Suami OK, Tapi Orang Luar Komen Lebih Buat Isteri Hilang Keyakinan

Share

Sebab dengar mulut, akhirnya isteri hilang keyakinan diri sendiri! Nak tengok cermin pun takut-takut, apatah lagi nak sua muka pada pasangan. Ini semua sebab terpengaruh sangat dengan komen-komen ‘murni’ daripada orang luar.

Nak-nak pula ada yang jenis berniaga guna ayat buat isteri hilang keyakinan. Isyh, mahunya isteri tak rasa segan. Dikatanya selekeh, gemuk, muka tak lawa… eh, macam-macam lagi lah!

Betul ke semua lelaki hadap sangat dengan penampilan isteri yang kebabom ala-ala retis? 24 jam nak kena melawa walau duduk dalam rumah?

Salaaaahh… mak-mak kena sedar dan cuba buka minda dengan perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini. 

Sejak bersalin anak ketiga mukanya memang kusam teruk. Lepas habis pantang perut buncit ya robbi. Rambut banyak gugur macam orang lepas kimo. Bila balik kampung semua tegur mukanya nampak tua. Umur baru 20-an dah nampak macam hujung 30-an. Berdiri dengan suami nampak macam dia kakak suami. Komen orang sekeliling betul-betul buat dia rasa rendah diri di hadapan suami.

Saya tanya.. suaminya ada komplen ke? Dia jawab tak pernah.

“Tiada apa yang berkurang malah kadangkala tengah malam selalu terasa suami mencium wajah saya sambil ucapkan terima kasih sebab jadi isterinya & didik anak-anak sementara dia kerja, bacakan doa pada ubun-ubun.”

MasyaAllah… beruntungnya akak. Kata saya.

Bila Si Isteri Terkecil Hati

Baru-baru ini dia bercerita lagi.

“Haritu masa balik cuti beraya, ada ahli keluarga perli saya nampak macam dah beranak 10 orang. Perut buncit macam mengandung 5 bulan. Mereka suruh saya makan jamu. Takut nanti suami cari lain sebab tak selera dengan saya. Suruh saya pergi spa sebab muka kusam.”

“Saya menangis masuk bilik. Suami ikut saya masuk apabila lihat saya lain macam. Saya marah-marah suami dan mula menuduh suami. Saya rasa memang betul apa mereka cakap. Mungkin suami hanya simpati dengan saya sebab saya bersusah payah beranakkan anak-anaknya. Mungkin dia pun dah hilang nafsu pada saya. Saya dah buruk. Saya dah gemuk. Saya dah hodoh. Muka tua. Saya betul-betul rasa kecewa dengan diri sendiri. Kenapa wanita lain lagi ramai anak dari saya tapi tetap cantik… kenapa saya buruk sangat..”

“Dan akhirnya suami saya peluk saya sambil menangis. Dia kata dia tak pernah pun fikir apa yang saya cakap. Tak pernah terlintas di hatinya. Suami kata sayalah satu-satunya yang paling cantik dalam hatinya.”

“Intan… saya takkan lupakan apa yang suami katakan.”

“Setiap kali abang nampak sayang, abang hanya nampak wanita yang bersusah payah untuk abang. Bila nampak rambut sayang gugur banyak kat lantai, bentuk badan dah berubah.. abang rasa.. abanglah yang bersalah sebab sayang jadi macam tu lepas beranakkan anak-anak abang, susukan anak-anak, jaga anak-anak.. abang masih ingat betapa cantiknya sayang masa kali pertama abang tengok saya masa kita solat jemaah sama-sama lepas nikah.

Abang minta maaf.. abang salah.. abang cuba tolong apa patut tapi kadang anak-anak nak melekat dengan sayang jugak. Apa yang mampu abang buat… abang hanya mampu doakan sayang hari-hari dan cuba gembirakan hati sayang. Abang minta maaf kalau abang tak cukup tunjukkan kasih sayang abang selama ni. Abang minta maaf tapi percayalah abang sayang sangat kat sayang. Hari-hari abang doa moga sayang satu-satunya isteri abang dunia akhirat.”

Suami Faham Dan Hantar Buat Treatment

Demi Allah..
Saya yang membaca.. saya menangis. MasyaAllah. Mulianya hati suami ini.

Suaminya hantarkan juga isteri ke treatment atas permintaan si isteri, tapi niatnya lebih kepada mahu menghargai kesetiaan suaminya itu, selain untuk sihat beribadah kepada Allah. Subhanallah. Suami isteri yang berlumba-lumba mahu menggembirakan hati pasangan masing-masing insyaAllah Allah akan berikan sakinah, mawaddah & rahmah dalam rumahtangga mereka kan.. moga rumahtangga kita juga begitu. Amiin.

Cerita teman ini memberi pengajaran yang besar buat diri ini. Janganlah kita sesekali mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan air muka seorang isteri, apatah lagi di hadapan suami dan anak-anaknya. Kita tidak tahu natijah perkataan demi perkataan yang kita lemparkan itu mungkin menyebabkan seorang suami memandang rendah kepada isterinya.

Orang Luar Suka Komen Lebih-lebih

Kadangkala, selain dari mulut orang sekeliling yang sangat suka memberi komen menyakitkan hati, ayat-ayat promosi produk di media sosial juga terlalu memprovok hingga menimbulkan syak wasangka isteri pada suaminya sendiri. Maaf saya cakap, terutamanya produk kewanitaan & kecantikan, terlalu banyak yang condemn hingga isteri jadi hilang yakin diri. Selalu sangat mengugut kaum isteri;

“Nanti suami lari dengan janda meletop sebelah rumah.”
“Nanti suami cari orang lain sebab bau kepam awak tu”
“Nanti orang fikir uolls mak sedara suami sebab muka nampak tua.”

Tak Semua Lelaki Begitu!

Maaf cakap… Mungkin yang gelojoh nafsu itu hanya suami awak, bukan suami orang lain. Saya percaya, masih ramai suami yang hanya memandang isterinya sahaja yang cantik dalam dunia ini. Bukan hanya pura-pura nak jaga hati isteri, atau hanya baik di depan tapi di belakang suka cuci mata lihat wanita lain. Tapi cinta dan belas ehsan yang ikhlas dari hati. Betul-betul isterinya seorang itu yang dia mahu menemankannya di syurga, jadi penghulu bidadari.

MasyaAllah… inilah bezanya lelaki beriman, baik dan soleh dengan lelaki jahat. Maka janganlah disamakan antara keduanya. Sebagaimana ada wanita baik dan wanita jahat, begitu jugalah para lelaki.

Semua orang punya nafsu.. namun, orang beriman mengawal nafsunya dengan mujahadah dan melunaskannya dengan cara yang dibolehkan, yang halal baginya. Takkan sama seperti orang fasik, munafik & tidak beriman.

Allahuakbar.

Sesungguhnya tiadalah dapat dinafikan lagi… nikmat kebahagiaan terbesar seorang isteri setelah iman & islam adalah dipinjamkan seorang suami yang soleh, yang mencintai, mengasihi & menyantuninya kerana Allah, menjadi sahabatnya di dunia hingga akhirat.

Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah.

Published by
Nadia