Betul Ke Suami Pendiam Itu Seorang Yang Setia?

Share

Tidak hairanlah, orang mengatakan isteri yang banyak cakap tentu suaminya seorang yang pendiam, begitu juga sebaliknya. tapi bagaimana pula kalau suami isteri sama-sama pendiam, tentu rumah jadi sunyi sepi dan macam dilanda garuda.

Untungnya, bila orang mengatakan suami pendiam ini adalah seorang yang setia dan tidak banyak karenah. Betulkah anggapan itu atau diam-diam ubi berisi. Ikuti kupasan lebih lanjut bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).

Kongsi Cerita

Sebenarnya, salah satu fitrah lelaki bila hidup bersama perempuan, sifatnya lebih pendiam berbanding isteri. Apatah lagi, jika lelaki itu sifatnya pendiam sejak kecil. Sebab itulah, suami perlu lebihkan sedikit tahap bercakapnya supaya dapat memenuhi keperluan fitrah wanita.

Sebagai suami, perlu pelbagaikan komunikasi supaya tidak dianggap pendiam oleh isteri seperti bergurau, memuji,memberi kata-kata manis dan biasakan dengan berkongsi cerita dengan isteri, walaupun kadang kala difikirkan tidak begitu penting. Inilah dikatakan lebih membahagiakan isteri dan membahagiakan hubungan.

Pendiam Boleh Jadi Panas Baran?

Pada asasnya, tiada masalah dengan sifat pendiam suami sebab diam lelaki kebiasaannya disebabkan tidak ada perkara yang penting untuk diperkatakan. Tetapi kita boleh mengenalpasti jika suami diam disebabkan oleh bermacam-macam tekanan dan perkara yang menyakitkan hatinya, diamnya berbeza.

Kesannya, boleh menyebabkan refleks yang maksimum seperti panas baran, memukul dan sebagainya kerana diam yang disusuli dengan provokasi demi provokasi tanpa penyelesaian yang membahagiakannnya ibarat seperti api dalam sekam. Malah, lama-kelamaan boleh menghilangkan rasa sabar atau mengikis rasa sayang, disebabkan rasa tidak lagi dhormati dan diperlukan oleh isterinya.

Kesan suami yang tabiatnya lebih banyak diam ialah:
1. Isteri kurang merasai kebahagiaan secara semula jadi kerana isteri fitrahnya sukakan suami yang bercakap dan melayannya bercakap, lebih-lebih lagi tentang perkara yang menyentuh emosi.
2. Isteri akan kehilangan pasangan untuknya bercakap atau sekurang-sekurangnya ia perlukan pasangan yang memahami fitrah diri yang suka bercakap. Ini boleh menyebabkan hubungan beralih arah kepada lelaki lain yang lebih memahami atau pun kawan-kawan wanitanya jadi lebih berharga berbanding suami.
3. Boleh menyebabkan suami dianggap berahsia dan menyebabkan isteri terdedah kepada perkhabaran daripada sumber lain yang mungkin menyebabkan salah faham lebih besar.
4. Komunikasi yang sukar antara suami isteri ini menimbulkan stres dan mudah menjurus kepada prasangka, pertelingkahan dan berakhir dengan perceraian yang dirasakan lebih baik dan membahagiakan.

Taktik Isteri Tarik Perhatian Suami Pendiam

  1. Elakkan bercakap terlalu banyak sehingga merimaskan suami dan ini boleh menyebabkan suami cuba mengelak daripada bercakap, bertanya atau pun bosan untuk melayan isteri bercakap perkarayang tidak penting.

2. Lebihkan guna akal dan logik dalam komunikasi dengan suami. Bagi suami pula perlu lebih bersedia untuk mendengar dan cuba ambil bahagian dalam bercakap atau bercerita dengan isteri.

3.Dalam berkongsi cerita, elakkan daripada meleret-leret dengan suami. Elakkan juga daripada terlalu masuk campur dengan cerita-cerita daripada suami kerana suami bercakap bukan untuk dilayan secara beremosi sebaliknya lebih kepada untuk cari penyelesaian. Andai bukannya cadangan penyelesaian yang logik, lebih baik hanya mendengar dan bersetuju.

4. Isteri elakkan bertanya terlalu banyak soalan untuk menarik perhatian dan meraih simpati suami kerana ia mudah menyebabkan suami bosan dan terganggu. Sebab itu, kebiasaannya kita dapati mesej-mesej isteri kepada suami selalunya mendapat balasan jawapan yang pendek dan ringkas dan kadang kala tiada jawapan langsung kerana soalan itu mungkin dianggap tidak penting kepada suami.

5.Gunakan masa secara optimum untuk meraikan percakapan yang rasional, logik dan menggunakan komunikasi lisan tanpa terlalu banyak bergantung kepada bahasa badan yang memberatkan suami untuk faham.

Duhai suami, bercakaplah semaksimum yang boleh kerana isteri amat mengharapkan kita bercakap, bercerita, bergurau senda dan melayannya dengan mendengar ceritanya.

Wahai isteri, bercakaplah dengan hormat kerana ia fitrah yang membahagiakan suami, dan suami akan lebih positif untuk bercakap seterusnya.

Published by
Nora