Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Kahwin Suami Atas Dasar Cinta
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Ads
Suami Mula ‘Naik Tangan’
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri risau, Melaka.
JAWAPAN:
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Ads
Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Jangan Takut!
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.
Ads
Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Ketahui Hak
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Alasan duit berbaki mahu kahwin lagi. Pelbagai alasan akan diberikan suami jika mereka mahu menambah isteri.
Namun suami sedarlah isteri yang banyak berkorban dan kadangkala jika duit gaji tidak cukup isteri biasanya akan bantu. Dek kerana tidak mahu suami menanggung hutang dengan meminjam dari ahli keluarga atau rakan-rakan isteri dengan rela hati sanggup menambah wang mereka.
Jadi fikirlah wahai suami duit yang berbaki hargailah isteri anda. Manjakanlah isteri kamu dan anak-anak!
Alasan Duit Berbaki Mahu Kahwin Lagi
Menerusi perkongsian, Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya, kaum lelaki wajib hargai dan sayangi isteri anda.
Puan Sharifah Zahidah
“Beri wang di tangan suami supaya dia tahu DIA meminjam – dan dia TAK ADA duit – tapi dia ada ISTERI yang membantunya yang wajib dia hargai dan sayangi.
“Buat suami tahu bahawa dia memang tak ada wang extra, dan andalah insan yang bersusah senang dengan dia selama ini dalam menjalani hidup bersama.
“Juga untuk suami tahu, bahawasanya TANGGUNGJAWAB tersebut MASIH di bahu dia. Bukan di bahu anda. Maka dia tak wajar lupa atau buat-buat lupa bila setiap bulan tangannya sendiri yang menadah dari anda agar dibantu demi melangsaikan tanggungjawab di bahunya,” Kongsi Sharifah Zahidah.
Dalam Membantu Suami, Bantulah Mereka SEKADAR KEPERLUAN
Wanita ini turut menambah, ramai yang berkongsi permasalahan sebegini. Kebanyakkan suami mahu menambah isteri kerana duit mereka sering berbaki
“Benarlah bagai dikata. Saya juga menerima permasalahan sama di inbox saya. Lelaki mahu menambah isteri kerana duitnya yang sering berbaki. Bukan seorang dua wanita dalam situasi yang sama. Tapi ramainya tak terkira.
“Tidak pula si lelaki ini ketahui, bahawa wang berbaki adalah kerana ihsan si isteri yang banyak menanggung perbelanjaan serba serbi.
“Dalam membantu suami, bantulah mereka SEKADAR KEPERLUAN.
Bagaimana meletak sempadan kepada maksud keperluan ini?
“Membantu sehingga dia TIDAK PERLU MEMINJAM daripada orang lain dalam menafkahi keluarga secara bulanan.
“Selagi boleh gunakan wangnya, gunakan wang mereka untuk perbelanjaan ASAS dan WAJIB.
“Pertolongan kewangan yang paling baik dan selamat pada hemat saya ialah, MENYEDIAKAN TABUNG KECEMASAN dan TABUNG BELANJA TAMBAHAN di mana pemegang amanah dan kuasa kepada tabung tersebut adalah si isteri itu sendiri.
“Gunakan wang suami untuk segalanya bukan bermakna biarkan suami menanggung susah sendirian. Tapi, di situlah sumber haibah (hebat dan wibawa) seorang lelaki yang akan TRANSFORM dirinya menjadi lelaki sejati yang menjadi pujaan di hati isteri.
“Duit gaji suami, biar semua dibelanja kepada perkara yang asas dan belanja wajib. Nak yang best-best above asas, BARULAH GUNA DUIT ISTERI on top of bajet/duit dari suami itu sendiri.
“Contohnya, pergi bercuti. Atau beli barang-barang organik yang mak-mak suka sangat tu. Benda ni luar dari nafkah. Atau, nak beli baju raya mahal sedondon satu keluarga. Masa ni, keluarkan duit isteri buat TOP UP dari bajet asas/wajib dari sang suami. Jangan awal-awal guna duit isteri semuanya sampai isteri tak ada apa, suami rasa diri terlebih kaya.
“Duit sewa rumah jangan memandai bahagi 2. Duit bil, makan, pakai dan sekolah anak-anak, biar semuanya ditanggung suami. Jika TERPAKSA isteri menanggung dan membantu bayaran juga, SERAHKAN duit itu di tangan suami sendiri dan sebutkan sebagai PINJAMAN dan BANTUAN IHSAN isteri kepada suami.
“Abang, ni RM300 duit sekolah Aiman, saya pinjamkan kepada Abang atas ihsan dan kasih kepada Abang dan rumahtangga kita. Abang ambillah buat bayaran Aiman dan kurangkan bebanan Abang..”
“Abang, bulan lepas saya ada bagi abang duit elektrik dan belanja dapur sebab abang tak cukup duit abang kata, ni bulan ni abang kata tak cukup lagi, saya pinjamkan lagi RM500.. Gunalah untuk belanja keperluan anak dan isteri abang. Semoga ALLAH murahkan rezeki abang selalu..”
Beri Wang Di Tangan Suami Supaya Dia Tahu DIA Meminjam Dan Dia TAK ADA Duit
“Jika setiap bulan perlu membantu, maka lakukan sebegini SETIAP BULAN. Jadikan pemberian wang anda itu adalah SATU ‘RITUAL’ yang tak dilakukan sambil lewa tapi dilakukan dengan TERTIB kerana soal suami yang tidak mampu menafkahi keluarga ini bukanlah soal enteng tapi ianya wajar menjadi perhatian besar dari sang suami itu sendiri.
“Beri wang di tangan suami supaya dia tahu DIA meminjam dan dia TAK ADA duit tapi dia ada ISTERI yang membantunya yang wajib dia hargai dan sayangi.
“Buat suami tahu bahawa dia memang tak ada wang extra, dan andalah insan yang bersusah senang dengan dia selama ini dalam menjalani hidup bersama.
“Juga untuk suami tahu, bahawasanya TANGGUNGJAWAB tersebut MASIH di bahu dia. Bukan di bahu anda. Maka dia tak wajar lupa atau buat-buat lupa bila setiap bulan tangannya sendiri yang menadah dari anda agar dibantu demi melangsaikan tanggungjawab di bahunya.
“Yang banyak terjadi adalah, bila isteri membantu, isteri bayar sendiri sekolah anak, bayar sendiri duit kereta suami/keluarga, beli sendiri segala keperluan dapur, bayar sendiri duit bil dan segalanya senyap-senyap; seolah-olah itu sudah jadi tanggungjawab dia. Praktis ini salah. Hentikan dan ubah.
“Benda tak nampak depan mata anda berkorban untuk dia. Anda membayar untuk dia. Dia pun mudah lupa, tak rasa apa-apa dan tak malu untuk terus gagal menafkahi keluarga secukupnya dan terus selesa di takuk lama. Yang berusaha jadi ejen segala produk tu siapa? Anda juga.
“Suami yang jantan, dia akan MALU bila SETIAP bulan dia terpaksa hulur tangan meminta wang dan ihsan dari anda. Cara begini boleh memberi motivasi kepada lelaki sejati untuk berazam dan jadikan “bulan ini bulan terakhir aku menghulur tangan.” Di sinilah fungsinya mengapa lelaki dibekal ego setinggi langit. Gunakan ego mereka sewajarnya.
“Ala, saya nak senang urusan je. Lecehlah nak tunggu suami buat semua bayaran. Tu yang saya bayar siap dan auto deduct je dari bank saya..”
Terpulang.
Nak senang tapi strategi anda berisiko, atau nak kerja payah sikit tapi strategi anda benar-benar menyelamatkan keluarga. Pilihan di tangan kita kerana ini keluarga kita bukan keluarga orang lain. Kita berhak menentukan arahnya,” kongsi Sharifah Zahidah.
Mingguan Wanita: Jangan Manjakan Suami, Biarlah Dia Tahu Tanggujawabnya!
Seharian penat melayan anak-anak peel boleh membuatkan mak-mak naik angin. Tapi, bila tengok orang kita sayang semasa tidur, boleh membuatkan hati kita rasa sayu. Mulalah timbul rasa kasih dan kasihan dengan apa yang berlaku siang tadi.
Begitulah mak-mak, bila nak marah, mulalah rasa geram ya amat. Bukan setakat mulut saja membebel, kadang-kadang tangan pun boleh terlibat sekali. Namun, bila malam, tengok orang kita sayang ini tidur, tentu akan timbul rasa penyesalan.
Ini belum lagi bila kita melihat pasangan masing-masing semasa tidur. Rasa sedih, sayang dan tidak kurang kasihan pasti ada. Kalau nak tahu, tengok orang kita sayang ini semasa tidur, inilah wajah yang paling jujur.
Itu bila melihat orang kita sayang, bukan setakat pasangan, anak-anak tapi juga bila melihat ayah dan mak kita yang banyak berkorban untuk membesarkan kita. Wajah mereka ini menggambarkan pengorbanan yang mereka sanggup lakukan apa saja untuk keluarga.
Selain itu, siapa lagi yang perlu kita tengok semasa tidurnya? Fahamilah apa yang dikongsikan oleh Ahliya Fariza ini. Moga dijadikan iktibar dan panduan untuk kita semua.
Kamu dengan seluruh hartamu adalah milik ibumu.
Rasulullah SAW bersabda: “Engkau dan semua hartamu adalah milik ayah Ibumu” [HR. Ibnu Majah no. 2291]
1. Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang, ibu-ibu jangan jatuh air mata dan anak jangan bagi ibu jatuh air mata. Biarlah ibu menangis kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak.
2. Kalau balik tengah malam, buka lampu tengok dan tatap muka ibu /anak, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya
ADA 3 MATA YANG TIDAK DIJILAT API NERAKA.. 1. Melihat Kaabah sehingga menitis air mata. 2. Membaca Al-Qur’an sehingga menitis air mata. 3. Memandang wajah ibu yang sedang tidur /sedar hingga berlinangan air mata.
Orang yang kita kena tengok dan selalu pandang dalam hidup, tengok masa tidur.
1. Anak
2. Ibu
3. Suami /Isteri
1. Adalah menjadi satu dosa jika kita mengguna jari telunjuk untuk menunjukkan sesuatu pada ibu/bapa.
2. Barang siapa yang tidak mendoakan ibu/bapa selepas sembahyang buat ibu yang sudah meninggal maka dikira dia anak derhaka walaupun pada waktu ibu/bapanya hidup dia tak pernah menderhaka. Maksudnya jika ibu/bapa masih hidup atau telah tiada, selepas setiap solat kita mesti mendoakannya.
3. Doa orang yang masih hidup makbul untuk orang yang hidup dan mati. Jadi doakanlah ibu/bapa kita yang telah tiada.
4. Ketika melalui kubur, perlahankan kenderaan (jika sedang menaiki kenderaan) dan beri salam, mereka akan doakan kita “berkatilah si pulan ini” dan jika tak bagi salam, mereka akan kata “celakahlah orang ini” Jadi, jangan lupa bagi salam.
5. Tanda-tanda siksa Allah swt atas muka bumi ini antara lain simpan harta sampai mati tak pernah keluarkan zakat.
6. Sesiapa yang bersedekah selalu, takkan miskin orang itu selamanya.
7. Jika mak ayah kita sudah meninggal dan semasa hayatnya kita ada peruntukkan wang untuk dia, bila mak kita dah takde teruskan memberi peruntukkan itu sebagai sedekah.
“Ya Allah, aku sedekahkan bagi pihak ibu/bapaku, semoga pahala sedekah ni sampai kepada ibu/bapaku”.
Itu yang yang buat ibu/bapa kita bahagia di sana.
8. Kalau kita susah nak bersedekah, bayangkan wajah Ibu/bapa kita baru kita ringan tangan nak bersedekah.
9. Allah swt panjangkan usia ibu/bapa supaya mereka sakit dan nyanyuk untuk beri syurga pada anak²nya. Jagalah mereka dengan baik Insya Allah, syurga balasannya. Jadi kalau tahu ibu/bapa sakit, berebutlah menjaga ibu/bapa kita. Besar sangat pahalanya.
10. Allah swt kalau boleh tak nak kita masuk neraka jadi Allah swt takkan matikan seseorang dalam keadaan kotor dan berdosa jadi dia bagi kita sakit/malu/miskin untuk mmbersihkan kita sebelum dia mengambil kita.
Ya Allah Ya Tuhanku jadikan hari-hari kami penuh dengan bakti kami kepada orangtua kami dan berkatilah kehidupan kami
Mingguan Wanita : Fahami 3 mata yang tiak dijilat api neraka. Salah satunya melihat wajah ibu semasa tidur. Inilah orang yang sanggup berkorban untuk keluarganya.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Hati wanita memang lembut dan mudah tersentuh. Lagi-lagi apabila ada lelaki yang mula memberi perhatian pada dia. Bukan apa, mungkin selama ini wanita tersebut sunyi dan jarang dapat perhatian. Jadi apabila ada yang cuba mendekati, memang dia mudah tangkap cinta.
Oleh itu, golongan lelaki jika sekadar ingin mengusik dan suka-suka, jangan sesekali mencuba masuk jarum. Sekali terjerat memang sukar untuk anda lepaskan diri. Sebagaimana yang dikongsikan oleh isteri selebriti, Adam Corrie, di akaun Instagram.
Pagi tadi Bidadari saya @puan_fazi_fuad tulis di instagram dia. Dia kata, “Percaya atau tidak,
.
Wanita akan cepat perasan apabila ada seorang lelaki suka mengusiknya.
.
Wanita akan menyangka lelaki itu suka padanya…
.
Padahal lelaki tersebut hanya mengusik sahaja. Itu memang fitrah lelaki suka melihat wanita. Sebab itu di akhirat , lelaki yang baik akan dapat bidadari. Manakala wanita akan dapat emas iaitu perkara bersifat kebendaan.
.
Jadi kita sebagai wanita jangan cepat perasan, apabila ada orang lelaki senyum, cakap manja-manja dengan kita. Jangan cepat jatuh hati, tambah-tambah kalau lelaki tersebut sudah dimiliki.
.
Dan kepada lelaki, jangan main-mainkan wanita jika tiada niat yang betul. Jangan cuba suka-suka nak test market.
Hati Wanita Memang Lembut
Hati perempuan ini lembut dan cepat rapuh jika tersalah sentuh dan rempuh.
.
Dan hati wanita ini jika sudah terjatuh cinta, dia nekad untuk memiliki hati lelaki tersebut walaupun sudah berpunya.
.
Pesanan untuk semua tak kisahlah lelaki atau perempuan. Terutama khas adik-adik, anak-anak perempuan ku , anak lelaki ku @adamfatehlee juga.
dan juga suami ku.
.
Jaga maruah diri sendiri untuk diri sendiri juga.”
.
.
Senyum selalu
Selalu bersangka baik
InsyaAllah tenang
.
P/s: Pernah terjadi kepada saya, saya senyum pada rakan saya di belakang seorang wanita. Tiba-tiba wanita itu kata saya artis gatal. Dan ada juga saya tak perasan pun ada seorang gadis senyum pada saya, lalu jerit kata saya sombong. Redha sahajalah.
MW: Oleh itu, lelaki yang bergelar suami orang sebelum mengusik dengan orang sekeliling terutama kawan perempuan, fikirkan dahulu isteri di rumah. Jangan berlebihan dalam bergurau senda dengan wanita yang bukan mahram.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...