Hubungan

Suami Perlu Atau Tidak Beri Nafkah Kepada Isteri Bila Kongsi Bisnes & Bahagi Untung Bersama

Share

Suami isteri yang bekerja bersama dengan membina bisnes, keuntungan yang diperolegi selalunya digunakan untuk membayar rumah, bil, barang dapur dan lain-lain keperluan. Lebihan keuntungan yang diperolehi akan dibahagikan sama rata.

Persoalannya, perlukah pihak suami memberikan nafkah duit kepada isteri? Pendapatan menjadi kecil sebab sudah dibahagikan untuk komitmen tadi. Jika diikutkan, makan, pakaian, tempat tinggal sudah tersedia.

Suami Perlu Atau Tidak Beri Nafkah Kepada Isteri

Pihak suami juga ada komitmen lain seperti membuat simpanan sendiri dan menghulurkan wang kepada ibu bapa di kampung. Dalam keadaan ini, wajibkah seorang suami memberi nafkah wang kepada isteri? Jika isteri tidak reda, bagaimana?

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.

*Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya.

*Suami wajib memberi nafkah kepada isterinya.

*Suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri ada harta atau pendapatan.

*Sekiranya isteri reda tidak diberi nafkah, suami terlepas dari kewajipannya. Namun sebaliknya jika suami enggan untuk memberi nafkah, nafkah tersebut akan menjadi hutang bagi pihak isteri.

*Kadar nafkah ialah melihat kepada kemampuan keadaan suami.

*Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak itu mampu. Majoriti ulama berpendapat nafkah terhadap isteri dan anak lebih utama daripada ibu bapa.

Majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:

Makanan
Barang-barang dapur
Pakaian
Tempat tinggal
Alat-alat untuk membersihkan diri
Barangan rumah
Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja)

Firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ

Maksudnya: “laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahgian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.” Surah al-Nisa’ (34)

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.

Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi SAW yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.

Bila Kongsi Bisnes & Bahagi Untung Bersama

Nafkah pada asalnya sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri. Akan tetapi jika si isteri menghalalkan nafkah yang wajib diberikan suami ke atas dirinya tidak menjadi masalah. Nafkah itu secara langsung tidak menjadi kewajipan ke atasnya.

Jika isteri tidak menghalalkannya maka ianya dikira sebagai hutang, menurut majoriti ulama bahawa nafkah yang tidak dijelaskan oleh suami akan dikira sebagai hutang sekiranya suami enggan menunaikannya kepada isteri.

Ia tidak akan gugur kecuali dengan pembayaran atau dengan pelupusan sebagaimana hutang-hutang yang lain. Ia juga tidak akan gugur dengan sebab berlalunya tempoh idah tanpa membuat pembayaran.

Dalil majoriti ulama ialah sesungguhnya nafkah adalah gantian, bukan sesuatu pemberian tanpa gantian. Sesungguhnya nafkah itu diwajibkan oleh syarak dengan berlangsung akad perkahwinan sebagai balasan daripada kedudukan isteri menjadi hak isteri bagi suami dalam perkahwinan. Apabila nafkah merupakan gantian semata-mata, maka ia adalah seperti hutang-hutang yang lain yang wajib dibayar.

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para ulama feqah membahagikan kepada tiga golongan suami:

*Senang
*Sederhana
*Susah

Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh.

Sementara itu, berkata Imam al-Nawawi RH dalam meresponkan tentang keutamaan di dalam memberi nafkah kepada ibu bapa ataupun isteri dengan katanya ialah:

قَدَّمَ نَفَقَةَ الزَّوْجَةِ عَلَى نَفَقَةِ الْأَقَارِبِ

Maksudnya: “Nafkah isteri adalah wajib didahulukan daripada nafkah keluarga yang terdekat.”

Menjawab persoalan tentang suami isteri yang berniaga bersama, apa yang perlu dilakukan oleh si suami ialah berbincang dengan isteri tentang nafkah yang berkaitan selain daripada nafkah yang asas seperti alat-alat untuk membersihkan diri dan seumpamanya. Namun perlu diingatkan bahawa pemberian nafkah ini hendaklah mengikut kemampuan suami.

Selain itu, sekiranya si isteri reda dengan suami tidak memberi nafkah zahir, adalah dibenarkan. Tetapi apabila muncul masalah di kemudian hari, mungkin isteri akan mengungkit dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

Justeru, suami perlu bertekad untuk menguruskan nafkah keluarga dengan baik. Perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan baik dengan isteri. Dicadangkan juga suami dan isteri menyediakan plan tindakan bersama bagi mengurus kewangan keluarga.

Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca artikel lain yang berkaitan: Suami Isteri Bergaduh Itu Biasa, Limitnya Cukup Sehari, Jika Lebih Itu EGO

Suami Isteri Bila Sudah Terlalu Berkira & Materialistik, Rumah Tangga Jadi Hambar

Suami Isteri Nak Bulan Madu Ke Paris Kena Tangkap Basah, Kena Pedajal Dengan Makcik Restoran

 

 

Published by
Has