Tanyalah mana-mana wanita, mesti dia akan bagitau, suami yang diidamkan mestilah seorang yang romantik, tahu ambil hati dan sentiasa menggembirakan dirinya.
Ini jawapan yang diberikan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga, tentang apa yang dikatakan suami romantik.
Sifat romantik jika dirujuk kepada suami atau golongan lelaki bermaksud bijak menggembirakan hati isteri. Ciri-ciri suami romantik ialah pandai membelai perasaan isteri dengan puji-pujian, bijak membelai tubuh badan isteri, cekap untuk membaca hati dan kehendak isteri dan yang penting sentiasa teruja, misalnya untuk memeluk, mencium, mendukung dan mengurut tubuh badan isteri tanpa dipinta.
Ada Kelemahan
Namun, banyak golongan lelaki dilihat gagal dalam memimpin isteri dan anak-anak di rumah meskipun secara zahirnya punyai trait personaliti “romantik” seperti pernyataan di atas. Ia berpunca daripada beberapa kelemahan diri suami tersebut seperti:
1. Kewangan diri tidak mapan. Natijahnya, pihak isteri akan merasa tidak selamat sebab mereka tidak mampu memasak, mengurus kebajikan keluarga dengan lancar dan akhirnya jiwa mereka tertekan. Apabila jiwa tertekan akibat sakit poket (masalah kewangan keluarga), akan timbul krisis komunikasi. Contohnya, berleter tanpa kesudahan, marah-marah dan perasaan benci.
2. Kurang ilmu agama dan penghayatan hidup beramal mengikut syariat agama. Ia selari dengan pesanan jumhur orang alim iaitu “Hidup ini bukan hanya tentang apa yang kita hendak tetapi apa yang Allah hendak”.
Kepimpinan Keluarga
Dalam sesetengah kes yang melalui sesi kaunseling mengakui meskipun suami mereka miliki duit banyak, harta bertimbun dan berpangkat, namun kehidupan kekeluargaan mereka hambar, sering bertengkar dan ada yang sampai bercerai-berai. Di akhir rumusan sesi itu, tiada jalan lain untuk membina keluarga bahagia melainkan mengembalikan sikap kepimpinan suami romantik yang bukan sahaja bijak ‘bermesra’ dengan isteri secara fizikal di dalam rumah, malah juga bijak ‘bermesra’ dengan isteri dari aspek emosi, rohani dan spiritual dengan melakukan perkara berikut;
1. Memimpin isteri (kalau ada anak, mesti bawa anak-anak sekali) solat berjemaah.
2. Memberi tazkirah dengan membaca al-Quran dan tafsirnya atau membaca Hadis Nabi setiap hari, paling kurang sekali.
3. Sentiasa memanjakan isteri dengan ucapan doa-doa restu, pujian, harapan dan kasih penuh ihsan hingga ke syurga nanti
Banyak kalangan isteri mengakui fitrah golongan wanita ialah mendambakan sikap romantik suami yang penuh hemah, tabah dan kreatif dalam usaha membawa isteri membina suasana hidup beragama. 1001 masalah rumahtangga menjadi reda, terungkai dan selesai apabila suami romantik dalam membelai keperluan jasmani, emosi, semangat dan rohani isteri melalui;
1. Ucapan-ucapan yang menyentuh hati. Contohnya, memberi pujian tentang masakan isteri.
2. Mengusap lengan, paha, leher dan pinggang isteri sambil memuji-muji akan keluhuran dirinya
3. Apabila isteri bertanya di mana hebatnya dia? Maka suami hendaklah menjawab dengan penuh ikhlas dan tidak dalam keadaan perli.
Jadi, hargailah isteri dengan menjadikan dirimu suami romantik yang bukan sahaja pandai ‘bermesra’ dengan isteri dari segi zahir dan batin.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI