. Isteri bukan kedai makan
Kalau dulu kita boleh suka-suka order anak sampai 11 orang untuk cukupkan satu team bola. Namun apabila memikirkan risiko yang isteri hadapi seperti emboli udara, rahim pecah, pendarahan dan banyak lagi perlu dirisaukan. Pasti membuatkan kita tidak sanggup untuk membebankan isteri tersayang. Bahkan setiap kali mengandung, sebenarnya dua nyawa berhadapan risiko, iaitu nyawa isteri dan juga anak yang dikandung. Belum lagi cerita tentang depresi yang sering terjadi kepada ibu-ibu selepas bersalin.
6. Zaman sudah tidak sama
Kalau dulu, kita kerja mungkin dekat dengan rumah. Saudara mara juga ramai yang tinggal berdekatan untuk membantu sekiranya diperlukan. Zaman sekarang, ramai yang hidup berdikari dengan keluarga yang baru dibina jauh dari ahli keluarga terdekat. Semuanya bergantung pada mereka, jika balik kerja lambat, tiada yang boleh tolong ambilkan anak. Jika ada kecemasan, tiada yang boleh tolong tengokkan anak. Bilangan anak yang ramai ditambah dengan kekangan masa pasti akan memberi kesan negatif kepada pembentukan anak-anak.
7. Suami yang tak rajin bantu isteri
Masih ramai golongan ini (suami) yang masih mempunyai tanggapan bahawa kerja-kerja rumah dan kerja-kerja menguruskan anak ialah kerja isteri sepenuhnya. Membantu isteri jauh sekali, dan ini akan memberi bebanan kepada mental dan fizikal isteri jika memiliki anak yang ramai. Anak ramai bermaksud tanggungjawab yang makin besar dan perlu dipikul bersama suami dan isteri. Jika sikap masih bermalasan dan suka untuk tengelam dalam dunia (game) masih wujud, maka memiliki anak ramai bukanlah pilihan bijak.
Apa-apa pun ini hanya sudut pandang aku yang tinggal di ibu kota dan mempunyai pasangan yang memilih untuk tutut bekerja. Konteksnya mungkin berbeza mengikut keadaan yang berbeza. Apa-apa pun, kita tahu apa yang terbaik untuk keluarga kita masing-masing.
Nota:
Biarlah anak tidak ramai yang penting kita mampu beri yang terbaik kepada setiap dari mereka. Kita hidup di zaman orang berlumba-lumba jadikan anak masing-masing terbaik. Sanggupkah kita biarkan anak kita ketinggalan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...