Suami anda boleh dikatakan mempunyai wajah yang sedap mata memandang dan ‘mulut manis’ pula tu. Ramailah wanita yang berminat! Dia pun apa kurangnya, suka melayan dan ‘test market’. Sejak awal perkahwinan, anda asyik menjeruk rasa kerana sikap ‘nakal’ dan mata keranjang suami. Tapi, sampai bila nak hadap?
Ikuti perkongsian daripada HM Tuah Iskandar Al-Haj www.drtuah.com), motivator, yang pernah disiarkan di dalam majalah Mingguan Wanita.
“Kenapa orang lelaki ni tak boleh puas dengan yang satu? Kenapa mesti nak menggatal?” Luah seorang wanita.
“Menggatal macam mana tu?” Tanya saya.
“Suami saya tuan, dia gatal, kerjanya memerhati perempuan je. Kalau umur tu masih muda, tak apalah sangat, ini dah lebih setengah abad.”
“Itu bukan gatal, itu lumrah seorang lelaki.” Ujar saya.
Kata saya seterusnya, kalau lelaki sudah tidak kisah dengan perempuan, itu mungkin petanda sesuatu yang tragis akan berlaku dalam hidupnya, seperti mati pucuk.
Seorang lelaki sudah tidak bernafsu terhadap wanita juga malapetaka besar, sebab alam sudah tidak seperti selalunya. Sejak hidupan wujud di bumi, semua yang jantan akan mencari yang betina, baik haiwan, baik tumbuhan, apalagi manusia.
Kebiasaan ini kekal hingga kini. Andainya yang jantan sudah tidak kisah dengan yang betina, bermakna kehidupan akan melalui episod tragis – zuriat akan terhenti.
Apabila seorang lelaki melihat wanita lalu tertegun atau tersuka, atau terangsang, itu bukanlah aneh sebab hampir semua lelaki normal akan begitu.
Yang membezakan sama ada mereka mampu mengawal ataupun menghalakan perasaan itu ke tempat yang betul. Bagi yang memiliki falsafah hidup yang dominan, dia mampu memujuk dirinya supaya bertenang – hatinya akan berkata, ‘Itu bukan milik engkau, ia haram kalau kau terjah. Kalau nak ada caranya.’
Pada yang dipasak pengetahuan agama yang tinggi, dia istighfar lalu mengaitkan kecantikan wanita itu dengan Sang Pencipta – seandainya ALLAH mampu mencipta makhluk secantik itu tentu DIA lebih cantik lagi. Dalam kata lain, dia dapat mengaitkan rasa yang wujud dalam dirinya dengan TUHAN.
Bukan semua lelaki akan terangsang oleh semua wanita cantik yang dilihatnya, buktinya dia tidak terangsang pada ibu, pada adik beradik, emak saudara. Dia hanya seronok melihat wanita yang tiada kena mengena dengan dirinya, selalunya wanita-wanita itu tidak dikenalinya pun.
Dalam kata lain, dia memandang sekadar memandang, rasa terangsang dan berakhir apabila wanita itu berlalu pergi. Dan begitulah proses ini berulang. Dia langsung tidak meninggalkan bekas, hubungannya dengan isteri masih okey, masih berperanan sebagai suami yang sempurna.
Lelaki semua suka melihat wanita cantik, tapi sekadar di situ. Habis di situ, habislah. Sama macam isteri, kadang-kadang terdetik perasaan terpesona dengan lelaki-lelaki di luar sana tetapi kesemuanya tidak berbekas di hati, bukan?
Lepas tengok, rasa suka, kemudian lupa. Selagi tidak anggau hingga melupakan tanggungjawab dan kewajipan anggap sahaja ini adalah lumrahnya alam”.
Kesimpulannya, usah terlalu cemburu dalam menjalani hidup. Usah sengaja memayah-mayahkan sesuatu yang mudah. Syahwat adalah mekanisme yang diperlukan untuk membuktikan keupayaan dan pembentukan zuriat. Anggap saja sekadar gurauan.
https://www.mingguanwanita.my/jadi-suami-jangan-hanya-tahu-buat-anak-kena-pandai-jaga-uruskan/