Suami ‘Sura Rumah’, “Fenomena Isteri Mencari Nafkah Keluarga Semakin Menjadi Kebiasaan”

Share

Suami ‘sura rumah’, isteri pula mencari rezeki begitulah tajuk yang begitu hangat diperkatakan. Malah pada hari ini ramai wanita yang mengalami masalah sedemikian.

Menerusi perkongsian Soal Jawab Keluarga Siri 3 dari Ustazah Asma’ Harun yang juga Bekas Perundingcara Rumahtangga, ada yang bertanyatakan soalan tentang suami yang tidak bekerja manakala isteri yang mencari nafkah.

Foto: Canva

Suami ‘Sura Rumah’, Isteri Cari Nafkah

 

Ustazah Asma’ Harun

Penerangan jawapan yang diberikan oleh Ustazah Asma’ menerusi perkongsian di akaun Facebooknya cukup jelas dan boleh menjadi panduan kepada isteri dan ibu yang mengalami masalah yang sama.

 

“Assalamualaikum ustazah. Saya nak bertanya. Suami saya tidak bekerja. Dia hanya duduk di rumah. Kalau ada kerja pun, tak bertahan lama. Bila tanya kenapa asyik berhenti kerja, jawapannya sebab ada masalah dengan majikan.

Sekarang saya yang tanggung keluarga sepenuhnya. Suami langsung tak ada rasa bersalah biarkan saya kerja seorang diri. Malah dia minta duit dari saya pula. Katanya gaji saya seorang sudah cukup untuk kami semua. Situasi ini menyebabkan kami kerap bergaduh.

Saya betul-betul sedih dan kecewa dengan suami. Sepatutnya dia yang menyara keluarga, bukannya saya. Tapi, bukanlah bermaksud saya berkira dalam perkara ini. Cumanya saya mahu dia sedar tanggungjawab dia. Bantu saya ustazah. Terima kasih,” soal seorang wanita kepada Ustazah Asma’.

JAWAPAN USTAZAH :

“Wa’alaikumussalam. Terima kasih kerana bertanya. Subhanallah, Puan adalah isteri yang kuat kerana mampu bertahan dengan ujian ini. Pastinya berat bebanan yang ditanggung kerana terpaksa menggalas peranan menyara keluarga. Insya-Allah, saya akan menjelaskan isu ini secara umum.

“Fenomena isteri mencari nafkah keluarga semakin menjadi kebiasaan sebahagian masyarakat kita atas faktor tekanan ekonomi. Maka, jika suami pula berperanan sebagai ‘sura rumah’, menjaga anak-anak, memasak dll, ia dikira satu bentuk sefahaman dan toleransi yang menjadi pengimbang kepada kehidupan yang berlawanan dengan fitrah ini. Semoga ihsan isteri membantu mencari rezeki dan kesabaran suami untuk menguruskan rumahtangga keduanya akan mendapat balasan baik daripada Allah.

“Yang menjadi isu ialah, seperti aduan di atas, iaitu bagi suami yang tidak membantu dalam urusan rumahtangga. Dalam situasi ini, pelbagai konflik akan mudah tercetus.

Asasnya, Suami Bertanggungjawab Menjaga Kebajikan Orang-Orang Dalam Jagaannya

“Baiklah. Asasnya, suami berperanan sebagai yang bertanggungjawab menjaga kebajikan orang-orang dalam jagaannya.

Allah SWT berfirman:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”. [ An-Nisa’:34]

Dalam ayat di atas, Allah melebihkan kaum lelaki daripada kaum perempuan dengan beberapa keistimewaan menunjukkan besarnya tanggungjawab seorang lelaki terhadap wanita.

Suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak seperti mana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ
شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَىْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” [HR Bukhari & Muslim]

Para ulama mazhab Syafie menetapkan bahawa nafkah yang wajib di beri adalah:

1. Makanan
2. Barang-barang dapur
3. Pakaian
4. Tempat tinggal
5. Alat-alat untuk membersihkan diri
6. Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
[Rujukan: Mughni al-Muhtaj]

Selain itu, kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa seperti dinyatakan dalam firman Allah:
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” [Al-Baqarah:233]

“Merujuk kepada dalil di atas, jelas menyatakan bahawa wajib bagi suami berusaha sebaiknya menafkahi keluarga. Kegagalan menyediakan keperluan keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki, kecuali bagi yang tidak mampu dengan faktor tertentu.

“Seandainya seorang lelaki itu enggan dan tidak berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas sedangkan beliau mampu, maka selama itu beliau menanggung dosa, maka isteri memiliki hak untuk mohon fasakh (cerai) perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa bagi isteri.

Daripada Abi Hurairah r.a, katanya:
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafkah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.” [HR Al-Daraqutni]
Allahuakbar, betapa pentingnya perihal nafkah ini sehinggakan Rasulullah SAW mengizinkan isteri memohon fasakh jika pengabaian nafkah terjadi.
Hal ini juga dinyatakan dalam seksyen 52(1(b)) Akta 303 iaitu Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu seseorang perempuan boleh membubarkan perkahwinan iaitu membuat permohonan fasakh sekiranya suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan.

“Walau bagaimanapun, jika isteri menafkahi suami dan anak-anaknya, itu dikira sebagai ihsan serta beroleh pahala kerananya. Suami pula janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada isteri. Berazamlah untuk bekerja semampunya dengan kudrat yang ada bagi menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Berikut adalah doa-doa yang boleh diamalkan:

1. Doa memperbaiki urusan:
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah segala urusanku. Jangan Engkau serahkan diriku ini kepada diriku sendiri walau sekelip mata.” [HR An-Nasai]
2. Doa diberikan kefahaman agama.
اَللّٰهُمَّ فَقِّهْنَا فِى الدِّ يْنِ وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikan kami kefahaman agama dan ajarkan kepada kami takwil (tafsir al-Quran). [HR Ahmad]
3. Doa menolak keburukan.
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan yang datang dari-Mu, dan tidak ada nasib baik kecuali nasib baik yang datang dari-Mu, dan tidak ada Tuhan selain-Mu.” [HR Ahmad]
4. Doa keluarga bahagia:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Al-Furqan:74]

Buat para isteri yang dikala ini menggalas tugas mencari rezeki, perbuatan kalian merupakan satu tindakan yang terpuji dan pengorbanan yang wajib dihargai oleh suami” kata Ustazah Asma’ Harun.

Baca Disini Juga:

BETUL! Isteri Banyak Berkorban Tapi Janganlah Sampai Mengungkit Dan Lupa Kebaikan Suami

Isteri Ajak Suami Berbual, Jangan Tak Layan, Inilah Yang Dirindu Kalau Dia TIADA

Suami Kerap Tidak Cukup Duit, Periksa Balik Nafkah Isteri Termasuk Dalam Bajet Keluarga?

Foto: Canva

Sumber/Sumber Foto: Facebook Ustazah Asma’ Harun & Canva
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Norhayati Binti Suboh