Kebanyakan isteri menganggap suami yang rajin membantu membuat kerja rumah sebagai suami yang romantik. Mungkin pada awal perkahwinan isteri merasakan suami romantik bila si dia memberi hadiah, bunga, kejutan dan sebagainya.
Bagaimana pula apabila sudah mempunyai anak, masih suami masih lagi romantik ke? Sebab ada sesetengahnya anak diberi keutamaan dan bab-bab romantik ini terus hilang.
Isteri pula seakan lupa dan lebih fokus kepada rumahtangga dan anak-anak. Bagi seorang isteri tidak perlu romantik bagai, apa yang ditekankan adalah tanggungjawab dalam rumah tangga. Tak perlu bunga atau hadiah pun, kalau suami tolong buat kerja rumah seperti jemur baju, buang sampah, mahu pun basuh pinggan, sudah cukup buat isteri bahagia dan rasa romantik.
Inilah yang dikatakan suami romantik yang sebenar. Seperti yang dikongsikan oleh Fadzli Aziz, isteri tidak mengharapkan hadiah atau bunga sebagai tanda untuk menunjukkan suami romantik tapi dengan melakukan perkara kecil di rumah, tolong jaga anak, jemur baju dan sebagainya pun sudah cukup membahagiakan.
Suami Romantik, Rasa Cinta Isteri
Romantik yang sebenar ialah:
Bukan hanya romantik yang mencairkan emosi, bahkan melembutkan hati untuk jadi hamba yang taat pada Allah secara bersama.
Bagi bunga, hadiah memang best, tapi teruja hanya sekejap. Emosi best pun tidak tahan lama. Kerana nak mengekalkan rumahtangga ini dengan sikap dan akhlak.
Ads
Akhlak baik ini menambah cinta, melembutkan hati dan menyejukkan mata.
Malah, akhlak baik pada pasangan ini akan mengekalkan perasaan cinta. Bahkan menyuburkan lagi dari masa ke masa.
Rasa Bahagia
Bayangkan isteri basuh kain, tapi tak sempat jemur sebab memasak lagi, kemas rumah walhal baru balik kerja.
Ads
Rehat sekejap kemudian tertidur. Sedar-sedar baru teringat kain belum berjemur. Cepat-cepat lari nak jemur kain.
Tengok-tengok semua dah settle. Kain sudah jemur. Masakan tadi dah hidang dan banyak benda sudah diselesaikan oleh suami.
Rupanya husband dah balik dan selesaikan semua yang tertangguh tadi.
Ads
Allahu akbar. Nampak kecil tapi inilah yang menambah cinta membugar rasa.
Adanya (husband) sangat disyukuri. Tiadanya dirindui.
Cuba tanya diri kita. Kalau kita ada, pasangan kita seronok tak?
Kalau kita tiada, dia rindu tak?
Memang rumahtangga BUKAN SEKADAR CINTA, tetapi alangkah bahagianya rumahtangga yang berjalan semua tanggungjawabnya dan diisi pula dengan cinta. Tidakkah itu yang terbaik.
Memang ada benarnya, nilai isteri pada suami bukanlah untuk di’bibik’kan dan diperhambakan. Namun kesalnya, masih ada segelintir suami yang mempunyai mentaliti sebegini. Hakikatnya Islam mengangkat darjat isteri, yang seharusnya dilayani dengan baik, dihormati, dididik dengan penuh kasih sayang dan dipenuhi segala keperluan dan nafkahnya.
Perkahwinan ni sebenarnya mengangkat darjat wanita dan memuliakan wanita.Islam telah memuliakan wanita yang mungkin pada zaman dahulu daripada hanya menjadi objek seks semata kepada insan yang sangat mulia.
Dialah seorang isteri yang mana suami bertanggungjawab penuh ke atas dirinya untuk dididik, dipimpin diberi kasih sayang dan dipenuhi segala nafkah dan keperluan.
Bukan untuk di’bibik’kan dan diperhambakan. Dilayan baik bila perlu kepada ‘hubungan intim’ dan diabai bila tiada ‘rasa’.
Bila tiada ‘rasa’,
Tu yang kawan lagi penting dari isteri.
Tu yang handphone lagi penting dari isteri.
Tu yang game lagi penting dari isteri.
Tu yang hobi lebih utama dari isteri.
Tu yang belanja awek lebih penting dari isteri.
Tu yang mempermudahkan urusan orang lain dan jarang mempermudah urusan isteri.
Tu yang duk sibuk jaga hati orang lain berbanding hati isteri.
Ada kes yang isteri beranak ramai, suami langsung tidak peduli hal anak-anak bahkan sibuk nak ramaikan isteri.
Yang sedia ada pun terabai, tak terjaga, lompang sana sini bab nafkah dan tanggungjawab, tapi duk bangga yang kononnya berani berpoligami dan tak takut bini.
Poligami adalah sunnah yang mulia, tetapi selalu dirosakkan oleh mereka yang tidak layak melakukannya.
“Ayah aku dulu, mak taat je ayah buat apa. Mak ikut je tak berani nak bantah. Ayah kahwin lain pun mak redha je. Bahagia je aku tengok”.
Mungkin akan ada orang yang keluarkan ayat ni.
Tapi pernahkah kita tanya keadaan mak tersebut. Benarkah dia bahagia?
Ada yang bahagia walaupun terluka kerana dia letakkan redha Allah sebagai keutamaan. Jadi walaupun macam mana keadaan rumahtangga dia tetap bertahan.
Tapi kenapa kita nak wujudkan dan mengulangi keadaan yang sama?
Alangkah lebih baik kalau kita bahagia bersama dan dapat redha Allah bersama.
Berapa banyak rumahtangga dulu yang nikah cerai berulang-ulang dan terabai?
Soalannya, apa nilai isteri kita pada kita?
Isteri adalah ibu kepada anak-anak kita.
Isteri adalah syurga kepada anak-anak kita.
Bahagia isteri, maka bahagialah anak-anak kita.
Maka bahagiakanlah isteri.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, renungkan semula apakah sebenarnya nilai isteri pada pandangan mata dan sisi suami. Bahagiakanlah isteri, insya allah rumahtangga dan keluarga bahagia.
Suami yang mengaku curang pasti akan melunturkan kepercayaan isteri. Namun sayang masih menebal. Apakah sebaiknya isteri memafkan suami dan berikan peluang untuk suami berubah?
Suami Kantoi Curang
Puan Suzana Ghazali yang merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Gumana Syarie berkongsi antara kes yang banyak ditanganinya. Ikuti perkongsiannya http://bersamasuzana.blogspot.com.
Seorang wanita pernah inbox saya, mengadu tentang suaminya kantoi curang buat pertama kali. Dia bertanya, apakah dia wajar memaafkan suaminya itu?
Beri Peluang, Koreksi Diri
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Koreksi diri, setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam. Tika rasa mengantuk mendatang, kita di’mati’kan sementara dan di’hidup’kan semula awal pagi esoknya.
Walau ada yang tidur terus kerana tidak dikembalikan-Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada-Nya. Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?
Sukar Beri Peluang Bila Diri Dikhianati Suami
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar untuk memberi peluang untuk pasangan membuktikannya telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percayakan pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.
Terus Hanyut Atau Sedar?
Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan.
Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?
Beri Peluang Pada Suami
Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkan lah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Banyak Mana Patut Beri?
Namun, sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Kalau mengikutkan hukum perceraian, peluang boleh diberi melebihi tiga kali. Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan redha dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja. Reda bermaksud anda berlapang dada dan adil bererti anda tidak menganiayai diri anda sendiri.
Lantas, berikan peluang selagi daya dan kepada manusia yang diberikan peluang, ambillah teladan dan pengajaran dan mengertilah, manusia yang penuh kesabaran akan mengambil keputusan nekad dan muktamad, jauh dari segala sangkaan anda. Jangan sampai anda merana kerana dia tidak lagi percaya…!
Ramai para isteri yang memanjakansuami masing-masing. Sebenarnya bukanlah isteri tidak boleh memanjakansuami tapi janganlah sampai memakan diri. Apabila suami terlalu dimanjakan ada kemungkinan untuk suami ‘lupa’ tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Mana tidaknya apabila semua urusan diselesaikan oleh isteri maka si suami sudah berasa cukup selesa. Perbuatan memanjakan suami hingga keterlaluan akhirnya akan memakan diri para isteri. Pada akhirnya isteri juga yang makan hati.
Berikut perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. Beliau berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes rumah tangga.
Punca
Alasan biasa sebagai punca ialah suami kurang dapat layanan isteri, tak memahami dan macam-macam lagi. Secara konklusinya jawapan-jawapan tersebut betul tetapi kurang tepat.
Jawapan yang paling tepat dan menjadi punca utama kepada wujudnya cinta baru di hati suami terhadap wanita lain ialah sikap isteri sendiri yang terlalu memanjakan si suami.
Jangan Langgar Dua Syarat
Saya bukan menghalang para isteri memanjakan suami tetapi biarlah manja dan kasih sayang yang bertempat. Boleh manjakan suami dengan kata-kata rindu, belaian sayang, pujukan manja, layanan mesra dan pelbagai tindakan lain selagi manja tersebut tidak melanggar dua syarat utama iaitu; pertama; tidak mengambil alih peranan dan tanggungjawab suami. Kedua; tidak mencabuli hak anda sebagai seorang isteri.
Islam tentukan seorang suami wajib dihormati tanpa pengecualian disebabkan si suami diberikan dua peranan yang besar terhadap isteri dan anak-anak iaitu menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak serta mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang Allah redai.
Malangnya, dalam dunia serba moden dan maju kini, seakan-akan tanggungjawab ini tidak lagi menjadi perkara perlu dilaksanakan.
Jangan Sampai Dia Lupa Tanggungjawab
Bahagi Segala Perbelanjaan
Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep bahagi sama rata atau kongsi dua – sewa rumah bahagia dua, bil air bahagi dua, bil elektrik bahagi dua, dah macam teman serumah tapi tidur sekatil. Malah ada kes, nak beli susu dan lampin anak pun kosnya dibahagi sama rata.
Bukan tak boleh berkongsi tetapi anda sengaja membiarkan suami anda gagal melaksanakan tanggungjawabnya yang patut yang Allah SWT tentukan kepadanya sebagai seorang suami dan seorang bapa jika mempunyai anak-anak.
Isteri Lebih Berwang
Memang diakui, ramai isteri hari ni yang bekerja malah ada kes, pendapatan isteri lebih tinggi daripada pendapatan suami. Tak ada salahnya jika isteri memilih suami yang kurang pangkat atau kurang pendapatan berbanding pangkat atau pendapatan anda.
Hanya pesan saya, pastikan anda benarkan suami menggunakan wang hasil pendapatannya terlebih dahulu untuk menampung segala perbelanjaan keluarga. Bila duitnya dah tak cukup, barulah gunakan duit anda pula.
Tanggung Suami
Paling malang bila makin ramai isteri yang membiayai segala keperluan rumah tangga sebab suami tak bekerja. Prinsip perkahwinan bukan hanya untuk membenarkan dua insan bernama lelaki dan wanita bersatu atas dasar cinta dan kasih sayang sebaliknya syariat juga tentukan perkahwinan adalah untuk kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri melaksanakan peranan dan tanggungjawab.
Terdapat tiga kategori tanggungjawab iaitu:
1- tanggungjawab tersendiri seorang suami yang menjadi hak isteri,
2- tanggungjawab tersendiri seorang isteri yang menjadi hak suami; dan
3- tanggungjawab bersama suami isteri yang menjadi hak anak atau anak-anak
Tanggungjawab
Tanggungjawab tersendiri seorang suami ialah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan dengan syarat berusaha peringkat maksima tanpa menganiayai diri sendiri, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.
Tanggungjawab tersendiri seorang isteri pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak intim suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormati suami sepanjang masa dan menyenangkan hati suami.
Bantu Boleh Tapi…
Sementara tanggungjawab bersama suami isteri ialah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga. Andai masing-masing berusaha melaksanakan segala tanggungjawab dinyatakan sebaiknya, akan ada pihak yang menerima hak dan kesannya akan wujud bahagia.
Saya merayu dan memohon kepada para isteri semua: jangan ambil alih peranan suami dalam perbelanjaan keperluan anda, anak-anak dan rumah tangga. Bantu tetapi tuntut semula jumlah yang anda bantu sebagai hutang yang perlu suami bayar apabila suami berkemampuan membayarnya semula. Bukan mengajar anda berkira tetapi saya hanya mohon agar anda berjaga-jaga. Percayalah! Bila suami terasa beratnya beban menjadi suami kepada seorang isteri, dia akan lebih menghargai anda, insya-Allah…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!